Setiap barangan yang dipasang pada kereta, pasti ada kegunaannya yang tersendiri untuk membolehkan kereta mampu berfungsi dengan baik. Bagaimanapun ada segelintir pihak yang bertindak sebaliknya dengan mengeluarkan komponen tersebut daripada kenderaan.

Baru-baru ini pakar automotif tempatan, Dr Aid Fawzal tampil memberikan pencerahan mengenai ada segelintir pihak yang mencabut thermostat keluar kerana tidak mahu mengganggu dan meningkatkan suhu kereta.

Baca Juga:

Menurut Dr Aid, fungsi ‘thermostat’ adalah alat bagi mengawal suhu sesuatu sistem. Dalam perspektif automotif pula, thermostat adalah komponen yang mengawal suhu enjin.

“Tugas thermostat ni nak bantu enjin supaya mencapai suhu operasi. Tanpa thermostat, air penyejuk (coolant) yang dah dipanaskan oleh enjin akan terus sampai ke radiator dan disejukkan. Jadi sampai bila-bila susah nak capai suhu operasi tersebut,” terang beliau.

Sumber Gambar: Facebook Dr Aid Fawzal

Pakar automotif itu juga turut mengupas lebih lanjut bagaimana thermostat berfungsi berdasarkan gambar rajah di atas.

Sewaktu enjin sejuk
  1. Thermostat menutup laluan air penyejuk (coolant) untuk ke radiator.
  2. Air penyejuk yang berada dalam enjin akan dikitar/beredar (circulate) di dalam enjin sahaja.
  3. Dengan ini, suhu enjin dapat dinaikkan ke tahap suhu operasi dengan lebih cepat.
Sewaktu enjin panas
  1. Thermostat membuka laluan air penyejuk (coolant) untuk ke radiator namun masih membenarkan air pusing balik terus ke dalam enjin.
  2. Dengan ni, suhu enjin terkawal.
Sewaktu enjin terlalu panas
  1. Apabila enjin beroperasi dengan kuat, seperti memecut deras atau mendaki bukit, haba yang terhasil juga kuat.
  2. Sewaktu ini, thermostat akan membuka laluan air penyejuk untuk ke radiator sepenuhnya dan menutup laluan terus ke enjin.
  3. Hanya air penyejuk yang telah sejuk selepas melepasi radiator sahaja yang akan pulang semula ke enjin.
Sumber Gambar: Wuling.id

Dr Aid menyatakan apabila thermostat itu dibuang, tindakan itu akan melambatkan enjin untuk capai suhu operasi. Enjin akan lebih lama duduk dalam keadaan sejuk dan ini menyebabkan beberapa perkara seperti:

  1. ECU akan tembak minyak banyak supaya suhu naik, tapi suhu tidak meningkat. Jadi minyak makan banyak.
  2. Sistem penyalaan (ignition) akan berada dalam keadaan ‘retard‘ dengan lebih lama. Pembakaran tidak sempurna & minyak makan lebih banyak.
  3. Lebih cepat komponen logam rosak. Ini disebabkan ia tidak mengembang dengan baik dan bergesel antara satu sama lain.
Sumber Gambar: Slingmotion.com

Apa perlu kita buat sekiranya suhu meningkat tinggi dari kebiasaan? Menurut Dr Aid, buang thermostat bukanlah jalan penyelesaian yang sebenar.

Sebaliknya kita perlu cari punca masalah utama seperti kebocoran pada beberapa komponen lain seperti radiator, hos atau coolant sudah tidak elok, hanya gunakan air sahaja.

Beliau juga tidak menolak jika head gasket atau thermostat itu sendiri sudah bermasalah dan rosak.

Maka dengan itu, apabila punca masalah utama berjaya dikesan, barulah boleh ganti komponen yang rosak dengan baharu.

Bagi yang berminat dengan perkongsian teknikal automotif, anda boleh ikuti perkongsian lanjut Dr.Aid Fawzal di Facebook dan Twitter rasminya.

*Ikuti Facebook dan Instagram di VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.