Pada hari semalam tular kisah Datuk Aliff Syukri mengamuk apabila pelakon dan pengacara, Yana Samsudin didakwa enggan membayar rugi selepas memecahkan pasu dari China yang bernilai RM400,000.

Hari ini Yana tampil memberi penjelasan mengenai rakaman insiden yang tular itu.

Baca Juga:

Beliau memberitahu BH Online, insiden berlaku ketika mengacarakan program raya terbitan Astro, dua minggu lalu itu bukan gimik, sebaliknya, kejadian benar.

“Apa yang berlaku bukan lakonan atau gimik murahan seperti sangkaan ramai, sebaliknya insiden pergaduhan ini memang berlaku.

“Saya dan suami, Fadzil Zahari tak sangka video ini tular selepas dua minggu insiden berlalu. Kami terkejut kerana percaya produser, Alif Farhan sudah menyelesaikan isu ini dengan Aliff memandangkan kejadian berlaku ketika rakaman.

“Produser beritahu akan bertanggungjawab dan menyelesaikannya. Namun, sebaliknya video pergaduhan tular dan Aliff menuntut saya membayar ganti rugi bernilai RM400,000, jika tidak berdepan tindakan saman.

“Jujurnya, saya tidak gentar dengan gertakan Aliff. Kerana prinsip saya, berani kerana benar,” dakwanya.

Menceritakan yang kejadian berlaku, Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin mendakwa, dia menjalankan tugas sebagai pengacara dengan menemubual Aliff mengenai persiapan raya dan sebagainya.

Ketika Aliff mula menunjukkan barangan rumah termasuk set pinggan mangkuk jenama dan pasu mahal dimiliki, usahawan kosmetik itu memegang pasu dan meminta Yana memegang pasu tersebut.

“Masa nak berikan pasu, saya tak sambut. Ketika itulah pasu terlepas daripada genggamannya dan terjatuh.

“Saya pelik kenapa barangan berharga nak suruh saya sentuh. Saya takut.

“Jadi, tuduhan saya pecahkan pasu seperti tidak masuk akal, sedangkan saya tak sentuh pun,” dakwa Yana.

Selepas itu Aliff mula mengamuk macam orang hilang akal apabila pasu pecah. Beliau memarahi Yana kerana tidak menyambut pasu yang diberikan kepadanya.

“Dia mula membebel dan mengeluarkan perkataan menghina. Itu yang membuatkan Fadzil hilang sabar dan mula bergaduh dengannya.

“Memang kejadian Fadzil bergaduh dengannya benar-benar berlaku, bukan lakonan.

Yana dalam keadaan agak kebingungan sebab terkejut cuba menenangkan keadaan. Bagaimanapun, suaminya pula yang ‘naik angin’.

“Ramai mempertikaikan wajah saya tidak seperti orang dalam ketakutan. Kenapa nak takut, sedangkan saya tak pecahkan pasu,” dakwanya.

“Ketika kejadian, rakaman sedang berlangsung. Jadi, sudah tentu video rakaman jadi bukti saya tidak bersalah dan tidak memecahkan pasu.

“Jika Aliff nak saman, saya tak kisah. Saya takkan bayar ganti rugi RM400,000 sebab terang-terangan bukan saya yang menghempaskan pasu.

“Dalam rakaman kita boleh nampak Aliff seperti sengaja melepaskan pasu, jadi kenapa saya harus dipersalahkan?” dakwanya.

Sumber Gambar: IG Story @yanasamsudin

Yana juga mengalami kecederaan apabila percikan pasu yang terhempas terkena tangan kanan dan berdarah.

“Sepatutnya saya yang marah dan tidak puas hati. Saya menjayakan rakaman, tetapi saya pula tercedera.

“Jari manis terluka dan percikan darah terkena pada baju Aliff. Hampir dua minggu saya tersiksa sebab tak boleh memasak, malah mandi pun dalam keadaan sukar.

“Alhamdulillah, sekarang luka sudah semakin sembuh,” katanya.

Yana mendakwa, dia dan suami juga tidak mahu terbabit dengan kontroversi murahan seperti ini.

“Ramai tuduh kami berpakat dengan Aliff melakukan gimik murahan. Adakah sebelum ini saya pernah terjebak dengan gimik seperti ini?

“Saya dan suami takkan buat gimik hanya semata-mata mahukan program raya bersama Aliff ini tular.

“Jika mahukan program ini tular, saya terlebih dahulu muat naik insiden berlaku dalam media sosial, tetapi saya tak buat.

“Saya tak sangka Aliff muat naik video pergaduhan dan menuntut ganti rugi dan berikan saya tempoh 48 jam,” katanya.

Apapun, katanya, dia takkan bayar ganti rugi dan bersedia berdepan tindakan saman Aliff.

Sumber