Nota Editor : Kisah ini asalnya diterbitkan di fb wall Al Irfan Jani, seorang usahawan dan juga penulis di SaleStory-Teller. Kami terbitkan semula di The Vocket dengan izin dari penulis asal. Semoga perkongsian ini membantu anda bila berada dalam situasi yang hampir serupa.

robocop

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Jam 11 malam, telefonku berdering. Saya terjaga dari tidur. Rupanya sahabat baik saya, Tuan Man (bukan nama sebenar) hubungi saya.

“Fan, boleh tolong Tuan, tak?” (“Tuan” adalah sebahagian nama beliau.) Katanya ada hal kecemasan, panjang lebar mahu diceritakan.

Lalu, kami bertemu di sebuah kedai kopi tak jauh dari rumah saya. Menurut ceritanya, beliau dan isterinya dipengaruhi sebuah syarikat hartanah asing.

Jalan ceritanya, sedang berdua-duaan berjalan di pusat beli-belah City Square (JB), mereka didatangi jurujual yang menyewa booth di sebuah pameran hartanah di situ.

Yang hairannya, bagaimana seorang penjawat swasta seperti Tuan Man, dengan gaji yang tidak lebih dari 3k, diajak melabur beli hartanah di Australia. Harga tanah bernilai jutaan ringgit. Caranya, adalah dengan caruman bulan-bulan.

Alasan syarikat hartanah ini, modal pertama (deposit) menempah slot tanah untuk industri golf misalnya, akan meningkatkan value tanah beratus peratus untuk tiga tahun mendatang (spekulasi).

Menurut Tuan Man lagi, dia dan isteri didesak dan diperdaya supaya meletakkan deposit. Tuan Man berkali-kali menolak, beri alasan tiada tunai, perlu ke ATM, malah minta ditangguhkan. Namun, entah macam mana mereka tidak pandai berkeras. Akhirnya, Tuan Man diperdaya supaya melarik kad debitnya.

Saya kenal benar dengan Tuan Man. Beliau cukup setia berkhidmat dengan majikannya berbelas tahun sebagai pemandu. Dengan sosok tubuhnya yang kecil, dan daya intelektual yang biasa-biasa saja. Saya cukup percaya, memang ada jenis manusia yang tidak pandai bertegas, tak biasa berkeras, dan mengetahui had tinggi suaranya.

Apabila seorang lelaki yang penyabar, tidak pandai berdebat, dan baik orangnya seperti Tuan Man ditipu dan diperdaya, saya tak boleh duduk diam. Kasihan saya lihat beliau, merayu-rayu supaya dibantu. Katanya, itulah saja simpanan tunai yang ada.

Saya setuju bantu beliau. Kata Tuan Man, “Irfan, kita kena cepat. Hari pameran hartanah akan tamat esok, jam 10 malam.”

Baik. Malam itu saya tidak tidur. Berteman kopi, saya menyelidik beberapa dokumen sokongan. Saya siasat status syarikatnya. Syarikat ini mengaku mendapat pengesahan dari SSM untuk mengambil deposit melebihi dari had yang ditetapkan Bank Negara. Begitu banyak laporan akhbar yang promosikan program mereka. Mendapat pujian menteri-menteri lagi tu.

Esoknya, saya buru kepastian lagi. Saya hubungi pihak berkaitan. Rupanya, memang syarikat ini sah. Dan lebih menakutkan, program pelaburan mereka juga telah disahkan autoriti tertinggi negara, iaitu SSM dan BNM. Duit RM3k dari akaun Tuan Man juga telah sah dipindahkan.

Namun, saya peduli apa. Saya sanggup berseteru, biar penipuan hadir dari pegawai tertinggi negara sekalipun. Apatah lagi, kita tidak boleh bersetuju dengan CARA bagaimana duit kita orang biasa, seperti Tuan Man, DIHISAP HIDUP-HIDUP.

