Digelar ‘sifu’ Shopee apabila jualan produk sambal sentiasa sold out, kejayaan Khairulaming ketika ini bukanlah sesuatu yang datang tiba-tiba tetapi ia satu perjalanan hidup yang ada jatuh dan bangunnya.

Sempena hari jadi ke-30, Khairulaming telah berkongsi sebuah video khas yang merangkumi perjalanan hidupnya dari umur 20 tahun hinggalah ke usianya sekarang, 30 tahun.

Baca Juga:

Menerusi video tersebut, dapat dilihat perjalanan Khairulaming yang bermula dengan bekerja sebagai engineer dan mula mencari ‘duit tepi’ dengan menjual sambal. Malah, perniagaan sambalnya dulu juga pernah gagal pada tahun 2017 sehingga wang simpanannya habis.

Tidak berputus asa, beliau bangkit selepas kejatuhan jualan sambalnya lalu lebih fokus untuk personal branding di Instagram miliknya dengan berkongsi video masakan. Selepas berkongsi cara masakan pelbagai juadah di Instagram, Khairulaming pada tahun 2021 kembali memperjuangkan idea lama beliau dengan memperkenalkan Sambal Nyet.

Rezeki pada kali ini berpihak kepada beliau selepas sambal beliau laris terjual dalam tempoh yang singkat sekaligus mengingatkan ramai bukan senang untuk senang. Malah, kini beliau juga telah membuka kilang sambal sendiri dan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada lebih ramai orang.

Perkongsiannya itu telah meraih perhatian orang ramai dan rata-rata netizen memuji Khairulaming yang tidak berputus asa walaupun berdepan kegagalan. Malah, ada juga netizen yang menjadikan kejayaan Khairulaming sebagai pembakar semangat untuk mereka berjaya kelak.