Sejak kebelakangan ini, saya perasan ramai yang baru mencuba perkhidmatan Uber dan Grab untuk ke destinasi masing-masing. Sebagai pengguna kerap, dan pernah juga menjadi pemandu Uber, saya nak kongsikan beberapa panduan yang mungkin dapat membantu anda merasai satu perjalanan yang efisyen.

taxi alternative

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bagaimana saya menghubungi kereta Uber/Grab?

Kalau anda suka warna hijau, muat-turun aplikasi Grab dari Google Play atau App Store. Tapi kalau anda suka warna hitam, dapatkan Uber dari Google Play atau App Store.

Masing-masing ada kelebihan, jadi lagi baik anda muat-turun kedua-duanya sekali. Lepas itu, lambaikan telefon anda di tepi jalan untuk panggil kenderaan tersebut. OK, saya bergurau je. Anda mestilah kena buka aplikasi tersebut dan daftar.

Bagaimana memilih diantara perkhidmatan tersebut?

Kedua-dua syarikat ini mempunyai tarif harga yang berlainan. Jadi, bagi perhatian tentang perkara ni.

Grab (GrabCar) bermula dengan kadar RM1.40, dengan tambahan RM0.58 setiap KM dan RM0.24 setiap minit. Bagaimanapun mereka ada RM7 kadar minima tak kira berapa dekat jarak perjalanan anda.

Uber (UberX) bermula dengan RM0.95, dengan RM0.60 setiap KM dan RM0.25 setiap minit. Mereka tidak kenakan kadar minima.

Jadi secara umumnya kalau anda hendak ke tempat yang kurang dari 5km, gunakan sahaja UberX. Kalau lebih dari tu, guna GrabCar. Tapi melalui pengalaman saya, UberX kadang-kadang lebih murah kerana mereka kenakan bayaran yang tepat berdasarkan jarak + masa perjalanan anda.

Lagi mengenai harga

Grab akan bundarkan kepada tingkat harga terdekat berdasarkan jarak yang anda letak pada tempat pengambilan & penurunan, jadi anda boleh tahu tambang sebelum memulakan perjalanan.

Uber pula akan mengira tambang dengan tepat, jadi anda perlu habiskan perjalanan sebelum mengetahui harga sebenar, tapi anda masih boleh meminta anggaran harga melalui aplikasi mereka sebelum perjalanan.

Apa yang saya suka tentang Uber ialah mereka mempunyai banyak info bagi perjalanan terdahulu untuk rujukan, dan mereka mempunyai kadar tambang yang sangat tepat hingga ke sen.

Semasa waktu puncak, Uber kadang-kadang akan menaikkan harga mereka (yang dipanggil Surge Pricing) bila permintaan lebih dari biasa. Kadar harga boleh mencecah 2 hingga 5 kali ganda terutamanya di kawasan pusat bandar.

Grab pula tidak mempunyai mekanisma ini. Jadi kalau harga Uber sedang naik, faham-fahamlah nak gunakan aplikasi apa.

Pengambilan & penurunan penumpang

Ini sesuatu yang penting untuk anda mahirkan jika anda mahukan pengalaman yang baik. Lebih kurang juga dengan teksi, anda patut cari tempat yang senang bagi kenderaan mengambil anda, seperti:

1. Hentian bas/teksi
2. Lobi bangunan
3. Pondok pengawal atau pintu masuk
4. 7-Eleven, Starbucks, OldTown White Coffee
5. Tempat terkenal seperti kompleks membeli-belah

Masukkan nama tempat tersebut, pilih tempat yang ada nama yang jelas, dan lokasi yang tepat. Jangan terlalu bergantung dengan fungsi GPS di telefon anda, sebab kadang-kadang nama tempat yang dicadangkan tak berapa lengkap.

Dalam aplikasi pemandu, pemandu selalunya bergantung kepada nama tempat, dan bukanlah lokasi anda di dalam peta.

Walaupun dengan pengguna servis seperti saya yang selalu menggunakan perkhidmatan ini juga boleh berlaku salah faham dengan pemandu, salah beri lokasi, dan paling tak best, pemandu yang masih baru dengan perkhidmatan perkongsian kenderaan ini. Memang perlu banyak bersabar, terutamanya di kawasan yang sibuk.

Lagi satu perkara yang penting, kalau ternampak banyak kehadiran teksi di sesuatu tempat pengambilan/penurunan, mungkin anda perlu jauhkan diri anda dari situ. Sekarang banyak berita kurang memuaskan berkenaan perkhidmatan teksi dengan perkongsian kenderaan ni. Jadi, tak perlulah ambil risiko untuk berdepan dengan situasi canggung ni.

Duduk depan atau belakang?

Kebiasaannya bila anda naik kenderaan seseorang yang anda kenal anda akan duduk di hadapan kalau tempat duduk itu kosong. Samalah seperti perkhidmatan perkongsian kenderaan ini, lebih baik untuk duduk di hadapan.

Tapi memang tak salah nak duduk di belakang. Cuma, disebabkan beberapa tindakan yang dikenakan ke atas perkhidmatan ni, kadang-kadang anda diminta duduk di hadapan terutama di waktu banyak kehadiran pihak berkuasa.

Semasa dalam perjalanan

Sesetengah pemandu, terutamanya Uber, akan cuba untuk berbaik dan bersembang dengan anda supaya mereka dapat rating yang tinggi. Kalau anda bukan seorang yang suka bersembang, layan dengan baik dan tak teruskan bersembang, mereka akan faham.

Bagaimana nak bayar?

Dari permulaan, Grab memang menerima bayaran tunai. Mereka baru memperkenalkan bayaran melalui kad berikutan permintaan ramai. Uber pula baru memperkenalkan bayaran tunai, yang sebelum ni cuma menerima bayaran melalui kad kredit/debit.

Jadi sekarang memang masa yang sesuai untuk menggunakan perkhidmatan mereka. Bagi saya, memang saya tak selalu bawa duit banyak kemana-mana, jadi saya cuma guna kad debit.

Penutup

Setakat ini dulu panduan yang dapat saya bagi, saya akan kemaskini artikel ni dari masa ke masa kalau ada sebarang penukaran. Lepas ni kalau anda hendak kemana-mana tapi agak malas memandu, gunalah Uber dan Grab.

Saya percaya semasa dunia sedang berubah ke arah lebih baik, syarikat-syarikat ini membantu peralihan dari teksi, ke perkhidmatan penghantaran tanpa pemandu.

Dahulunya teksi telah menggantikan beca di jalanan, kini situasi tersebut sedang berlaku dengan perkhidmatan perkongsian kenderaan.