Pagi itu, saya mesej Tuan Man, “Malam ini, jam 8 jumpa di IPD Johor Bahru Selatan.” Balai polis ini hanya 7 minit jalan kaki saja dari bangunan City Square.

Jam 8 malam. Kami berdua berbincang dengan pegawai yang merekod laporan kami. Memang rezki kami, pegawai inspektor dari jenayah komersil ada bertugas pada malam itu. Katanya, kes ini akan diuruskan oleh Tribunal Pengguna selepas laporan polis dibuat.

“Tapi Tuan Inspektor, saya mahu duit Tuan Man dikembalikan juga. Dengan apa cara sekalipun, Malam ini, malam terakhir pameran,” saya mencelah.

Lama juga inspektor ini berdiam. Menurutnya, kes seperti ini di luar bidang kuasa polis. Namun saya sentiasa diajar, supaya mengajak pihak polis berbincang dan berikan cadangan.

Saya pasti, insan mana yang sanggup lihat orang baik-baik seperti Tuan Man ini diperdaya. Inspektor juga ada adik dan abang. Kecuali, orang seperti penipu kolar putih, ha itu bukan jenis manusia.

“Baik, aku ada idea,” Inspektor ini dah mula gunakan bahasa Aku-Kau.

Beliau melihat jadual tugasan, menghidupkan walkie-talkie, dan berbincang dengan seseorang di luar pejabat.

Selang 12 minit, Inspektor datang semula. “Kau cari pegawai Khalid (bukan nama sebenar). Dia meronda di balai ‘mobile’, di depan City Square. Pegawai Khalid akan kongsi rancangan dia. Kau kena ikut cakap dia.”

Tanpa menunggu lama, kami segera mengangkat punggung.

“Tapi, ingat…”

Tiba-tiba, inspektor menahan kami dari belakang.

“Hati-hati. Laksanakan perancangan ini dengan cukup teliti. Ini kes profil tinggi.”

Saya dah cukup berdebar. Muka Tuan Man dah pucat lesi. Sambil berjalan kaki menuju bangunan City Square, saya tengok muka dia, dia tengok muka saya.

Namun, saya cuba memujuk hati sendiri, “Ah, takkanlah sama dengan filem Hollywood. Ini Mollywood, senang cerita.”

Sesampainya di pos balai ‘mobile’, terlihat kelibat pegawai Khalid. Pegawai itu mengajak kami masuk ke balai saiz kontena ini.

Kami berbincang dengan teliti. Dia melukis itu dan ini di atas kertas. Kami berdua dengar hati-hati. Sesekali pegawai Khalid melihat jam di tangannya.

Selesai merancang, aku dan Tuan Man berjalan ke dalam bangunan. Kami melangkah ke tapak booth secepat mungkin. Kerana di kiri kanan manusia semakin kurang. Bangunan semakin sepi. Banyak booth sedang sibuk mengemas pulang. Jam dah cecah angka 10.

Sesampainya kami di sana.

Saya terkedu.

SEPULUH orang jurujual yang ada di booth penipu itu. SEPULUH orang. Ramai betul, bagi saya. Ada 6 perempuan, 4 lelaki. Semuanya tinggi lampai. Berkemeja oren kemas. Berseluar hitam. Berkasut kilat. Tegap. KACAK dan CANTIK ala pramugari gaya mereka.

Barulah saya faham. Patutlah begitu mudah orang penyabar seperti Tuan Man boleh diperdaya oleh pasukan jurujual seperti ini. Penampilan mereka saja sudah cukup mengkagumkan.

“Ha, itulah orangnya, yang sedang bongkok ambil barang tu.” Tuan Man beri isyarat dari persembunyian tembok besar di belakang ku.

Saya beri isyarat angguk kepada pegawai Khalid di luar sana. Dari sayup-sayup kejauhan, pegawai Khalid tunjuk isyarat ibu jari, tanda diteruskan.

Saya berjalan mendekati booth. Seorang jurujual gadis menghampiri. Dia tanyakan apa yang boleh dibantu, dan katanya booth dah tutup. Saya menyamar seolah-olah minat melabur. Saya bertegas mahu berurusan juga dengan lelaki di hujung sana.

