Setiap daripada kita yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalami masalah ini. Masalah anak terlalu obses dengan telefon bimbit. Anak kami yang sulong, Zikri Kareem Zaini membesar sama seperti anak orang lain. Kami juga ibu bapa, sama seperti orang lain.

Pada peringkat awal, kami pun tak perasan perkara ini. Mungkin kerana kesibukan kami dalam menguruskan kehidupan seharian, kadang kadang kami terlepas pandang bahawa kami telah mengambil jalan mudah dalam membesarkan anak-anak.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tanpa kami sedari, hasrat kami yang kononnya sekadar memberikan telefon bimbit supaya anak dapat pendedahan awal rupanya memang satu kesilapan besar!

Kami sangkakan kami betul, kerana melihat orang lain boleh bagi, apa salahnya kami bagi. Kami ingat sebagai ibu bapa kami boleh control keadaan. Rupanya kami betul-betul silap!

Anak yang terlalu didedahkan kepada handphone akan menyebabkan mereka kurang selera makan, kurang nak bergaul dengan orang lain, fizikal kurang kuat kerana tidak aktif, emosi tidak stabil, tidak berminat dengan persekitaran, mudah cepat marah dan paling merisaukan adalah pembesaran dan perkembangan mental serta emosi mereka akan terbantut!

Mujurlah kami tersedar awal dan kami berjaya memperbaiki semula kesilapan.

Hari ini kami nak share tips apa yang kami lakukan untuk mengatasi masalah ketagihan handphone pada anak kami. Berikut adalah 12 perkara yang kami lakukan untuk buat anak lupa terus pada handphone.

1. Luangkan Masa Untuk Bermain Dengan Anak

Dalam tempoh perkembangan anak, bermain sangat penting untuk melatih dan mengajar mereka. Mereka perlukan aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal disamping aktiviti yang membantu perkembangan daya pemikiran.

Dalam tempoh ini, amat perlu sekali untuk kita bermain bersama mereka bagi menarik daya minat mereka untuk terus belajar. Bahkan dengan cara kita bermain bersama mereka, kita dapat membentuk dan mengeratkan hubungan antara kita dan anak.

Sebaik saja kami membuat keputusan untuk tidak lagi memberikan handphone kepada anak, kami mula memperbanyakkan aktiviti bersama dia dengan bermain bersama.

2. Puji Mereka Selalu

Anak-anak sebenarnya dambakan perhatian kita. Insan yang paling rapat dan paling mereka kagumi adalah kita. Jadi setiap apa yang mereka lakukan, dan tahap mana yang berjaya mereka capai, mereka nak kita tahu dan puji mereka.

Waktu kita bermain dengan mereka, apabila mereka dapat mencapai sesuatu tahap, puji mereka agar mereka rasa bangga dan seronok. Itulah yang kami lakukan kepada anak kami supaya mereka rasa seronok untuk melakukan sesuatu dan mereka akan lebih aktif serta rajin lagi.

3. Belikan Atau Buatkan Mereka Permainan Yang Membantu Perkembangan Minda

Selain daripada permainan kesukaan mereka, kita boleh beli permainan pendidikan yang mampu meransang minda anak-anak. Tidak perlu yang mahal-mahal, yang murah-murah pun tak apa dan kalau boleh sentiasa belikan yang baru agar mereka tidak jemu kerana hanya main satu permainan dalam satu masa.

Kalau nak jimat lagi, cuba buat sendiri permainan dan boleh rujuk di laman-laman web lain bagaimana caranya membuat permainan yang mudah dan murah. Dalam bahagian ini Erda Akir selalu memainkan peranan.

Kami akan ke kedai DIY dan membeli pelbagai peralatan untuk mencipta permainan bersama anak. Antaranya seperti kayu ais krim, cotton ball, span, number, sticker dan banyak lagi.

4. Sediakan Sebuah Beg Mainan

Sediakan sebuah beg untuk mengisi mainannya apabila kita ke mana-mana. Bila keluar rumah, suruh anak pilih beberapa permainan kegemarannya untuk dibawa bersama. Dengan cara ini, anak akan fokus pada permainannya dan tidak bosan. Bila mereka tidak bosan, lebih mudah untuk mereka lupa pada handphone.

Kalau Zikri, kami belikan dia beg TOBOT khas untuk dia simpan mainannya apabila keluar. Kami tetapkan, dia boleh pilih beberapa mainan yang dia suka, biasanya dalam 3 hingga ke 5 jenis, dan dia mesti ingat apa yang dia bawa. Kemudian apabila nak balik, dia mesti periksa beg dia supaya tiada permainan yang tertinggal. Ini dapat memberikan rasa tanggungjawab kepada dia.

