Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menerusi satu perkongsian di Facebook semalam menerima satu aduan berkenaan kes membunuh anjing terbiar menggunakan busur dan anak panah oleh seorang lelaki.

Artikel Berkaitan:

Lelaki tersebut bertindak kejam dengan membunuh anjing tersebut dengan melepaskan beberapa anak panah sehingga satu daripadanya masih tertanam di muka anjing tersebut. Kejadian dilaporkan berlaku di satu kawasan di Setapak, Wangsa Maju.

Kejadian yang dikatakan berlaku pada Khamis lalu, dirakam seorang individu dan turut dikongsi oleh pihak SAFM di media sosial. Menerusi rakaman berdurasi 23 saat itu, kelihatan seorang lelaki memegang panah sebelum beberapa kali melepaskan anak panah ke arah anjing.

“Menurut video yang dihantar, suspek kelihatan mengambil busur dan anak panah sambil mengekori seekor anjing terbiar. Suspek tanpa membuang masa menembak anjing malang itu apabila dia mempunyai peluang. Anjing ini didapati mati dengan anak panah masih tertanam dalam mukanya.

“Kami yakin anjing ini tidak ganas dan tidak membahayakan suspek seperti yang disaksikan di dalam video. Mengapakah si kejam ini memburu anjing sebagai bahan latihan pemanah?” tulis SAFM di perkongsian mereka.

SAFM meminta saksi kejadian untuk tampil supaya pesalah yang melakukan perbuatan zalim itu boleh ditangkap dan didakwa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata kepada Berita Harian, tiada laporan polis diterima setakat ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis kini sedang berusaha mengesan suspek.