Satu negara tergamam dengan perbuatan seorang pengasuh yang sanggup bertindak kejam membunuh seorang bayi yang baru menjangkau usia 5 bulan. Berdasarkan laporan Harian Metro, Adam Rayqal meninggal dunia kecederaan di bahagian kepala di mana tempurung kepala Adam Rayqal retak serta berlaku pendarahan di dalam otaknya.

Hasil bedah siasat ini menafikan keterangan awal suspek bahawa bayi berkenaan tersedak susu dan pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengetahui sama ada adik Adam Rayqal dipukul, dihempas atau terjatuh ketika dalam jagaan.

Jika anda mengikut kronologi kisah ini sejak dari mula, anda sudah nampak bahawa si pengasuh sudah mula panik apabila membuat alasan yang tidak masuk akal. Beliau bermula dengan memberitahu Adam Rayqal diambil oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai ayahnya kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Ianya langsung tidak logik kerana mana mungkin si pengasuh tidak kenal siapa ayah sebenar kepada Adam Rayqal. Kenapa si pengasuh boleh senang-senang sahaja menyerahkan anak kepada orang luar? Apabila si ibu dan bapa Adam Rayqal membuat laporan polis, pihak polis telah menyoal siasat si pengasuh.

Meragui jawapan yang diberikan, sekitar awal pagi semalam barulah si pengasuh menunjukkan lokasi sebenar Adam Rayqal disembunyikan. Alangkah sayunya hati apabila beg kain berwarna hijau yang kita biasa guna untuk meletakkan pakaian terkandung insan yang kita sayangi dan disorok pula di dalam peti sejuk.

Jika kita berfikir menggunakan akal yang waras, apalah sangat yang bayi berusia 5 bulan boleh buat sehingga kita jadi sangat marah? Tiada insan yang waras akan buat sesuatu seperti ini.

Si pengasuh juga mempunyai sejarah lampau sebelum ini yang tidak menjaga anak asuhannya dengan baik. Sejurus sahaja berita kehilangan adik Adam Rayqal diviralkan, dikhabarkan si pengasuh sudah mula mengiklankan kekosongan untuk menjaga anak yang baharu. Tanpa rasa bersalah!

Kes bayi meninggal akibat tersedak susu, terjatuh dan kecuaian lain seperti sudah biasa kita baca di media sosial. Diharap kes Adam Hayqal ini adalah kes terakhir seumpama ini yang berlaku dalam masyarakat kita.

Kejadian seperti ini sedikit sebanyak membuatkan para ibu yang bekerja berasa takut untuk meninggalkan anak kecil kepada pengasuh. Kes ini sedikit sebanyak mencalarkan imej pengasuh lain yang benar-benar ikhlas dalam menjalankan amanah yang diberi.

Tiada ungkapan yang boleh menggambarkan betapa pilunya hati keluarga Adam Rayqal ketika ini. Polis sudah pun menahan si pengasuh bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun di rumah sewa mereka semalam. Semoga kebenaran akan terbongkar kelak dan si pengasuh menerima hukuman yang setimpal dengan apa yang beliau sudah lakukan.

Nyawa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Al-Fatihah buat adik Adam Rayqal.