Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi mengingatkan pengusaha kedai gunting agar mengenakan caj yang bersesuaian kepada pelanggan selepas dibenarkan kembali beroperasi 10 Jun ini.

Caj tambahan itu dijangka dikenakan susulan pengenalan SOP baru yang perlu dipatuhi pengusaha kedai gunting seperti pemakaian apron pakai buang, sarung tangan, topeng dan cecair pensanitasi tangan.

Beberapa laporan pada minggu lalu mengatakan harga bagi perkhidmatan gunting rambut akan meningkat naik selepas pengusaha-pengusaha kedai gunting ini terpaksa berbelanja lebih bagi mematuhi prosedur itu.

“Sebagai contoh, sekiranya proses menggunting rambut hanya melibatkan penggunaan pemakaian topeng, apron pakai buang, sarung tangan dan cecair pensanitasi tangan, maka hanya kos barangan terlibat ini saja yang boleh dicaj kepada pelanggan selain kos asal upah gunting,” katanya dalam kenyataan semalam seperti dilaporkan FMT.

Alexander juga memberitahu jika jumlah keseluruhan alatan yang digunakan bagi pematuhan SOP itu hanya berharga RM3.80 maka pengusaha kedai gunting hanya perlu menambah jumlah itu bersama dengan harga asal dan bukannya mengenakan caj sehingga RM10.

Pengusaha yang didapati mengenakan harga yang tidak berpatutan menurutnya boleh disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP).

Malah, pengguna juga boleh membuat aduan kepada KPDNHEP sekiranya mendapati ada kedai-kedai gunting mengenakan caj tidak munasabah kepada pelanggan mereka selepas ini.

Baca perkongsian semasa perkembangan perintah kawalan pergerarakan di pautan di bawah. 

Kedai Gunting Rambut Dibenarkan Beroperasi Semula Mengikut SOP Bermula 10 Jun

Perjalanan Rentas Negeri Dibenarkan Mulai 10 Jun

Pas My30 Serendah RM1 Sehari Dan Kredit ‘e-Wallet’ RM50 Oleh Kerajaan Jadi Tumpuan Netizen