Rafizi Ramli hari ini menafikan bahawa dia bakal ‘mencari Azam Baki’, Ketua Pesuruhjaya SPRM seperti yang pernah dinyatakan oleh beliau sebelum ini di kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk gabungan Pakatan Harapan (PH).

Ketika menjawab soalan wartawan semasa sidang media pertamanya sebagai Menteri Hal Ekonomi, Rafizi berkata bahawa apa yang dimaksudkan olehnya adalah keutamaan untuk memastikan bahawa semua agensi penguatkuasaan berfungsi dengan bebas.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Saya tak rasa itu yang saya betul-betul cakap. Saya fikir ia ‘political soundbytes’ atau news bytes’ tetapi apa yang saya maksudkan ialah apabila kerajaan baru mengambil alih, keutamaan adalah untuk menjadikan segala-galanya bebas dan mengikut undang-undang. Bukan dia (Azam) atau sesiapa sahaja atau saya sendiri. Kita kena berhati-hati dalam apa yang kita lakukan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini.

Soalan ini merujuk kepada kenyataan Rafizi Ramli semasa memberi ceramah di Johor Bahru pada 17 Nov lalu, di mana beliau menyebut “Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, Insya-Allah.” Kenyataan ini dibuat selepas serbuan SPRM ke atas syarikatnya, Invoke Solution Sdn Bhd.

Beliau yang memegang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), di bawah Kabinet yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Rafizi menggantikan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berkhidmat dengan kementerian itu sejak Ogos 2021 di bawah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.