Perayaan Hari Raya Aidilfitri telahpun sampai ke pengakhirannya. Ketupat dan rendang sudah dimakan, saudara-mara sudah pulang ke bandar untuk bekerja, segala salah laku pun sudah dimaafkan, duit raya pun telah diterima dengan gembira.

Semasa sambutan Hari Raya masih ada sebilangan daripada kita yang menerima duit raya yang diberikan oleh ibu bapa dan saudara-mara yang tersayang.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Jumlah duit raya mungkin mencecah puluhan hingga ratusan ringgit. Persoalan yang timbul sekarang ialah, “Bagaimana saya nak gunakan duit raya ini dengan berfaedah ya?”

Apakah Yang Boleh Anda Lakukan Dengan Duit Raya Anda?

Setelah menerima duit raya, ramai yang tidak mengetahui bagaimana untuk menggunakan wang itu dengan berfaedah dan membazirnya dengan melepak dengan rakan-rakan, pergi ke kafe siber, memanjakan diri dengan membeli-belah dan sebagainya.

Oleh itu, artikel ini akan membincangkan cara-cara yang anda boleh gunakan untuk memanfaatkan duit raya anda dengan sepenuhnya.

1. Meletakkannya ke Dalam Akaun Simpanan

Anda pasti pernah mendengar peribahasa “sediakan payung sebelum hujan”. Menyimpan duit raya anda ke dalam akaun simpanan merupakan satu cara yang baik untuk berjimat dan memastikan anda mempunyai wang yang berlebihan pada masa kecemasan. Jikalau anda memasukkan wang tersebut di dalam akaun simpanan, anda tidak akan menggunakannya serta-merta.

Terdapat banyak bank di negara kita yang menyediakan perkhidmatan perbankan Islam untuk anda menyimpan duit raya anda dengan mudah. Selain itu, salah satu cara yang paling baik untuk memastikan anda tidak menyentuh wang dalam akaun simpanan ialah dengan meninggalkan kad ATM anda dengan ibu bapa.

Jika kad ATM anda tidak ada pada anda, anda tidak dapat mengeluarkan wang di dalam akaun tersebut; ini secara tidak langsung membolehkan anda untuk lebih berjimat-cermat.

2. Membeli Sesuatu Untuk Ibu Bapa

Kerap kali kita terlalu sibuk dengan kerja sehingga dengan tidak sengaja akan mengabaikan ibu bapa kita. Sebagai anak yang baik, kita wajib mentaati dan berbakti pada ibu bapa, dan mendahulukan kepentingannya mengalahkan kepentingan peribadi.

Oleh itu, sebagai tanda terima kasih kepada ibu bapa, ambillah peluang ini untuk belanja mereka, sama ada membeli hadiah untuk mereka atau membawa mereka menjamu makanan yang sedap.

Tidak perlu membeli hadiah mahal-mahal atau membawa mereka ke restoran mewah. Sekadar kedai asam pedas kesukaan ibu bapa pun sudah boleh. Yang penting, ada hati cukuplah. Sebenarnya, ibu bapa hanya mahu kita menemani mereka terutamanya apabila mereka semakin tua.

3. Mengambil Cuti Yang Pendek Di Dalam Negara

Anda juga boleh menggunakan duit raya anda untuk bercuti bersendirian, atau bersama keluarga, atau rakan-rakan. Cuti di negara sendiri sebenarnya tidak memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.

Terdapat banyak pakej percutian yang disediakan yang kamu mampu bayar dengan duit raya anda. Kalau tidakpun, duit raya anda sekurang-kurangnya cukup untuk membiayai one-day trip ke pantai atau pulau idaman anda.

Aktiviti percutian memberikan banyak kebaikan kepada kita. Pertama sekali, bercuti membolehkan kita untuk melepaskan stres yang dialami setiap hari.

Selain itu, bercuti dengan orang yang tersayang juga merupakan satu peluang untuk menjalin hubungan yang lebih erat. Bercuti juga dapat memberikan perspektif baru tentang keunikan negara sendiri serta mengenali budaya dengan lebih mendalam.

4. Bayar Hutang Yang Sedia Ada

Ramai daripada kita mempunyai perbelanjaan bulanan yang wajib seperti sewa, bayaran ansuran, hutang, dan sebagainya. Selain menggunakan duit raya semata-mata untuk tujuan hiburan, anda juga boleh menggunakan duit raya untuk membayar hutang anda yang sedia ada.

Walaupun duit raya anda mungkin tidak dapat membereskan hutang anda sepenuhnya, namun sekurang-kurangnya sebahagian daripada hutang anda dapat dilangsaikan seperti bayaran PTPTN bulanan, sewa bilik, bil Internet, bayaran insurans untuk bulan tersebut, dan sebagainya.

5. Membuat Kerja Amal

Ramai penduduk negara Malaysia tidak bernasib baik seperti anda. Ada yang tinggal di rumah anak yatim piatu, ada yang tidak mempunyai makanan yang mencukupi, dan banyak lagi kes yang menyayat hati.

Oleh itu menjadi rakyat Malaysia yang prihatin dan murah hati dengan menderma duit raya anda dapat memperbaiki hidup orang yang memerlukannya.

Walaupun wang yang disumbangkan mungkin kelihatan tidak sebanyak mana, duit tersebut mungkin menentukan hidup mati orang lain. Bukan sahaja sumbangan anda dapat membantu mereka untuk mendapat keperluan hidup, namun anda juga akan berasa berpuas hati kerana anda berupaya membantu golongan-golongan tersebut.

6. Menggunakannya Untuk Memperbaikkan Diri

Selain contoh-contoh di atas, anda juga boleh menggunakan duit raya untuk memperbaiki diri secara fizikal, emosi, dan mental. Gunakanlah duit raya itu untuk menghadiri aktiviti yang berfaedah seperti menghadiri kelas bahasa Jepun, kursus pengurusan kewangan, gim, zumba, dan sebagainya.

Selain ilmu dan kemahiran yang dipelajari dari aktiviti-aktiviti ini, kamu juga dapat memperoleh kenalan baru serta meningkatkan portfolio anda.

Manfaatkan duit raya yang diterima pada Hari Raya ini dengan sebaik-baiknya. Contoh-contoh yang diberikan di atas cuma merupakan beberapa cadangan yang boleh anda gunakan untuk memanfaatkan duit raya anda secara berhemah.