Polis menahan tiga lelaki dipercayai diupah along bagi merampas kereta milik seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat dekat kawasan Mak Mandin, Butterworth.

Menurut laporan Berita Harian, tiga lelaki berusia 27 hingga 49 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan semalam di kawasan Kuala Kangsar, Perak dan Seberang Jaya serta Butterworth, Pulau Pinang.

Baca Juga:

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata tangkapan itu susulan video tular memaparkan dakwaan sebuah kereta yang dinaiki oleh seorang individu didakwa disamun.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta dan pakaian yang dipakai oleh ketiga-tiga suspek dan ketika ditahan kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Asri berkata, siasatan yang dijalankan ke atas suspek mendapati mereka diupah oleh seorang pemberi pinjaman wang untuk merampas kereta mangsa.

“Dalam kejadian ini sebenarnya, ibu mangsa berusia 57 tahun telah membuat pinjaman wang berjumlah RM100,000 pada tiga tahun lalu dengan seorang pemberi pinjaman wang (along).

“Ibu mangsa bersetuju untuk menyerahkan kereta anaknya melalui satu perjanjian bertulis sekiranya gagal membayar pinjaman berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, susulan kegagalan ibu mangsa membayar pinjaman itu menyebabkan kereta anak lelakinya dirampas sebagaimana video tular berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.