Sepasukan 10 saintis akan terbang dan menuju ke bandar Wuhan di China bulan depan bagi menyiasat asal usul wabak COVID-19 yang telah mengorbankan berjuta orang di seluruh dunia.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setelah setahun wabak ini melanda dunia.

BBC melaporkan bahawa Beijing sebelum ini enggan memberi kebenaran kepada WHO untuk melakukan penyelidikan di salah satu wilayah di negaranya. Perkara ini memerlukan rundingan selama berbulan-bulan agar WHO dibenarkan masuk ke Wuhan.

Permulaan wabak ini diduga berasal dari salah satu pasar basah yang terletak di tengah bandar. Pasar basah ini dikatakan menjual haiwan eksotik.

Namun sepanjang pencarian asal usul wabak COVID-19, isu ini telah menimbulkan ketegangan di antara China dan kuasa luar, terutamanya dengan Amerika Syarikat.

Pentadbiran Presiden Donald Trump telah menuduh China cuba menyembunyikan permulaan wabak coronavirus.

Namun bagi seorang ahli biologi yang ditugaskan untuk menyiasat asal usul wabak COVID-19 di Wuhan memberitahu agensi berita Associated Press bahawa WHO tidak berusaha untuk menyalahkan sesiapa, melainkan untuk mencegah wabak ini di masa depan.

“Ini sebenarnya bukan untuk mencari negara mana yang bersalah,” kata Fabian Leendertz dari Institut Robert Koch Jerman.

“Kami cuba memahami apa yang terjadi dan kemudian melihat apakah, berdasarkan data itu, kita dapat berusaha mengurangi risiko di masa depan,” tambahnya.

Memetik BBC, Dr Leendertz mengatakan tujuannya adalah untuk mengetahui bila wabak itu mula merebak dan adakah virus itu berasal dari Wuhan atau tidak. Misi ini dijangka berlangsung selama empat atau lima minggu, tambahnya.

Untuk rekod, pada permulaan laporan mengenai wabak COVID-19. Pasar basah di Wuhan diduga sebagai permulaan kepada penyebaran wabak dari haiwan ke manusia.

Namun bagi pakar, mereka percaya bahawa wabak ini hanya mula tersebar di sana. Tetapi asal usul wabak ini tidak semestinya dari sana.

Terdahulu, sebuah pasar basah yang menjual produk eksotik didakwa punca penularan wabak. Klik pautan di bawah untuk membaca.

China Kuarantin Wuhan, Pasar Basah Jual Produk Eksotik Didakwa Punca Tular Virus