Kad kredit dikira sebagai unsecured lending atau pinjaman tanpa cagaran. Sesiapa yang layak, akan diberi had limit kad kredit yang biasanya sebanyak 3-4 kali dari pendapatan bulanan.

Kad kredit ini ada sejenis “duit plastik”. Anda pakai dulu, bayar kemudian. Dengan menggunakan kad kredit, anda sebenarnya sedang menggunakan duit masa depan anda.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kad kredit biasanya mengenakan faedah setinggi 15% hingga 18% setahun. Good paymaster akan dikenakan faedah sebanyak 15%. Faedah yang paling rendah saya pernah jumpa ialah 8.88%.

Antara sebab utama saya tak dapat mengawal hutang kad kredit saya adalah kerana saya suka menggunakan kad kredit untuk shopping di luar negara.

Contohnya semasa saya shopping di London pada tahun 2015, semua barang branded dirasakan murah berbanding harga di Malaysia. Shopping sakanlah sehingga hutang kad kredit saya meningkat sehingga RM11,000.

Kadang-kala, saya juga perlu membayar yuran pengajian peringkat professional dalam matawang luar negara seperti Pound Sterling atau US Dollar. Duit yang ada tak digunakan untuk bayar hutang kad kredit sepenuhnya.

Saya tak kisah membayar bayaran minimum (minimum payment) setiap bulan, kerana sebagai seorang banker, bayaran minimum tersebut akan dipotong dari akaun simpanan saya setiap 18 haribulan. Jadi sebelum 18 haribulan, saya perlu pastikan duit sebanyak RM600 ada dalam akaun simpanan saya untuk tujuan bayaran hutang kad kredit.

Motivasi Untuk Selesaikan Hutang Kad Kredit

Motivasi utama saya untuk menyelesaikan hutang kad kredit secepat mungkin adalah kerana saya ingin membeli rumah. Hutang kad kredit yang saya ada akan mengganggu Debt Service Ratio (DSR) serta akan merendahkan kredit risk skor saya.

Ini akan merendahkan peluang saya untuk mendapat pinjaman, saya mungkin tak akan ditawarkan full financing atau mungkin ditawarkan kadar faedah yang lebih tinggi berbanding orang yang mempunyai kredit risk scoring yang baik.

Apa Perlu Dibuat Untuk Selesaikan Hutang Kad Kredit Dengan Cepat?

1. Kurangkan Penggunaan Kad Kredit Serta-Merta

Masalah hutang kad kredit kita takkan berakhir selagi kita tak kurangkan penggunaan kad kredit. Oleh itu, kita perlu utamakan perbelanjaan secara tunai.

Jika anda tak mampu untuk berbelanja secara tunai, sebenarnya anda tak mampu untuk berbelanja atau anda sedang hidup di luar kemampuan.

Saya bernasib baik, apabila saya mengalami kemalangan yang teruk sehingga mengakibatkan kereta saya perlu dibaiki selama beberapa bulan.

Di situ perbelanjaan ke atas kereta saya terhenti, saya tak perlu servis kereta, saya tak perlu perbaharui insurans dan cukai jalan, saya tak perlu isi minyak kereta.

Semua perbelanjaan ini biasanya saya akan bayar menggunakan kad kredit. Tiada tambahan besar untuk hutang kad kredit saya pada ketika itu.

2. Hentikan Semua Auto-Debit Yang Melibatkan Kad Kredit

Di kala hutang kad kredit kita sudah melebihi separuh dari had limit kad kredit, anda seharusnya sudah perlu hentikan semua potongan terus secara automatik (auto-debit) dari kad kredit anda.

Antaranya seperti bayaran ansuran mudah membeli barangan (easy-pay), bayaran bil utiliti melalui kad kredit, bayaran kemudahan gimnasium secara kad kredit, dan lain-lain.

Bayaran-bayaran ini akan sentiasa meningkatkan hutang kad kredit anda. Lebih parah jika hutang sudah banyak, dan anda hanya membayar bayaran minimum untuk kad kredit anda.

3. Potong Kad Kredit (Cara Paling Extreme!)

Cara ini pernah dicadangkan kepada saya dikala penggunaan kad kredit saya sudah maksimum! Had limit sudah penuh. Penggunaan kad kredit akan decline pada masa ini. Tapi saya mengeluarkan simpanan saya untuk mengurangkan baki hutang kad kredit saya.

Pada ketika itu, saya tak mampu untuk hidup tanpa kad kredit. Jadi saya tak mampu untuk ikut cara extreme ini dengan memotong kad kredit! Tapi jika anda tak mempunyai simpanan dan penggunaan kad kredit sudah tak terkawal, memotong kad kredit adalah cara terbaik untuk anda.

4. Kawal Perbelanjaan, Utamakan Keperluan Berbanding Kemahuan

Ini adalah benda asas dalam perancangan kewangan tapi benda paling susah untuk dilakukan. Dalam beberapa bulan ini, saya hidup dibawah kemampuan saya. Saya hentikan hobi shopping barang branded dan hanya memakai pakaian sedia ada.

Sebenarnya kita sudah mempunyai banyak pakaian sedia ada. Tak percaya? Cuba periksa almari pakaian anda, ada banyak tak pakaian yang anda dah lama tak pakai tapi masih dalam keadaan yang baik?

Saya mengamalkan konsep pakai selagi boleh, baiki dulu sebelum beli baru. Kos memperbaiki lebih rendah berbanding beli baru. Selain itu, saya juga kurangkan gaya hidup hipster.

