Di mana-mana sahaja seluruh Malaysia, pasti akan jumpa gerai burger di tepi jalan. Kita membesar dengan burger Ramly dan kesedapannya memang tiada tandingan. Kalau nak lebih sedap, tambah keju dan telur.

Namun kini, burger special gaya burger Ramly tepi jalan sedang meletup di New York! Burger yang disaluti telur adalah sesuatu yang baru di sana dan memang ramai yang beratur untuk merasa sendiri burger ‘gaya tepi jalan’ ini. INSIDER Food turut berkongsi burger hasil tangan The Malaysian Project ini semalam di Facebook dan dalam masa sehari, sudah mendapat lebih 10 ribu perkongsian!

Calvin Leong adalah pengasas The Malaysian Project (TMP) ini. Daging burger yang digunakan adalah burger buatan sendiri dan bukannya burger Ramly. Mungkin ianya lebih mudah untuk buat daging sendiri berbanding mengimport burger Ramly dari Malaysia. Namun gaya bungkusan telur burger TMP sama seperti apa yang peniaga burger buat di sini.

Orang putih baru tahu rahsia kesedapan burger kita dan rata-rata yang pernah makan di The Malaysian Project menyukai burger buatan The Malaysian Project. Ada juga perkara yang mengharumkan nama negara kita di Amerika Syarikat ketika ini.

Namun berdasarkan hidangan lain yang turut dijual di gerai The Malaysian Project, ianya tidak halal untuk yang beragama Islam. Tetapi tidak mengapa. Kita kan ada burger Ramly. Semoga terus maju The Malaysian Project di bumi Amerika Syarikat.