5. Ajak Mereka Keluar Ke Tempat Kesukaan Mereka

Bawalah mereka ke playground atau mana-mana tempat kesukaan mereka untuk mereka bermain dan bebas berlari serta melakukan aktiviti fizikal. Dengan cara ini kita dapat buat aktiviti yang dapat menyihatkan badan kita dan mereka.

Contohnya, Zikri suka ke tempat seperti indoor playground. Kami bawa dia ke sana supaya dia rasa seronok bermain. Dengan cara itu dia dapat melupakan rasa inginnya kepada handphone.

6. Bawa Mereka Makan Di Tempat Yang Mereka Suka

Anak kita sudah tentu mempunyai makanan kegemaran. Kerap-keraplah bawa mereka ke tempat yang ada jual makanan kegemaran mereka. Dengan cara ini mereka akan rasa seronok di samping kita dapat memastikan mereka mendapat khasiat yang mencukupi melalui pemakanan.

Bagi Zikri, dia suka makan di kedai yang ada jual roti canai, antara makanan kegemarannya adalah roti canai. Sekali sekala kami bawa dia ke Marry Brown untuk dia beli Kiddy Meal. Dia seronok bila dapat hadiah permainan bila beli Kiddy Meal. Seeloknya, kita suapkan makanan dia walaupun anak kita dah boleh makan sendiri supaya mereka lebih rasa disayangi.

7. Ajarkan Mereka Solat Dan Hidupkan Taklim Di Rumah

Ajarkan mereka solat dengan cara yang paling menyeronokkan dan menggembirakan supaya mereka rasakan bahawa solat itu bukan satu perkara yang berat dan seronok untuk dilakukan.

Hidupkan taklim di rumah dengan cara ceritakan pada anak-anak kisah-kisah Nabi dan Para Sahabat supaya mereka membesar dengan cerita tersebut dan dalam hati mereka sentiasa ada Nabi dan Para Sahabat.

8. Berikan Ganjaran

Untuk memastikan mereka sentiasa patuh dan berdisiplin, kita boleh memberikan reward kepada mereka jika mereka melakukan sesuatu yang baik atau mengikut peraturan yang kita tetapkan.

Contohnya, bila kita nak buat perkara nombor 3 iaitu belikan mereka mainan, kita mesti meletakkan syarat dia perlu tunaikan solat dulu atau habiskan baca buku dulu dan sebagainya.

Sama juga jika nak bawa mereka makan di tempat kegemaran mereka. Sebelum pergi makan, mereka mesti patuhi syarat terlebih dahulu. Selain daripada itu, reward juga boleh diberikan dengan cara bawa mereka bercuti dan sebagainya dengan syarat mereka mesti patuh pada perkara yang telah kita tetapkan.

Antara syarat yang kami letakkan, dia mesti makan dan tidak boleh lagi bermain handphone.

9. Kuatkan Azam, Ibu dan Ayah Kena Sepakat

Perkara yang paling penting dalam hal ini adalah kata sepakat antara ibu dan ayah. Dua-dua kena tegas. Bila ibu dan ayah dah membuat keputusan untuk tidak lagi membenarkan anak bermain handphone, tak kira anak tu menangis macam mana pun, guling-guling macam mana pun, sama-sama jangan bagi.

Jangan pula ibu tak bagi tapi ayah bagi. Perkara tu takkan selesai kalau tiada kata sepakat.

10. Banyakkan Berdoa, Tawakal dan Bersabar

Salah satu perkara paling penting yang perlu kita lakukan adalah bangun malam, buat solat taubat minta Allah ampunkan dosa sekeluarga, solat hajat minta Allah lembutkan hati anak kita, solat tahajud minta Allah bagi kita sekeluarga kefahaman agama dan solat isktikharah minta Allah beri petunjuk bagaimana caranya untuk bimbing dan asuh anak kita untuk jadi soleh dan solehah.

11. Sentiasa Percaya

Percaya bahawa anak kita boleh berubah. Yakin dan jangan putus asa. Kami mengambil masa 2 minggu untuk bertahan dengan tempoh fasa untuk anak kami berubah. Dugaannya bukan mudah. Anak menangis dan mengamuk, memang merisaukan, namun demi kebaikan anak, kami pertahankan semua itu dan banyakkan bersabar.

12. Minta Sokongan Ahli Keluarga Yang Lain

Kita takkan boleh jayakan misi kita tanpa sokongan dari ahli keluarga yang lain. Lebih-lebih lagi bila ahli keluarga yang lain mempunyai anak yang sama baya dengan anak kita.

Apa yang kami lakukan, apabila kami nak bawa anak kami berjumpa dengan anak mereka, kami minta mereka tidak memberikan handphone kepada anak mereka di hadapan anak kita. Ini sangat penting kerana kita bimbang anak kita boleh terpengaruh semula.