Cara parenting orang Perancis? Kadang-kadang tengok cara parenting orang negara luar ni menarik juga. Ada yang nampak kasar cara didikannya dan ada pula yang terlalu beralah kepada anak pula.

Secara asasnya, didik anak dengan cara yang baik mengikut acuan yang kita mahu dan juga tuntutan agama. Dalam masa yang sama selagi mampu buat anak jadi seorang yang berguna, beradab dan berakhlak mulia, tak ada salahnya mencuba cara parenting dari negara asing.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Parenting gaya orang Perancis dikhabarkan antara yang molek dicontohi. Pada pendapat saya, ada persamaan dengan cara parenting orang Malaysia dulu-dulu juga yang bersifat tegas. Cuba kita check 9 cara berikut.

Cara Parenting Orang Perancis

family

1. Biar anak belajar makna kecewa.

Biarkan anak merasai apa makna kecewa. Saat itu mereka akan belajar menerima sesuatu yang tak disukai atau memahami perasaan apabila berlaku penolakan (rejection).

Dari pengalaman ini, anak akan belajar kemahiran ‘coping’, iaitu bagaimana untuk berdepan dengan masalah dan belajar erti hidup sebenar. Ini penting dalam pembentukan personaliti anak di mana anak akan cuba jadi problem solver berbanding ‘pelari’ daripada masalah.

2. Didik anak untuk ‘tunggu sebentar’.

Kita tahu bahawa sabar itu separuh daripada iman. Jadi penting untuk melatih anak erti bersabar. Misalnya menunggu semua ahli keluarga berkumpul untuk makan, tunggu ibu bapa bagi perhatian atau sabar menunggu guru menjawab soalan.

Kepentingannya? Supaya anak mudah bertolak ansur (berkompromi) dan belajar sabar untuk mendapat sesuatu. Ia meningkatkan endurance anak dalam kehidupan seharian.

3. Beri masa pada mak ayah untuk berdua-duaan.

Anak perlu dididik bahawa mak dan ayah juga perlu waktu bersama tanpa anak-anak sekali-sekala. Bukan bermakna tak sayang atau lepas tangan, cuma mahu anak-anak faham tentang keseimbangan keperluan hidup.

Dengan keributan dan kekalutan mengurus kerja dan anak sehari-hari, mak ayah juga perlukan sedikit masa untuk diluang bersama.

4. Tak perlu cover kesilapan atau kecuaian anak.

Anak terlupa bawa baju sukan ke sekolah, biar dia hadapi sendiri masalah tersebut akibat kecuaiannya sendiri. Anak terlepas pandang nak bagi surat kebenaran rombongan sekolah, biar tak payah pergi rombongan.

Mak ayah tak perlu susah payah kena patah balik dari tempat kerja semata-mata untuk urusan begitu atau nak merayu pada pihak sekolah.

Biarkan anak belajar akibat yang dia akan tanggung apabila dia bertindak cuai atau terlupa. Pada masa akan datang dia akan lebih beringat dan berhati-hati. Barulah anak akan belajar hidup yang sebenar.

5. Biar anak ‘bebas’.

Dedahkan anak dengan basikal, skuter, skateboard atau sebarang aktiviti luar. Berjalan kaki ke sekolah, kedai runcit atau latihan sukan. Galakkan anak buat aktiviti bergerak. Namun begitu, anda tidak boleh mengabaikan keselamatan anak.

6. Tak penuhkan jadual harian anak sepadat-padatnya.

Berbeza dengan ibu bapa orang Malaysia, anak orang Perancis diberi ruang waktu untuk diri sendiri. Tiada situasi jadual harian anak sepadat-padatnya sampai anak tak ada masa untuk diri sendiri.

Sesi pembelajaran di sekolah, aktiviti ko-kurikulum dan yang sewaktu dengannya boleh dibuat oleh anak tapi aktiviti dengan keluarga juga penting. Paling kurang kena duduk bersama satu keluarga untuk makan malam.

Maka, tidaklah jadual penuh dengan sekolah pagi, sekolah agama petang, malam tuisyen, hujung minggu tuisyen lagi atau sukan dan apa lagi kelas hingga sesak anak dibuatnya. Bagi anak ruang.

7. Libatkan anak dengan urusan rumah.

Minta anak tolong buang sampah, kemas meja makan atau merancang menu seharian. Tindakan ini mengajar anak untuk ambil berat dan bertanggungjawab. Dan ya, anak-anak Perancis biasa disuruh begini.

Saya kira anak orang Malaysia juga begini kan? Setiap ahli keluarga perlu menyumbang tenaga dan masa supaya belajar erti tanggung jawab dan bantu-membantu. Bukan mak ayah saja kena buat semua.

Mak ayah boleh bagi kerja rumah yang bersesuaian dengan umur anak. Biar sama-sama membanting tulang menguruskan rumah. Barulah faham kesusahan dan kepayahannya bila mak atau ayah lakukan sendirian.

Jika anda tidak pasti apa yang boleh dilakukan oleh anak umur 2 hingga 8 tahun dalam urusan rumah, anda boleh lihat senarai tersebut di sini.

8. Masa bersama keluarga.

Keluarga Perancis amat mementingkan masa bersama keluarga. Rasanya mana-mana keluarga pun pentingkan masa bersama, kan? Jika tak mampu makan malam bersama setiap malam, paling kurang boleh diusahakan berkumpul beberapa kali dalam seminggu.

Walaupun sibuk dengan aktiviti lain seperti sukan atau berjumpa kawan-kawan, pasti mereka akan luangkan juga masa makan bersama keluarga atau sekurang-kurangnya mak ayah menemani anak ke padang atau iring anak berbasikal keliling rumah.

9. Bonding antara adik-beradik.

Setiap anak diajar bonding dengan adik-beradik lain. Anak yang lebih tua boleh dididik untuk menjaga adik-adik seperti menghantar ke sekolah, beri makanan di meja dan bantu buat kerja sekolah.

Kebaikannya bukan sahaja eratkan hubungan adik beradik, tapi memudahkan mak ayah juga selain anak belajar berdikari dan tanggungjawab.

Bagaimana cara parenting anda? Apa pendapat anda dengan cara orang Perancis? Ini hanya antara contoh sahaja. Lontarkan pendapat anda di ruang komen atau hantar pengalaman anda di editorial [at] thevocket [dot] com.

Untuk bacaan Parenting lebih lanjut, anda boleh klik di sini.