Sejak semalam tular video sebuah kereta Perodua Kelisa yang melawan arus di lebuh raya sebelum dirempuh Perodua Myvi dari arah bertentangan.Video kemalangan berkenaan telah pun dikongsikan di media sosial dan menerima reaksi pelbagai daripada netizen.

Buat anda yang masih belum mengetahui maklumat lanjut mengenai kejadian itu, ia dilaporkan berlaku di Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA), Selangor pada sekitar jam 5 petang semalam.

Kejadian tersebut bagaimanapun tidak hanya melibatkan satu kemalangan sahaja malah turut menyebabkan satu lagi kemalangan antara Perodua Kelisa berkenaan bersama sebuah lagi Honda City sebelum itu di lebuh raya sama.

Kemalangan pertama itu dilaporkan berlaku di KM3.1 sebelum kejadian antara Kelisa dan Myvi berkenaan yang kemudiannya dilaporkan berlaku di KM6.6 dan telah menyebabkan kecederaan kepada pemandu Honda City tersebut.

ElgGcziVgAAxJkk
Honda City yang turut terlibat dalam kemalangan berkenaan. FOTO: Twitter @redzuannewsmpb

Bagaimana boleh berlaku

Menurut pihak polis seperti dilaporkan Astro Awani yang memetik Bernama, kejadian itu berlaku apabila seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun telah memandu secara melawan arus ketika menghala ke pusat bandar Shah Alam.

“Siasatan awal mendapati, suspek memandu dari rumah di Seksyen 8 dan hendak ke pasar raya Tesco di Seksyen 13, tetapi dia telah tersalah jalan dan memasuki Lebuhraya LKSA.

“Setibanya di Plaza Tol Sri Muda beliau tidak mempunyai kad ‘Touch n Go’, lalu berpatah balik melawan arus untuk balik ke rumah,” jelas Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib.

Tambah beliau lagi, Kemalangan pertama di KM 3.1 menyebabkan kereta jenis Honda City terbalik dan mencederakan pemandu berusia 33 tahun selepas cuba mengelak Perodua Kelisa dipandu warga emas itu.

“Manakala di kemalangan di KM6.6 sebuah kereta jenis Perodua Myvi bertembung dengan kereta itu selepas gagal mengelak,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Susulan daripada kemalangan itu, pihak polis dilaporkan telah menahan suspek berkenaan untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu.

Baca juga perkongsian tular kereta ini yang melawan arus menggunakan laluan motosikal sebelum ini melalui pautan di bawah. 

Tiba-Tiba Keluar Dari Terowong, Lihat Aksi Berbahaya Kereta Ini Melawan Arus Di Lorong Motosikal

TENET Di Dunia Nyata, Lihat Bagaimana Lori Pasir Di Malaysia Ini Berundur Di Tengah-Tengah Jalan

Sering Dilihat Serata Negara, Kereta Kancil Unik Ini Akhirnya Ditunda Pihak Berkuasa