Ini sebuah kisah inspirasi yang perlu dicontohi oleh anak muda masa kini. Namanya kian melonjak naik di dalam bidang perniagaan sukan bina badan. Dia merupakan salah seorang pengasas produk Mesotropin. Rangkaian perniagaan beliau bukan sahaja gah di dalam negara, malah produknya mampu membolosi pasaran Indonesia dan Singapura.

Hunter Killer Photo
HYPE
Misi Menyelamat Penuh Debaran Dalam ‘Hunter Killer’
Baca lagi →

Saya berpeluang menemuinya, Mohd Nakir Sayuki, 31 atau lebih dikenali sebagai Mr Nakir baru-baru ini. Anak jati Bukit Payung, Terengganu ini berdarah kacukan Malaysia-Thailand, maka tidak hairanlah jika wajah beliau mempunyai mirip-mirip seperti artis di negara gajah putih itu. Di ksesmpatan itu, saya mencungkil kisahnya.

Saya (S): Ceritakan serba sedikit mengenai latarbelakang anda dan keluarga?

Mr Nakir (N): Saya dilahirkan pada 7 Mac 1985 di Terengganu. Saya pernah mendirikan rumahtangga pada 15 Februari 2012. Namun apakan daya jodoh tidak berpanjangan, ianya berakhir pada tahun 2015. Hasil dari perkahwinan itu, saya telah dikurniakan seorang cahaya mata yang amat comel dan manja iaitu Qaisara Humaira yang kini telah berusia 2 tahun 4 bulan.

S: Apakah pendapat anda mengenai sukan bina badan di Malaysia pada hari ini?

N: Sukan bina badan semakin mendapat tempat dan perhatian di kalangan anak muda di Malaysia. Memiliki susuk tubuh yang berotot menjadi tren masa kini bagi kaum lelaki untuk tampil lebih gagah perkasa dan berkeyakinan.

S: Bilakah anda mula terlibat didalam sukan bina badan ini?

N: Segalanya bermula pada tahun 2005. Waktu itu saya menerima rawatan fisiotrapi akibat daripada kecederaan lutut (ACL) yang agak serius, sekaligus memaksa saya untuk menggantung kasut bola dari arena sukan bola sepak atas nasihat doktor. Ketika saya menjalani fisiotrapi di gim, saya lihat ramai lelaki bertubuh sasa dan memiliki bentuk otot yang amat cantik sedang giat bermain alatan-alatan didalam gim itu.

Disitulah bermulanya timbul minat untuk mencuba sukan bina badan pula. Dalam waktu yang sama, saya telah nekad untuk memiliki tubuh yang berotot. Maka, sayabersenam di gim secara serius dan konsisten. Di gim ini jugalah saya dapat mengenali lebih ramai otai-otai didalam sukan bina bada. Secara tidak langsung saya telah mendapat pelbagai tip yang berguna untuk membina otot-otot dengan lebih berkesan lagi.

S: Apakah pengalaman berkerja anda sebelum anda bergiat aktif didalam sukan bina badan ini?

N: Pernah bekerja ditapak pembinaan selama setahun dan pernah juga menjadi mekanik kereta di bengkel selama setahun. Bermula dari 2007, saya telah berhijrah ke 3 buah negeri iaitu Perak, Pulau Pinang dan Kedah atas urusan kerja.

Pada ketika itu, saya adalah seorang pekerja promoter barangan kesihatan yang ditugaskan menjual barangan di setiap pasar pagi dan malam di 3 buah negeri tersebut. Didalam kesibukan bekerja saya tetap meneruskan minat saya untuk terus membina otot-otot di tubuh saya.

S: Ceritakan secara ringkas mengenai karier anda dan jawatan yang dipegang oleh anda pada masa ini?

N: Saya bekerja membangunkan syarikat milik perkongsian iaitu Mesotropin Sdn Bhd dimana saya dilantik sebagai pengurus projek penjualan dan perancangan Syarikat.

S: Apakah cabaran peringkat awal yang anda hadapi sewaktu berusaha mencapai cita-cita anda iaitu memiliki tubuh badan yang berotot?

N: Cabaran utama yang sering saya hadapi adalah kekangan dari segi kewangan. Umumnya, penglibatan dalam arena sukan bina badan memerlukan pengorbanan besar dari aspek kewangan terutamanya bagi perbelanjaan makanan tambahan dan penjagaan pemakanan.

Perbelanjaan bagi menampung makanan tambahan ini mencecah ratusan hingga ribuan ringgit bagi memastikan badan saya mencukupi zat-zat yang dikehendaki bagi membina otot yang sasa dan padu.

Selain itu, cabaran yang terpaksa ditempuh adalah mengenai cara pemakanan. Menjadi seorang atlet bina badan memerlukan penjagaan pemakanan yang rapi. Saya tidak boleh sewenang-wenangnya menikmati makanan lazat yang mengandungi kuantiti minyak dan gula berlebihan.

