Dulu-dulu, saya suka eksyen. Tidak ada istilah sharing, melainkan semuanya diceritakan kerana eksyen. Dan saya cukup jengkel pada orang eksyen. Saya akan bagi dia kaw-kaw sampai dia K.O. Betapa eksyennya saya.

Kemudian, semasa di PLKN, saya belajar Kemahiran Melayan & Mendengar dalam TOT Modul Kenegaraan. Kemahiran ini memerlukan saya jadi pendengar dan melayan sahaja apa yang diceritakan oleh pelatih.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Beberapa tahun berlalu, saya belajar pula tentang Teknik Komunikasi Gaya Nabi. aya mendapat ilmu bahawa rupa-rupanya, Nabi menyatakan setuju apabila bersetuju, dan Nabi diam apabila tidak bersetuju. Ini bertentangan dengan fahaman Melayu bahawa ‘diam tanda setuju.’

Subhanallah. Patutlah Nabi tidak pernah bertikam lidah dengan sesiapa. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad yang dikasihi. Tuhan susun, saya dipertemukan dengan banyak orang-orang hebat cerdik pandai kaya-raya.

Dalam ramai-ramai itu, banyak juga didatangkan kepada saya daripada golongan yang suka mengangkat-angkat diri sendiri, sentiasa lebih daripada orang lain, dan selalu mahu betul.

Mengingati pesan sifu dan kemahiran-kemahiran yang dipelajari, maka perlahan-lahan saya aplikasikan begini:

Apabila orang itu bercerita tentang kelebihan mereka, saya respons dengan mengangguk-angguk dan bertanya lanjut. Sebab ada kalanya, saya memang mahu tahu pengalaman mereka itu, supaya dalam dia berlagak-lagak pun, saya tentu boleh belajar sesuatu.

Dan kadang-kadang, ada perkara yang saya memang tahu. Tetapi orang itu bercerita dengan tanggapan saya tidak tahu apa-apa. Pun saya cuma angguk, mengiyakan, dan tidak menyebut langsung apa-apa yang menunjukkan sebenarnya saya pun tahu itu.

Saya berdepan dengan pelanggan yang pernah menetap di Amerika. Saya tidak pernah jejak ke sana. Jadi, walaupun dia bercerita dengan nada terlebih bangga, saya layan sahaja sebab seronok juga dengar cerita tentang Amerika.

Dia juga mencanang-canang yang dia sudah melancong ke lapan buah negara. Pun saya layan dan dengar sahaja semua ceritanya tanpa menunjuk-nunjukkan koleksi cop imigresen dalam pasport-pasport saya. Hujungnya, dia beri penilaian 5 bintang untuk perkhidmatan saya. Alhamdulillah!

Nota: Orang eksyen, suka dilayan. Dia tidak jahat, dia cuma eksyen. Jadi, layan.

Apabila orang begitu menyatakan pendapatnya yang kita setujui, kita respons, “Betul, saya setuju.” Apabila dia mengatakan pendapatnya yang kita tidak bersetuju, kita diam dan sengih sahaja.

Jangan pula diam dan buat muka masam, menyampah, hek eleh poyo kau ni, dsb. Pendapat itu hak pemahaman peribadi. Subjektif. Pada dia, itu betul, maka betullah. Pada kita, kita betul, maka kita betullah.

Contoh pendapat peribadi: Brad Pitt itu kacak. Tapi pada pendapat saya, Brad Pitt tidak kacak. Jadi, sebenarnya Brad Pitt itu kacak ataupun tidak?

Ataupun: A kata, berniaga nasi lemak di pasar tani lebih baik, lebih banyak untung. Tapi pada pendapat B, berjaja nasi lemak di depan rumah lebih baik, kerana anak kecilnya boleh bermain-main dengan selamat di depan mata. Jadi, sebenarnya yang mana satu lebih baik?

Sebenarnya, itu cuma pendapat. Hak masing-masing. Lebih kacak / lebih baik itu definisi masing-masing. Suka hatilah. Asalkan bahagia.

Apabila orang itu tersilap faham tentang suatu hukum-hakam ataupun undang-undang, dan kita pula tahu yang betul, maka barulah kita beritahu dia. Ada cara untuk memperbetulkan kesilapan orang tanpa memberitahu dia silap supaya tidak menjatuhkan air mukanya. Dan bagi mengelakkan perdebatan yang panjang.

Perkataan / ayat yang TIDAK BOLEH digunakan bagi memperbetulkan kesilapan orang ialah:

“Salah tu.”
“Kau silap!”
“Ajaran mana kau guna ni?”
“Eh… Memandai-mandai kau ni!”

Contoh: Pasport A ada lagi tempoh dua bulan sebelum expired. Kata A, “Ada lagi dua bulan ni, bolehlah pergi Sydney tiga empat hari minggu depan.”

Untuk memperbetulkan itu, maka ayat yang sesuai ialah, “Pasport kalau kurang enam bulan sebelum tarikh expired dah tak boleh guna. Perlu renew.” Terus sahaja beritahu fakta, tanpa memberitahu ‘kau tak tahu, aku tahu’ / ‘kau silap, aku betul.’

Dan jangan memotong apatah lagi melawan percakapan mereka dengan menggunakan ayat-ayat bikin orang sakit hati seperti:

“Eleh, saya pun tahu tu.”
“Laa… Baru tahu ke?”
“Memanglah. Tu pun tak tahu ke?”
“Memanglah. Saya lama dah tahu.”
“Tuan duduk US lima tahun je. Saya 18 tahun duduk UK.”

Biarlah cair tahi telinga mendengar. Jangan sesekali buat mereka terdiam dan rasa tercabar seterusnya menyemarakkan api untuk berlawan-lawan kehebatan. Ujian kepada orang berilmu dan berpengalaman adalah kesombongan.

Ingat bahawa sebelum kita jadi pandai tentang sesuatu ilmu, kita pun pernah melalui fasa ‘tak tahu’ dan ‘pertama kali tahu.’

Melayani keterujaan orang mengangkat diri sendiri itu nyata lebih menenangkan daripada asyik memikirkan kita lebih baik, lebih betul, lebih berpengalaman daripada dia. Hubungan baik terjaga, dan kita pun tidak dilabel ‘poyo’ oleh dia, sebagaimana yang kita label dia ‘poyo’ terlebih dahulu.

Jaga hati. Jaga lidah. Jaga jari.