Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

“Surat di 2021? Bukankah kita sudah mempunyai pelbagai teknologi untuk meluahkan perasaan dan menyampaikan hasrat (dengan cepat dan pantas?)” soal anda.

Pertama kali mendengarnya anda mungkin akan sedikit terkejut dengan perkhidmatan menulis surat yang ditawarkan gadis ini di media sosial.

Ya, beliau menawarkan perkhidmatan menulis surat dengan tangan dan masih menggunakan perkhidmatan pos untuk menghantar surat.

Cuma apa yang berbeza antara beliau dengan ‘orang-orang lama’ adalah beliau mengambil upah menulis dan mengarang surat, apa-apa jenis surat kepada orang yang dikehendaki pelanggan.

3foLSnJR

Nur Izzati Abdul Rani, penulis surat

Kisah gadis berkenaan Nur Izzati Abdul Rani, yang menawarkan perkhidmatan menulis surat kepada pelanggan melalui media sosial mula mencuri tumpuan selepas beliau ditemuramah untuk salah satu program TV nasional baru-baru ini.

Berkongsi kepada The Vocket, Nur Izzati yang kini masih menuntut di salah sebuah institut pengajian tinggi memberitahu beliau mula menawarkan perkhidmatan menulis surat sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Buat anda yang tertanya-tanya bagaimana idea untuk menawarkan perkhidmatan menulis surat ini timbul, Nur Izzati dalam temubual terdahulu menjelaskan ianya bermula selepas dicadangkan oleh rakan pena-nya dari luar negara.

“Saya buat carian tentang rakan pena di Instagram. Kebanyakan mereka yang dari luar negara ini buat perkhidmatan tulis surat.

“Lepas itu saya macam terfikir nak buat juga,” jelasnya.

Bukan surat cinta sahaja

Walaupun ramai yang mungkin menganggap beliau hanya menulis surat cinta dengan tulisan berangkai, Nur Izzati menjelaskan beliau sebenarnya menawarkan pelbagai jenis surat daripada surat perpisahan, surat penghargaan buat ibu bapa dan rakan serta surat untuk sambutan seperti ulang tahun.

“Tak spesifik dekat (surat) cinta itu saja,” kongsinya.

-QiQyA2U

Bukan sahaja menawarkan pelbagai jenis surat untuk pelbagai tujuan, tetapi Nur Izzati juga menawarkan pelbagai jenis tulisan dan juga kertas serta dakwat yang digunakan untuk membuatkan surat yang diminta pelanggan tampil lebih eksklusif.

Bermula dengan harga serendah RM20 untuk setiap 100 perkataan, Nur Izzati menjelaskan perkhidmatannya itu yang dimulakannya sejak tahun lalu masih lagi mendapat sambutan sehingga ke hari ini.

“Mula mula tak berapa sangat, tapi awal bulan Jun (2020) sampai sekarang setiap hari ada pesanan.

“Kalau pelanggan yang paling ramai dari kalangan orang yang dah berkahwin. Beri untuk pasangan masing masing. Kedua terbanyak untuk sambutan hari jadi.

“Yang paling laris dari pasangan sudah berkahwin atau mereka yang hendak berkahwin atau bertunang,” kongsinya ketika ditanya mengenai pelanggan yang mendapatkan perkhidmatannya.

Bercerita lanjut mengenai proses pesanan atau permintaan daripada pelanggannya, Nur Izzati memberitahu ia terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan.

Sama ada mereka mahu menulis terdahulu isi kandungan surat berkenaan sebelum beliau menukarkan kepada tulisan yang dihasilkannya atau memberi kebebasan sepenuhnya kepada beliau untuk mengarang surat berkenaan sesuai dengan permintaan mereka.

Dan jika ada yang risau sekiranya surat yang ditulis ini tidak sampai atau terlambat sampai kepada si penerima, anda tidak perlu risau kerana beliau sebelum ini telah pun berhadapan dengan masalah tersebut.

Seperti mana usahawan lain yang mahir menguruskan masalah yang timbul dalam perusahaan mereka, Nur Izzati menjelaskan beliau kini sudah mula menggunakan perkhidmatan berbanding perkhidmatan pos biasa yang menggunakan setem.

“Masa mula mula buat saya guna setem.

“Lepas tu surat banyak tak sampai dekat penerima jadi saya guna perkhidmatan kurier untuk pos surat,” jelasnya.

Jadi kepada anda yang sudah lama berkeinginan untuk mengutus surat sama ada kepada pasangan, keluarga atau kenalan tetapi risau dengan banyak perkara- mungkin perkhidmatan yang ditawarkan ini boleh menjadi penyelesaian kepada masalah anda.

Dengan pelbagai jenis tulisan dan bermacam sampul surat untuk dipilih, pastinya si penerima akan terpegun dengan hasil tulisan tangan yang dihasilkan Nur Izzati ini. Anda boleh melihat sendiri lebih banyak hasil kerja yang dilakukannya sebelum ini di sini.

Baca juga perkongsian semasa di media sosial yang pernah kami kongsikan sebelum ini melalui pautan di bawah. 

Pernah Jadi Guru ‘Sniper’ TMJ, Pesara Tentera Sebak Baginda Masih Ingat Akan Dirinya

Selamba ‘Tarik’ Sambil Tebar Roti, Kehebatan Suara Renggo Arrow Curi Perhatian Ramai

‘Satu Dalam Sejuta’- Ketabahan Edika Yusof Terus Setia Jaga Isteri Lumpuh Buat Netizen Terharu

Anda Mungkin Suka