Kiranya minum kopi hipster setiap minggu, dan menghentikan langganan ke gimnasium berbayar. Nak hentikan langganan astro, rumah saya tak pernah ada astro. Haha.

5. Tambah Pendapatan Untuk Bayar Hutang Kad Kredit

Paling utama sebenarnya anda perlu tambah pendapatan sampingan anda. Anda takkan mampu bayar hutang jika pendapatan anda tak bertambah.

Jika tak ada pendapatan tambahan, bagaimana anda nak bayar hutang kad kredit yang semakin meningkat?

Anda perlu bayar lebih banyak melebihi faedah yang dikenakan, jika tidak baki hutang kad kredit anda takkan berkurang.

Dalam masa ini, saya mula menceburkan diri dalam bidang investment consultant. Saya membantu kawan-kawan saya melabur, merancang kewangan mereka dan dalam masa yang sama saya memperbaiki tahap kewangan serta mengurangkan hutang kad kredit saya. Saya pernah menjadi top produser dan mendapat pendapatan sampingan melebihi pendapatan tetap bulanan saya.

Saya banyak buat bisnes sampingan secara santai, tapi antara bisnes yang saya rasa agak menarik adalah dengan menjadi affiliate. Buat affiliate Kitabul Daimyo sahaja boleh memberi komisyen hampir RM2,000.

Jadi, konsepnya mudah, anda buat anda dapat. Nak seribu daya, taknak pelbagai alasan akan diberikan. Bonus dan dividen dari pelaburan lain boleh guna juga.

6. Jangan Tangguhkan Untuk Bayar Hutang Kad Kredit

Saya pernah dapat pendapatan tambahan sama ada dari bonus atau dividen ASB. Saya sayang untuk bayar hutang kad kredit saya. Saya tak nak duit simpanan saya berkurang.

Tanpa sedar, saya membayar lebih banyak faedah penggunaan kad kredit berbanding nilai simpanan saya. Ingat tak faedah kad kredit sebanyak 15-18%?

Apabila saya nekad untuk membeli rumah baru, saya mula bayar hutang kad kredit sebanyak yang mungkin. Hutang kad kredit sebanyak RM11,000 itu saya selesaikan dalam masa 3 bulan sahaja.

Kita harus ingat, CCRIS rekod lambat dikemaskini (update), kita bayar bulan ini, belum tentu rekod baki hutang kita dikemaskini pada bulan hadapan, mungkin akan dikemaskini selepas 2 bulan.

Susah betul nak buktikan kepada bankers jika rekod CCRIS kita tak dikemaskini walaupun penyata kad kredit sudah dikemaskini. Baki hutang pada rekod CCRIS masih diberi keutamaan dalam pengiraan DSR. Nasiblah!

7. Hentikan Hobi Mahal Serta-Merta

Hobi mahal? Benda ini pun susah juga nak hentikan, maklumlah nama pun hobi. Aktiviti yang boleh buat kita rasa tenang dan mengurangkan tekanan. Itu apa yang kita rasa, mungkin betul mungkin tidak.

Antara hobi mahal saya adalah melancong ke luar negara. Setiap tahun, selama hampir 5 tahun, saya mesti melancong ke luar negara untuk dapatkan kepuasan diri dan mencari ketenangan.

Namun, perasan tak tahun ini saya belum lagi melancong ke luar negara? Sebab utamanya adalah kerana, saya sedang dalam proses untuk memperbaiki kewangan peribadi, mengurangkan hutang kad kredit serta sedang mengumpul simpanan kecemasan sebanyak 6 bulan gaji.

Alhamdulillah, semuanya sudah tercapai buat masa ini. Apa hobi mahal anda? Fikir-fikirkanlah.

Ini adalah antara cara mengurangkan hutang kad kredit yang saya boleh kongsikan buat masa ini. Mungkin anda ada cara lebih baik dari saya, boleh kongsikan untuk kita sama-sama memperbaiki kewangan peribadi anak muda.

Nasihat peribadi saya, jangan ada melebihi 2 kad kredit dalam satu-satu masa. Untuk pastikan anda tak terperangkap dalam masalah hutang kad kredit di luar kawalan elakkan mempunyai had limit kad kredit melebihi nilai 2 bulan gaji atau pendapatan anda. Kalau tak, parah nanti jika sudah berbelanja di luar kemampuan diri.

Harus diingat, hutang kad kredit adalah antara punca utama kenapa anak muda muflis di usia yang masih muda, ini kerana penyalahgunaan kad kredit tanpa kawalan.

Owh ya, sampai sekarang saya masih belum pernah mempunyai hutang pinjaman peribadi. Tapi secara asasnya, saya rasa tip yang saya kongsikan boleh diaplikasikan terhadap hutang pinjaman peribadi juga. Anda rasa OK tak?

Ini sekadar perkongsian ikhlas dari saya. Sebenarnya saya sedang membuka aib diri saya sendiri, namun niat saya hanya untuk berkongsi ilmu serta amalan baik untuk memperbaiki kewangan peribadi anak muda.

Saya pernah buat silap, saya harap kawan-kawan boleh ambil iktibar dan pengajaran dari perkongsian saya yang tak seberapa ini. Sekarang saya sudah mampu tersenyum dengan pengurusan kewangan peribadi yang lebih baik.

Jika bermanfaat, boleh Share dengan kawan-kawan.

Okay, sekian terima kasih.