Hampir separuh daripada penumpang dalam dua penerbangan berbeza dari China ke Milan diuji positif COVID-19 dan pegawai kesihatan Itali telah mengeluarkan arahan bahawa mereka akan menguji semua pelancong yang datang dari Asia Timur.

Difahamkan bahawa penumpang yang didapati positif tersebut tiba di Lapangan Terbang Malpensa dari China pada Isnin lalu, lapor Bloomberg.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pada penerbangan pertama, 35 daripada 92 penumpang diuji positif, manakala pada penerbangan kedua, 62 penumpang daripada 120 dijangkiti, menurut ketua kesihatan wilayah Lombardy, Guido Bertolaso.

Penumpang yang diuji positif telah diasingkan, dan pegawai telah meningkatkan usaha untuk mengesan kontak rapat.

Menteri Kesihatan Itali Orazio Schillaci pada hari Rabu mengumumkan bahawa ujian akan dibuat “untuk semua penumpang dari China dan mereka yang transit melalui Itali.”

Pegawai berkata langkah itu akan menjadi kritikal untuk mencegah penyebaran varian baharu wabak yang mula dikesan sejak tahun 2020 tersebut.

“Langkah itu penting untuk memastikan pengawasan dan pengenalpastian mana-mana varian virus untuk melindungi penduduk Itali,” kata Schillaci, sambil menambah butiran lanjut mengenai rancangan itu akan diberikan kemudian.

Pengumuman Schillaci berikutan penarikan dasar “sifar COVID” China awal bulan ini.

Kira-kira 37 juta orang mungkin telah dijangkiti COVID-19 di China pada 20 Disember sahaja, dan sebanyak 248 juta orang – hampir 18% daripada penduduk China – telah dijangkiti virus itu dalam 20 hari pertama bulan Disember.

Pegawai AS sedang mempertimbangkan untuk mengambil langkah tambahan untuk pelancong yang datang dari China, memandangkan kekurangan data berkaitan virus daripada kerajaan China.

“Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat dalam komuniti antarabangsa mengenai lonjakan COVID-19 yang berterusan di China dan kekurangan data yang telus, termasuk data jujukan genomik virus, yang dilaporkan dari PRC,” kata pegawai yang tidak mahu namanya didedahkan, dalam satu kenyataan bertulis hari ini.

“Tanpa data ini, menjadi semakin sukar bagi pegawai kesihatan awam untuk memastikan bahawa mereka akan dapat mengenal pasti sebarang varian baharu yang berpotensi dan mengambil langkah segera untuk mengurangkan penyebaran.

“A.S. mengikuti sains dan nasihat pakar kesihatan awam, berunding dengan rakan kongsi, dan mempertimbangkan untuk mengambil langkah serupa yang boleh kami ambil untuk melindungi rakyat Amerika,” katanya kepada Bloomberg.