Jika saya ingin membuat persediaan dalam mana-mana pertandingan bina badan, saya memerlukan pengorbanan selama hampir 3 ke 5 bulan dalam mengawal pengambilan minyak dan tiada pengambilan gula.

Di samping itu, saya juga perlu bijak dalam membahagikan masa saya dalam menjalankan tugas-tugas hakiki sebagai seorang pengurus pemasaran dan penjualan serta masa untuk menjalankan latihan.

S: Apakah kejayaan-kejayaan yang telah dikecapi oleh anda selama berkecimpung didalam arena sukan bina badan ini?

N: Antara pertandingan yang telah saya sertai adalah:
1. Mr. PENANG 2011 – (Top5 bawah 65kg)
2. Mr. Gym 1Malaysia Peringkat Kuala Terengganu 2011, (Tempat ke-2 dalam kategori 75 kg)
3. Mr. Terengganu 2011, (Tempat ke-2 dalam kategori 75 kg – Mr Gym Terengganu 2011 ( Tempat ke -2 dalam kategori 70 kg
4. Mr. Gym peringkat Kuala Terengganu 2012 Tempat pertama dalam kategori 75kg
5. Mr Gym Rakyat 2012 Tempat pertama dalam kategori 75 kg
6. Mr. Gym 1Malaysia peringkat Terengganu Light Middle (Tempat ke-2 kategori 75 kg )

S: Apakah yang mendorong anda sehingga berjaya mencapai tahap seperti sekarang ini?

N: Yang mendorong saya sehingga berjaya mencapa tahap seperti sekarang ini adalah dari semangat yang ada dalam diri saya sendiri untuk melakukan perubahan didalam hidup saya dan ianya juga dari doa orang tua saya yang tidak pernah putus untuk terus mendoakan kejayaan saya.

Setelah beberapa kali saya gagal dalam perniagaan, akhirnya Allah telah menemukan saya dengan dua orang rakan kongsi yang benar-benar ikhlas dalam membantu saya untuk berjaya didalam dunia perniagaan dan mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin BERJAYA dalam perniagaan yang diceburi serta menjadi pengeluar produk supplement yang pertama di Malaysia dan mampu bersaing dengan produk-produk antarabangsa khususnya.

S: Jika anda tidak keberatan, bolehkah anda kongsikan beberapa tip kepada pembaca dalam menjaga diet harian dan cara permakanan yang sihat?

N: Kadang kala kita sering mengamalkan sikap sambil lewa mengenai jadual pemakanan seharian dan mengambil remeh akan kepentingan sarapan pagi. Sebaliknya yang menjadi amalan kepada kebanyakan orang kita adalah dengan menggabungkan sarapan pagi dengan waktu makan tengahari (brunch).

Hakikatnya amalan ini boleh dianggap kurang baik untuk rutin harian dalam menjaga pemakanan yang sihat.

Jadual pemakanan yang ideal dalam menjaga pemakanan adalah dalam lingkungan waktu berikut:

Sarapan pagi: 7.00 – 9.30 pagi.
Makan tengahari: 12.00 – 2.00 petang
Makan malam: 6.30 – 9.00 malam

1. Sarapan

Kita digalakkan untuk meminum segelas air kosong selepas bangun dari tidur bagi memastikan kelancaran kepada sistem penghadaman kita. Selain itu, pengambilan bijirin yang sesuai dengan sarapan dan diet serta dengan susu yang rendah lemak. Bijirin tersebut boleh dicampurkan sedikit buah-buahan agar ia lebih beraneka rasa.

Kita juga boleh mencuba menu sarapan lain dengan memakan oat. Kandungan yang terdapat di dalam oat dapat melancarkan sistem pencernaan pada badan, sekaligus dapat mengatasi masalah sembelit dan mengecilkan ukuran pada pinggang.

2. Makan Tengah Hari

Makan tengah hari adalah amat penting untuk membekalkan tenaga kepada badan kita. Makanan yang paling sesuai untuk makan pada waktu tengah hari, satu daripadanya ialah nasi. Kandungan kanji pada nasi akan membekalkan tenaga kepada badan kita. Namun, kandungan nasi yang diambil hendaklah berpada-pada kerana jika berlebihan, ia akan menaikkan berat badan.

Kepelbagaian jenis makanan di negara kita terutamanya masakan Melayu yang terkenal dengan lemak dan berminyak. Santan mempunyai lemak tepu yang boleh mengakibatkan obesiti dan secara tidak langsung boleh mengundang kepada penyakit berbahaya seperti serangan jantung dan strok. Pastikan kawalan terhadap kandungan santan di dalam masakan dan makanan.

