Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Kerana mulut badan binasa. Begitulah situasi yang dihadapi penyanyi Ye atau Kanye West selepas mengeluarkan kenyataan berbaur anti-semitik dalam satu temubual.

Artikel Berkaitan:

“Satu perkara tentang saya dan adidas ialah saya boleh bercakap tentang perkara anti-semitik dan adidas tidak boleh buang saya,” kata Ye dengan angkuh.

adidas semalam telah mengeluarkan kenyataan rasmi menamatkan terus kerjasama antara mereka dan Kanye untuk siri Yeezy.

“adidas tidak bertolak ansur dengan nilai anti-semitik atau mana-mana kenyataan berunsur menghasut. Komen Ye baru-baru ini tidak boleh diterima, menghasut dan bahaya serta telah melanggar nilai syarikat ini yang mementingkan kepelbagaian dan menghormati antara satu sama lain.

“Setelah semakan yang teliti, syarikat (adidas) telah membuat keputusan untuk menamatkan segala kerjasama dengan Ye secara serta merta, menamatkan pengeluaran produk Yeezy serta menghentikan segala pembayaran kepada Ye dan syarikatnya. adidas akan terus menghentikan bisnes Yeezy dengan kadar segera,” memetik kenyataan adidas.

adidas berkata keputusan ini akan menyebabkan short-term negative impact kepada syarikat sehingga 250 juta Euro (~RM1 bilion) kerana tidak menjual produk Yeezy untuk suku ke-4 tahun ini.

adidas juga menegaskan bahawa ‘setiap rekaan Yeezy adalah dimiliki sepenuhnya oleh adidas termasuklah untuk model yang pernah dikeluarkan atau rekaan akan datang di bawah kerjasama mereka sebelum ini’.

Balenciaga, Gap dan Foot Locker turut ‘buang’ Yeezy

Minggu lalu, jenama mewah Balenciaga merupakan antara jenama terawal yang ‘membuang’ Ye daripada mempunyai sebarang kaitan dengan jenama mereka, juga kerana komen anti-semitik yang dikeluarkan Ye. Segala rakaman video dan gambar yang mengandungi wajah Ye akan disunting keluar daripada rangka promosi akan datang Balenciaga.

Walaupun jualan pakaian Gap x Yeezy sedang laris di seluruh dunia pada ketika ini, Gap juga telah membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan Ye dan segala barang jualan atau produk Gap x Yeezy akan ditarik balik di butik dan dalam tlaian.

Laman YeezyGap.com juga telah ditutup serta merta dan jika anda menekannya, ia akan membawa anda kembali ke butik dalam talian Gap.

Foot Locker turut akan menghentikan jualan semua produk Yeezy di butik mereka selepas ini. Namun, jualan produk lain di bawah jenama adidas akan diteruskan seperti biasa.

adidas telah bekerjasama dengan Ye sejak 2013 dan pada 2016 telah menandatangani perjanjian khas untuk menghasilkan dan menjual produk Yeezy di seluruh dunia. adidas sebelum ini berkata kerjasama tersebut telah memberi ‘impak besar’ dalam bisnes mereka dan menjadikan adidas x Yeezy antara kolaborasi terbaik dalam sejarah fesyen dunia.