Encik Malik, seperti yang tertera pada kad bisnesnya. Dia agak terkejut sebenarnya, bila saya hanya mahu berurusan dengannya sahaja. Saya terkejut meneliti kad bisnes beliau. Ada dinyatakan lulusan MASTER, dan PhD (in-progress). Saya tidak pasti, penting sangatkah tahap pendidikan perlu dinyatakan dalam kad bisnes.

Berbual dengan Encik Malik ini, Ya Allah, begitu lancar dan petah sekali kata-kata beliau. Saya yang pada asalnya ingin ‘menyerang’ beliau, akhirnya rasa cair, tak sampai hati ingin meninggikan suara. Kata-kata Encik Malik ini cukup teratur, adabnya begitu baik.

Menjemput saya duduk, akhirnya saya berbisik padanya, “Saya mewakili Tuan Man, kami hadir malam ini ingin menuntut duit deposit beliau.” Sambil saya menyerahkan salinan laporan polis yang telah disahkan.

Terdiam sebentar Encik Malik. Tapi dia ni cukup terlatih barangkali, kerana dapat mengurus isu ini dengan tenang. Berkali-kali Encik Malik menekankan, wang deposit tidak dapat dikembalikan, kerana persetujuan telah dibuat.

Berkali-kali juga saya beritahu, kami tidak akan pulang jika tidak bawa balik wang tunai RM3k. Perbincangan lemah-lembut kami sedikit tegang. Tuan Man kini turut serta.

“Saya diasak berkali-kali,” kata Tuan Man.

“Tapi saya tak paksa Tuan Man, kan? Dia sendiri yang keluarkan kad debit miliknya, dari dompet dia sendiri pula tu. Takkan saya yang rampas?” Tegas Encik Malik tidak mengakui beliau memperdaya.

“Tapi saya tak boleh balik, Encik Malik, seolah-olah ‘mengejar’ saya dan tak putus-putus memujuk,” Tuan Man membela dirinya.

Melihatkan perbincangan kami begitu lama tidak berkesudahan, muncul seorang jejaka, salah seorang dari mereka. Tapi, saya lebih tinggi darinya. Melayu. Kacak juga. Macam pelakon. Lelaki ini memakai rantai warna emas di lehernya.

“Ada apa-apa masalah ke?” Lelaki ini cuba meleraikan kami. Encik Malik menceritakan perihal tuntutan kami untuk malam itu.

Sekonyong-konyong, lelaki ini menjerit sekuatnya,

“ANJING!!!!”

Lelaki yang satu ini bagai melompat.

Eh, kenapa pula lelaki ni? Tiba-tiba menghamun tak tentu pasal. Bukannya kami ada urusan dengannya.

“Kami ada SSM! Kami ‘back-up’ Bank Negara! Kau masih ingat kami penipu?”

Saya dengan tenang, mendekatinya. Lebih kurang tiga kaki di depannya. “Encik, jangan jerit-jerit. Kami datang nak ‘setel’ baik.”

Jerit dia lagi, “‘Setel’ lembut boleh. Nak ‘setel’ keras pun boleh. Kalau anak jantan, jom setel luar. JOM!!” Sambil dia berjalan 4,5 langkah ke pintu keluar.

Baik. Ini isyarat yang bagus. Seperti yang pernah kuceritakan dulu, arwah Tok Aki berpesan, “Anjing menyalak adalah anjing pengecut. Jauhi anjing yang diam.”

Maka, menanglah kami secara asasnya dari segi mental. Saya mengalih tenungan ke hujung sana, saya cari pegawai Khalid yang berdiri jauh. Isyaratnya menggeleng.

“Encik kata anak jantan? Kenapa nak lari keluar? Sini kan ada.” Aku cuba menduga dia.

