Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan dan mesti diakui bahawa tidak semua orang suka dengan kita lebih-lebih lagi di media sosial. Golongan pembenci atau mudah dipanggil ‘hater’ ini boleh jadi sangat menyeramkan. Mana tidaknya,  mereka boleh mengeji, berkata buruk atau apa sahaja perkara yang bersifat negatif kepada anda tanpa pernah mengenali anda pun.

Kebiasannya haters ini akan berdamping dengan orang-orang popular seperti selebriti atau tokoh politik. Jadi sifirnya, semakin ramai anda mempunyai haters, ini bermakna anda semakin popular. Para haters sebenarnya seorang yang sangat gigih, gigih membuang masa untuk mencari kesalahan orang lain dan memburukannya tanpa mendapat apa-apa faedah.

Oleh itu saya cuba senaraikan bagaimana cara yang boleh anda lakukan bila berhadapan dengan haters tanpa menjejaskan kredibiliti anda sebagai seorang manusia yang bagus.

Gambar hiasan

1. Jangan marah dan belajar mencintai diri sendiri

Adalah pekerjaan haters untuk membuatkan anda rasa marah, rendah diri atau kecewa dengan melontarkan perkataan-perkataan buruk yang boleh menjatuhkan anda. Jika anda menuruti apa yang diperkatakan oleh mereka, minda anda tidak akan berkembang. Oleh itu, yakinkan diri dengan kemampuan yang anda miliki dan belajarlah mencintai diri sendiri dengan berbekalkan potensi yang anda ada.

2. Abaikan mereka

Nah, ini sebenarnya cara yang paling mudah! Jangan pedulikan mereka, jika ianya berlaku, anda sebenarnya sudah menghabiskan masa untuk ambil tahu tentang mereka. Jadi, abaikan sahaja tentang apa jua perkara buruk yang mereka katakan tentang anda. Terlalu memikirkan apa yang dikatakan oleh haters bakal membuatkan anda rasa ragu kemudiannya menyalahkan diri sendiri.

3. Balas dengan kebaikan

Jika anda membalas para haters dengan keburukan, jadi apa bezanya anda dengan mereka? Letakkan nilai diri anda jauh lebih tinggi daripada mereka dengan berbuat baik kepada mereka. Ini secara langsung memberitahu mereka yang anda mempunyai kualiti keperibadian yang jauh lebih bagus.

4. Delete atau block

Kalau di media sosial, setiap kali anda berhadapan dengan haters ambil sahaja cara paling mudah. Pertama padam komen negatif atau block terus mereka. Tindakan ini bukan sahaja membersihkan akaun sosial anda daripada perkara-perkara negatif, malah mampu membuatkan anda rasa lebih tenang.

Silap haribulan, para haters pula rasa sakit hati kerana tidak dapat menyakiti anda dan akhirnya akan menggila dengan sendiri.

5. Perbaiki diri

Para haters akan menggunakan kelemahan anda sebagai senjata mereka, oleh itu ini secara tidak langsung memberikan anda motivasi untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik supaya mereka menyesal kerana tolong menyedarkan anda.

6. Jangan jadi seperti mereka

Sentiasa berfikiran positif dan ingatlah lebih ramai orang yang menyukai anda. Jadikan sikap buruk yang ditunjukkan para haters sebagai pendinding anda untuk tidak jadi seperti mereka. Sejarah sudah mengajar kita, menjadi orang jahat akan diakhiri dengan kehidupan yang sungguh menyedihkan.

7. Bersabar

Orang kata, mulut orang tak boleh tutup tetapi boleh tumbuk. Maka perbanyakkan bersabar dalam melayan kerenah manusia, kerana orang-orang yang sabar pasti tidak akan rugi. Bersabar mampu mendidik rohani anda untuk jadi lebih kuat.