Awas peragut dan penjenayah! Anda tidak akan terlepas sekiranya membuat jenayah kerana Kerajaan Selangor kini sangat komited dalam membanteras aktiviti jenayah di negeri tersebut.

Dalam laporan SelangorKini sebelum ini, jenayah di Selangor pada 1 Januari hingga 31 Julai lalu berkurangan 1,443 kes atau 11.16 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata sebanyak 11,482 kejadian jenayah direkodkan dalam tempoh berkaitan berbanding 12,925 kes pada tahun lalu.

Dalam Belanjawan Selangor 2020, Kerajaan Selangor dilihat serius untuk mengurangkan kadar jenayah di Selangor dan bakal menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) kepada 5,000 unit terutamanya di kawasan hot spot.

Setakat Oktober 2019, sebanyak 775 unit CCTV telah dipasang di seluruh negeri Selangor. Ini bermakna, 4,225 unit CCTV lagi akan ditambah tahun hadapan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pemasangan CCTV yang baharu akan melalui proses technology refreshment serta mengambil kira pandangan PDRM bagi mengenal pasti kawasan-kawasan panas yang perlu diberi tumpuan.

Lebih hebat, CCTV baharu ini turut akan dilengkapi teknologi face recognition dan diselia terus dari command centre yang bertanggungjawab menyelaras data, sejajar dengan misi Kerajaan Negeri mencapai visi ‘Selangor Smart State’ menjelang tahun 2025.

Jadi, jika wajah anda ‘kantoi’ dirakam ketika membuat jenayah, gambar anda akan terus masuk ke dalam sistem dan dilaporkan terus ke pihak berkuasa.

Kaedah pengawalan face recognition ini sedikit sebanyak mengingatkan kami terhadap filem Minority Report dan Bourne Ultimatum di mana sistem pengecaman wajah ini membantu dalam mencari suspek yang sedang dikejar.

China merupakan negara pertama yang menggunakan teknologi CCTV face recognition ini secara meluas dan berjaya mengurangkan kes jenayah di samping berjaya mencari penjenayah yang dikehendaki dengan lebih efektif.

Dengan adanya CCTV berteknologi tinggi ini, pasti penjenayah akan berfikir 1,000 kali sebelum melakukan jenayah. Penduduk Selangor juga dapat meneruskan kehidupan seharian dengan lebih gembira dan selamat selepas ini.

Menjelang 2020, banyak perkara yang sudah dirancang oleh Kerajaan Selangor menerusi Belanjawan Selangor 2020. Dan berikut merupakan 5 keistimewaan Belanjawan Selangor yang tiada di negeri lain.

5 Keistimewaan Belanjawan Selangor 2020 Yang Tidak Ada Di Negeri Lain

Patutkah Caj RM1 Dikenakan Buat Warga Asing Yang Naik Bas SMART Selangor?

Tersenarai 50 Sungai Paling Tercemar Di Dunia Jadi Sebab Interceptor Bersihkan Sungai Klang