Secara amnya, makanan berminyak juga antara penyumbang terbesar kepada masalah obesiti. Cuba kurangkan makanan berminyak dengan alternatif lain seperti kukus dan panggang. Perbanyakkan makan sayur-sayuran seperti brokoli, bayam dan sawi dan juga protein seperti daging putih contohnya ikan dan ayam bagi memastikan badan anda mendapat zat yang mencukupi.

3. Makan Malam

Makan pada waktu malam memainkan peranan penting untuk memastikan diet berjaya. Jika kita berpendapat bahawa tidak mengambil makan malam boleh mempercepatkan penurunan berat badan, ternyata ianya salah sama sekali. Tidak mengambil makan malam dan membiarkan diri kelaparan akan menyebabkan kesihatan terjejas seperti imsomnia.

Oleh itu, adalah penting untuk memastikan makanan yang diambil tidak terlalu berat. Makanlah sekadar yang perlu iaitu kandungan nasi yang tidak banyak. Bihun juga antara hidangan yang sesuai pada waktu malam.

Adalah disarankan untuk lebihkan pengambilan ikan kerana kandungan Omega 3 yang ada pada ikan dapat membantu sistem penghadaman pada siang hari. Namun begitu, pengambilan makan malam pada awal malam adalah digalakkan kerana jika makan pada lewat malam akan menyumbang kepada masalah obesiti dan punca berat badan berlebihan.

Suka atau tidak, sayur-sayuran dan buah-buahan adalah sumber penting untuk membantu dalam resepi diet. Di samping penjagaan makan tesebut, perlu diingatkan untuk melakukan senaman bagi memastikan penjagaan kesihatan berkesan dan efektif. Diharap tips saya ini boleh membantu untuk diet seharian kepada pembaca di luar sana.

S: Selain daripada perniagaan sukan bina badan ini, adakah anda terlibat dengan mana-mana aktiviti sampingan yang menjana side income kepada anda?

N: Setakat ni saya pernah terlibat dalam pembikinan filem Polis Evo dengan hanya memegang watak sampingan. Disamping itu juga, saya juga sering terlibat dalam bidang modelling untuk pengiklanan dan majalah.

S: Apakah rancangan pembagunan kerjaya anda di masa hadapan?

N: Saya bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan yang lebih berjaya dimasa akan datang dan dapat membantu rakyat Malaysia amnya dalam mencapai sasaran sebagai usahawan yang berjaya dibawah Syarikat Mesotropin Sdn Bhd sebagai pengeluar makanan nutrisi yang pertama di Malaysia dan membantu rakyat Malaysia yang mempunyai masalah agar hidup lebih sihat dengan menggunakan produk kesihatan Mesotropin.

S: Siapakah idola anda dan mengapa anda memilih beliau?

N: Idola saya Abdul Rahman bin Auf, Seorang Jutawan Islam di zaman Rasulullah. Beliau tidak mengambil kesempatan didalam perniagaan dan tidak pernah mengkhianati saudaranya walaupun beliau menerima tawaran yang lumayan termasuklah memilih salah seorang daripada isteri saudaranya.

S: Sebelum kita mengakhiri temubual ini, apakah kata-kata nasihat yang anda ingin kongsikan kepada pembaca?

N: Apa yang saya ingin sampaikan kepada diri saya dan rakan-rakan diluar sana adalah dalam perniagaan haruslah memiliki jati diri yang kental dan tidak mudah berputus asa dengan Rahmat Allah, dan sentiasa terapkan prinsip usaha, gigih dan berdikari dalam mencapai sesuatu kejayaan.

1. Amanah: kecemerlangan yang diperolehi dalam perniagaan juga banyak bergantung kepada sifat didalam diri kita. Amanah adalah salah satu sifat yang harus diterapkan kepada setiap individu dalam menjamin kejayaan didalam bidang keusahawanan.

2. Taat: peribadi yang soleh dan taat kepada Allah swt pula menjadi modal utama yang menjana kemajuan gemilang dalam kerjaya sebagai seorang ahli ekonomi dan usahawan. Peribadi ini diiktiraf oleh Baginda Kita Rasulullah saw dengan sabdanya: “Tidak akan dicabut roh seseorang Nabi sehingga ia sembahyang di belakang seorang lelaki yang soleh dari umatnya.”

3. Sedekah: membelanjakan sebahagian harta ke jalan Allah dan jangan diantara kita mempuyai sifat kedekut dan bakhil kerana ia adalah sifat tercela yang merosakkan hubunggan damai dan harmoni sesama Muslim.

S: Terima kasih kerana sudi ditemuramah dan semoga akan terus berjaya dalam bidang perniagaan.

MR NAKIR bersama penulis

N: Sama-sama Azizi, saya berharap perkongsian ini bakal berikan manfaat dan mesej yang berharga kepada pembaca.

Artikel di atas disumbangkan oleh Khairul Azizi AR. Pelajar Teknologi Maritim UMT. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group