Nota Editor: Kisah benar ini asalnya telah dikongsikan oleh saudara Li Ipoh di satu fb group. Kami kongsikan semula di sini dengan izin dari penulis asal. Semoga perkongsian ini dapat memberi ruang untuk kita melihat seorang sultan dari kacamata rakyat.

Ziarah Dukacita Diraja

Petang hujung Mei 2014 itu mendung. Bagaikan petanda perkhabaran sedih yang aku baca dari media maya sewaktu berehat selepas Asar selesai urusan kerja di ibu negara. Sultan Perak ke-34 Sultan Azlan Shah telah mangkat.

Pemimpin tempat kami rakyat Perak berpayung selama ini telah pergi selamanya meninggalkan remuk di hati kami. Segera aku teringat kenangan berkali-kali kenderaan yang aku naiki dulu di sekitar Ipoh diarah berhenti oleh polis trafik sebelum kelihatan kenderaan diraja lalu membawa sosok tenang berambut putih di tempat duduk belakang.

Sultan-Azlan-Shah1

Namun yang paling membekas pastinya peristiwa aku melihat santunnya almarhum memegang tangan rakan sekolah sebelum mengangkat dia yang terjatuh dihadapan almarhum yang sedang berjalan menuju saf baginda sebelum solat Jumaat ketika sekolah menengah aku dahulu. Raja yang berjiwa rakyat dan memiliki taraf pendidikan tertinggi antara raja-raja seluruh dunia.

Malam itu aku berpakat dengan seorang rakan Syafri berziarah ke Kuala Kangsar keesokan harinya. Untuk memberi penghormatan terakhir. Menunggang motorsikal sepanjang Jalan Kuala Kangsar dari Ipoh sebelum berhenti sebentar di pekan Chemor. Di sebuah kedai kami membeli pin dan riben putih untuk dililitkan di songkok melengkapi persalinan serba hitam kami hari itu.

Mengetahui niat kami ke Kuala , pekedai berbangsa Cina itu mendoakan kami selamat sampai dan menyatakan kesedihannya juga. Ternyata pemergian almarhum baginda diratapi tanpa mengira bangsa dan latar belakang.

sultan-azlan-shah-2

Setiba di pekan Kuala telah banyak jalan yang ditutup dengan kawalan pihak berkuasa. Setelah meletakkan motorsikal berhampiran Istana Kenangan, kami terus ke Istana Iskandariah yang telah dibanjiri rakyat jelata. Baru aku sedar itulah kali pertama aku menjejakkan kaki di istana terbilang itu.

Setibanya di sebuah balai di dalam istana kami beratur untuk menaiki tangga ke tingkat atas tempat jenazah almarhum ditempatkan untuk penghormatan terakhir.

Setibanya di dalam dewan berwarna serba keemasan kami perlahan-lahan bergerak kedepan menghampiri jenazah. Dikiri kanan laluan kami menempatkan kerusi untuk para pembesar. Di hujung kiri berhampiran jenazah, para kerabat diraja seragam berpersalinan putih kelihatan sugul sambil membaca surah yasin.

raja-nazrin-shah-1

Setiba di depan kelihatan keranda diraja diselimut kain putih berada di hujung dewan. Kami dibenarkan mengambil masa membaca al-Fatihah sebelum bergerak keluar memberi ruang kepada hadirin yang lain pula.

Keluar dari balai kami memutuskan untuk rehat makan dahulu di medan laksa di muara bersebelahan Sungai Perak. Sebelum asar nanti kami akan ke Masjid Ubudiah, Bukit Chandan bagi menyertai solat jenazah untuk almarhum.

Ketika di medan laksa bicara kami tak lepas dari mengenang kisah almarhum sultan yang setiap Jumaat kami doakan nama baginda dalam khutbah yang dibaca khatib selama ini. Dari kaca tv kami melihat YM Raja Nazrin juga telah dimasyhurkan sebagai Sultan Perak yang ke 35.

raja-azlan-shah-1

Menghampiri asar kami ke Masjid Ubudiah. Dari jauh kedengaran tembakan meriam menandakan pergerakan masuk jenazah menghampiri masjid. Diiringi paluan nobat kelihatan Sultan Nazrin bersama Sultan Selangor berserta pembesar lain masuk ke kawasan masjid.

Sebelum usungan diraja yang membawa jenazah dipikul sekumpulan askar dibawa pula memasuki masjid. Ketika ini satu peristiwa aneh terjadi. Dengan tak semena-mena muncul ratusan rama-rama putih di sekeliling kawasan masjid. Mungkin alam juga mahu menzahirkan salam takziahnya.

raja-azlan-shah-2

Usai solat asar dan solat jenazah oleh jemaah yang memenuhi masjid kami segera ke makam diraja disebelah masjid untuk menyaksikan majlis pengebumian almarhum. Dengan tertib kumpulan askar tadi memikul jenazah almarhum kedalam liang lahad. Cermat satu persatu bungkusan berisi tanah dimasukkan ke liang lahad diperhati dengan sayu oleh Sultan Nazrin dan sekalian hadirin yang mengelilingi kawasan pengebumian.

Mufti Perak memulakan bacaan tahlil dan talkin. Hadirin yang hadir turut sama-sama bertafakur. Kelihatan jemaah tarikat Nasyabandi yang pernah diketuai oleh adinda Sultan Nazrin , Raja Ashman juga bertahlil sambil berdiri dan mengangguk-angguk kepala mereka. Mungkin agak aneh dilihat sesiapa yang tidak meraikan kekhilafan amalan agama.

Selesai pemakaman hujan mula menitis dan semakin kasar. Rakan aku menggesa kami segera pulang ke Ipoh. Tapi bagi aku alang-alang sudah seharian di Kuala baik aku mengambil masa bersalaman dengan Sultan Nazrin di hari pertama pemasyhuran baginda sebagai sultan.

raja-nazrin-shah-3

Kami beratur dalam hujan renyai menanti baginda keluar dari kawasan makam. Menghampiri kami tiba-tiba Sultan Nazrin kembali sebak dan berhenti menyeka air mata baginda sambil bertitah menyatakan kami susah payah beratur dalam hujan semata-mata untuk menanti baginda.Dan tanpa mampu ditahan lagi ketika bersalaman dengan baginda airmata sebak aku menitis juga.

Kami bersyukur negeri Perak telah diberi pengganti sultan yang juga berjiwa rakyat dan sangat merendah diri. Semoga Allah merahmati pemerintahan Sultan Nazrin Muizzudin Syah dan terus memberkati negeri Perak yang permai ini. Daulat tuanku!

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram