Beberapa hari yang lalu kisah “Peniaga Melayu Kurang Ajar” tersebar di Internet. Kisah ini adalah mengenai kisah sebuah warung cendol dan rojak yang terletak di Senawang, Negeri Sembilan yang “kurang ajar” kerana kesedapan makanan dan minuman yang disediakan.

maha-cendol-01

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Berikut adalah penulisan penuh yang tersebar di Internet:

SEBARKAN!

KISAH BENAR: Peniaga muda MELAYU kurang ajar!

Lokasi kejadian: MAHA CENDOL, TAMAN TASIK JAYA, SENAWANG N.sembilan.

Petang tadi aku tersesat jln di area senawang Seremban. Dipenghujung simpang berhampiran traffic light, aku ternampak satu gerai tertulis MAHA CENDOL. Aku pun singgah nak tanya penunjuk jln. Tekak pun rasa haus. Aku order semangkok cendol durian dengan rojak sotong sepinggan. Dalam menunggu dtg budak melayu, berjanggut panjang jugak. Boleh tahan ramah jugak budak ni. Aku budget owner la ni. Tunggu punya tunggu, sampai la cendol durian & rojak sotongnya yang orang kata sedap sangat tu! Aku buat relax je la. Baru sesuap masuk mulut, woiii kurang hajak betoi!! Berdiri aku! Apa punya resepi kau buat ni??!! Ni la dia kalau orang melayu meniaga!! Kombinasi cendol durian dia, perghhh terbaikkk woiii!! Pure, manis, melekat, melekit dekat tekak gua cakap luu!! Ini cendol durian terbaik pernah aku rasa. Sedap manis melekat dgn jagong dan kacang merah ?? Rojak sotong dia?? Haaa yg ni betoi gila punya! Bak kata Ahmad Nispu dlm filem ibu mertuaku “Aku pusing seluruh Malaya termasuk Singapura, tak pernah jumpa rojak pasembok sesedap ini.” Rupanya ptg itu bukan tersesat tapi terbaiikkk broo. Tak pernah terfikir orang melayu, budak muda pulak tu boleh buat cendol dgn rojak sesedap ni. memang terbaikkkk!!! Korang kena cuba la kalau nak tau kuajaq tak kuajaq cendol dengan rojak dia. Sekian, cerita peniaga melayu kurang ajar. Hihihi. Terima kasih membaca catatan petang aku ??

Sebarkan dan support anak muda melayu kita ??????

Penulisan di atas menarik hati kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang MAHA Cendol. Syukur, kami akhirnya diberi berpeluang untuk mengenali pemilik MAHA Cendol iaitu Tuan Khairul Anwar Sarjat untuk menemubual beliau tentang warung cendolnya yang semakin terkenal itu. Ikuti temubual kami di bawah:

Assalamualaikum Tuan Khairul Anwar yang dimuliakan, terima kasih kerana sudi memberi kami peluang untuk menemubual Tuan. Berikut adalah soalan-soalannya:

1. Boleh ceritakan serba sedikit tentang latar belakang Tuan.

Saya berumur 29 tahun dan merupakan anak sulung dari 6 orang adik-beradik. Sudah berkahwin dan dikurniakan dengan seorang cahaya mata. Mempunyai diploma dalam bidang kejuruteraan automotif, pernah bekerja di beberapa syarikat automotif dan pernah juga mempunyai syarikat fire fighting bersama rakan kongsi sebelum serius dengan MAHA Cendol pada tahun 2012.

2. Sejak bilakan Tuan memulakan perniagaan MAHA Cendol dan boleh ceritakan bagaimana Tuan bermula.

Saya mula membuka MAHA Cendol secara serius pada tahun 2012 selepas menyertai Expo MAHA 2012 (di situ juga nama MAHA Cendol bermula) di mana ketika itu saya bersama-adik beradik yang lain berniaga cendol dan air minuman.

maha-cendol-04

Bagaimana bermula

Pada tahun 2010 saya telah memulakan perniagaan sendiri di dalam bidang fire fighting. Namun, saya boleh dianggap gagal akibat ditipu oleh rakan kongsi dan semua duit modal saya lesap. Tanpa mahu memikirkan kekecewaan daripada kegagalan itu, dengan sedikit ilmu yang Allah kurniakan, saya memulakan perniagaan MAHA CENDOL pada tahun 2012 dengan hanya bermodalkan RM1000 yang saya pinjam dari ibu saya. Tanpa modal untuk menyewa kedai, saya bermula dengan menjaja di tepi jalan. Bermula dengan di Sepang, kemudian beralih ke Bandar Baru Bangi. Akibat permohonan untuk mendapatkan lesen penjaja di kedua-dua tempat gagal, dan gerai saya kerap kali disita oleh Majlis Perbandaran, saya tekad untuk pulang ke kampung dan berniaga di Senawang pada September tahun lepas (2014). Alhamdulillah, permohonan lesen di Negeri Sembilan amat mudah. Permohonan lesen saya terus diterima dan saya diberi lesen penjaja. Dengan persaingan yang tinggi, jujur saya katakan, memang agak sukar untuk saya bersaing dengan nama-nama cendol yang sudah terkenal di Negeri Sembilan ini. Beberapa bulan pertama berniaga di Senawang ini, saya hanya dapat sekitar RM20-RM100 sehari. Namun, saya selalu positif. Saya yakin, pasti akan ada rezeki untuk saya satu hari nanti. Hari demi hari, perniagaan saya menunjukkan peningkatan. Dengan sokongan dan kepercayaan yang sangat kuat dari keluarga saya, kesusahan dan rintangan yang saya lalui tidak pernah mengajar saya erti putus asa.

3. Bagaimana kisah “Peniaga Melayu Kurang Ajar” yang menyentuh perniagaan Tuan itu mula menjadi viral, dan adakah Tuan mengenali penulis asal cerita itu?

maha-cendol-03

Semasa membaca tajuk post itu, pada mulanya saya sangat terkejut kerana saya nampak gambar yang digunakan itu adalah gambar gerai saya dan pastinya bercakap tentang MAHA Cendol. Namun apabila membaca ceritanya, Alhamdulillah dia sebenarnya sangat berpuas hati dengan servis dan menu kami. Kisah “Peniaga Melayu Kurang Ajar” ini datang dari salah satu akaun Instagram yang saya pasti merupakan salah seorang pelanggan saya, namun tidak pasti siapa kerana beliau hanya berkata pernah singgah di gerai saya. Saya menghubungi beliau juga melalui Instagram untuk mengucapkan terima kasih dan katanya, beliau juga tidak sangka cerita gila-gila yang hanya mahu berkongsi kesedapan cendol durian dan rojak sotong itu mendapat perhatian ramai selepas di-repost oleh adik perempuan saya di page Facebook beliau, kemudian di share oleh kaum keluarga. Bermula dari situlah kisah “Peniaga Melayu Kurang Ajar” itu mendapat perhatian ramai.

4. Bagaimana kesan artikel “Peniaga Melayu Kurang Ajar” terhadap perniagaan Tuan?

maha-cendol-05

Tajuk yang negatif memberi impak yang sangat luar biasa. Sejak viral bermula hari Isnin, saya menerima pelanggan yang di luar jangkaan. Alhamdulillah, syukur atas rezeki yang Allah berikan. Terima kasih kepada saudara/saudari yang telah menulis mengenai MAHA Cendol ini. Kebanyakan feedback yang saya terima mengenai rasa cendol dan rojak juga sangat positif. Namun, saya masih mencari sistem terbaik untuk melayan pelanggan yang ramai datang ke gerai MAHA Cendol tanpa membuat mereka tunggu terlalu lama. Saya juga sangat kekurangan kakitangan dan masih dalam usaha menambah kakitangan bagi membantu malancarkan perniagaan ini. Buat masa sekarang, saya hanya dibantu oleh ahli keluarga sahaja. Dari menjaga page Maha Cendol di Facebook, sehinggalah menjaja di gerai setiap hari. Itulah yang saya katakan tadi, sebab utama saya mampu bertahan walaupun ada yang memandang hina terhadap penjaja kecil seperti saya, adalah kerana sokongan kuat isteri, anak, ibu bapa dan adik-beradik saya. Tanpa mereka, mungkin saya telah lama gulung tikar dan kembali bekerja makan gaji.

5. Melihat jumlah mereka yang beratur di warung Tuan, kami tertarik untuk mengetahui tentang menu yang Tuan tawarkan kepada peminat-peminat. Apakah menu-menu yang ada di warung Tuan.

maha-cendol-07

  • Cendol Biasa (Kacang Merah)
  • Cendol Jagung
  • Cendol Pulut
  • Cendol Pulut Jagung
  • Cendol Durian
  • Cendol Pulut Durian
  • Rojak Biasa
  • Rojak Mee
  • Rojak Sotong
  • Rojak Rojak Ayam
  • Rojak Mee Sotong
  • Rojak Mee Ayam

6. Di mana lokasi perniagaan Tuan, dan cara-cara untuk berhubung dengan Tuan untuk tempahan.

maha-cendol-08

  • Taman Tasik Jaya, Senawang Seremban (berhampiran kilang Troxx)
  • Saya juga ada menyediakan tempahan catering. Boleh hubungi 011 2635 6965

7. Apakah harapan dan perancangan Tuan terhadap MAHA Cendol selepas ini.

maha-cendol-06

Saya sangat berharap seluruh netizen terus memberi sokongan kepada MAHA Cendol dan perniagaan anak muda di Malaysia ini. Teruskan memberi pendapat yang membina untuk kami anak muda lebih maju dalam apa yang kami lakukan.

Walaupun perniaagaan Maha Cendol hanyalah perniagaan gerai kecil tepi jalan, saya sangat berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan Maha Cendol dan memberi peluang kepada anak-anak muda yang mempunyai kesungguhan yang tinggi dan minat dalam perniagaan seperti saya.

8. Apa-apa perkongsian dan ucapan Tuan buat peminat dan bakal peminat MAHA Cendol.

maha-cendol-02

Bumi Allah ini luas. Rezeki boleh datang pelbagai cara. Kalau anda punya impian, teruskan! Biarpun orang keji, jangan pernah malu berniaga di gerai kecil. Fokus, usaha dan selalu minta dengan ALLAH. InsyaAllah, boleh berjaya.

Buat seluruh penggemar MAHA Cendol, terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan anda kepada anak muda seperti saya. Saya masih belajar. Segala kekurangan saya mohon ampun dan maaf. Semoga ALLAH balas budi anda semua. Kepada yang baru kenal MAHA Cendol, jemputlah singgah ke gerai saya di Taman Tasik Jaya, Senawang. InsyaAllah, saya akan sentiasa cuba bagi yang terbaik untuk semua.

9. Waktu Perniagaan:

Sabtu – Khamis
12pm – 6pm (tutup awal bila cendol habis)

10. Di mana boleh mendapatkan informasi terkini mengenai Maha Cendol?

Like page di Facebook: MAHA Cendol

BACA: 10 Makanan Malaysia Yang Buatkan Lelaki Jadi Penyayang Dan Setia. Perempuan Pasti Suka

BACA: 14 Tempat Makan Menarik Dan Halal Di Seremban, Negeri Sembilan Yang Perlu Anda Cuba

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram