Adakah anda masih ingat tentang isu peserta Masterchef UK tersingkir kerana rendangnya tidak rangup? Isu ini hangat menjadi buah mulut warganet pada ketika itu dan kebanyakkan warganet melemparkan kata-kata negatif di video Masterchef UK sehingga menyebabkan video tersebut dipadamkan.

Untuk pengetahuan anda, Zaleha Kadir Olpin yang merupakan peserta Masterchef UK musim ke-14 yang berasal dari Pahang tersingkir berikutan cara masakan ayam rendang tidak tepat menurut juri pertandingan John Torode dan Gregg Wallace.

Kini, beliau tampil dengan buku masakan ‘My Rendang Isn’t Crispy and Other Favourite Malaysian Dishes’ yang dijangka akan dijual di Asia pada 1 Julai 2019 dan 16 September 2019 di UK. Buku berkenaan turut akan mengandungi kisah tentang hidangan lain yang sangant bermakna buat Zaleha dari beliau kecil sehingga dewasa antaranya laksam, ketupat, nasi lemak dan semestinya menu kontroversi beliau, rendang.

Kandungan buku ini nanti turut akan menceritakan berkongsikan resipi turun temurun keluarga beliau kepada para pembaca. Walau bagaimanapun, harga untuk buku ini masih belum diketahui tetapi anda boleh membuat tempahan awal di link bio Instagram Puan Zaleha. Kami yakin buku ini pasti laris bak pisang goreng panas!