Dari rancangan asal, pegawai Khalid telah awal-awal berpesan, “Jika apa-apa kejadian berlaku, pastikan bukan kau yang tumbuk dulu. Kalau pihak dia yang tumbuk dulu, aku akan masuk,” begitulah pesanan pegawai Khalid.

Suasana semakin tegang. Kekecohan memuncak. Macam biasa, saat-saat genting begini sering mem’beku’kan manusia di sekeliling kami.

Aku siap sedia juga. Kalau lelaki dengus ni mula menumbuk. Aku juga siap menadahkan perut atau wajahku sebagai korbannya. “Kalau ‘pintu’ tak dibuka, kita jangan pecah masuk. Kau nak ‘kunci’, kena berkorban sikit,” pesanan pegawai Khalid awal-awal tadi tetap dalam ingatan.

Tiba-tiba, muncul seorang tauke badan besar. “Aiya, rilek, rilek, Joe. Kenapa gaduh-gaduh ini macam? Bagi borang, baliklah dia.”

Lelaki ini berbangsa Tionghua. Usia lingkungan 50-an juga. Agaklah aku dia mungkin kepala pada perkumpulan ini. Pakaiannya kemas. Lengannya bertatu. Aku perhati rantai emas yang dipakainya. Sama desain rantai itu dengan yang dipakai lelaki ‘anjing’ ini.

“Habis, macam mana dengan persen (komisen) Malik?” tanya lelaki ‘anjing’ (sebab kami tak tahu namanya).

“Aiya, itu kecik punya hal. Malik punya I ‘ganti’,” jawab si ‘apek’ tua ini. “Ina, you bagi diorang Prospektus. Ajar dia macam mana nak ‘exit’.” Dia berpesan pada salah seorang gadis di situ.

Akhirnya, selesailah kes kami pada malam itu. Setelah diajarkan oleh Cik Ina untuk keluar dari pelaburan ini, kami pun pulang. Kami pulang dengan tergesa-gesa. Pegawai Khalid bersama senjata, beliau ‘escort’ kami hingga ke tapak parkir kereta. Katanya, saya jangan berhenti di mana-mana sewaktu pulang. Pelan berjalan lancar.

Sekian, begitulah pengalaman malam kami yang panjang.

Wahai Tuan-tuan, pembaca yang saya hormati.

Bayangkan, sebuah buku berjudul ‘Prospektus’ diberikan kepada kami. Setebal 500 halaman rasanya. Di situ ada diceritakan bagaimana protokolnya wang pelabur dapat dikembalikan. Sepucuk surat rasmi perlu difaks ke ibu pejabat. Ia adalah untuk rujukan aduan dan perhatian pihak atasan. Kemudian, pelabur perlu tunggu 5 HARI BEKERJA untuk diproses cek pemulangan.

Lihatlah betapa bobroknya sebuah sistem pelaburan yang sah di sisi undang-undang. Sedangkan, mereka menyedut duit anda tidak kurang dari 5 MINIT selepas kad debit anda dilarikkan.

5 MINIT sedut, 5 HARI dapat balik. Dan jumlah dikembalikan, ditolak pula dengan yuran dan kos pengurusan. Mujur kosnya di bawah RM15, jika ratus-ratus dari jumlah penuh, mungkin berparang juga kami malam itu.

Ini adalah pengalaman kami setahun yang lalu. Fikirkanlah, syarikat ini telah mula beroperasi 4,5 tahun sebelumnya. Dari mana ‘kekuatan’ mereka?

Betullah kata tuan inspektor di balai IPD tadi. Barulah saya fahami, kenapa jenayah profil tinggi begini tidak mampu diuruskan oleh pegawai berkuasa lagi. Kerana ia semuanya dilakukan secara halus dan penuh hati-hati. Mengikut lunas undang-undang lagi tu.

Duduk, dan perhatikan.
Di zaman yang sempit,
muncul pacat-pacat yang menyedut.
Jadilah tembakau yang memabukkan pacat,
atau jadilah daging yang disedut darahmu.

Like Facebook The Vocket