Sekiranya anda dalam bidang perakaunan atau audit, pastinya firma yang digelar sebagai ‘Big 4’ antara yang sering anda dengari. Memiliki jaringan yang luas serta menawarkan servis di hampir setiap negara antara yang membuatkan khidmat firma ini ditagih.

Bukan itu sahaja, segelintir pekerja yang berada dalam bidang ini juga mahu menyertai firma audit Big 4 ini berikutan penawaran pendapatan serta faedah yang ditawarkan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Terbaharu, dalam usaha untuk mengurangkan pengaruh negara Eropah serta mengatasi ekonomi negara Amerika Syarikat, China dilaporkan merancang untuk tidak lagi menggunakan khidmat firma audit Big 4 ini.

‘Strategi’ China memboikot firma audit Big 4

Sumber: Forage

Menerusi perkongsian Twitter @GrDecter, beliau memaklumkan keempat-empat firma audit ini berasal dari negara Eropah di mana Price Waterhouse and Coopers & Lybrand (PwC), Deloitte dan Ernst and Young (E&Y) berasal dari Britain manakala KPMG berasal dari Belanda.

Membangunkan firma dalam tempoh yang panjang serta menjadi pilihan syarikat-syarikat besar antara yang membuatkan firma audit Big 4 dikenali ramai.

Lebih hebat, syarikat-syarikat besar negara termasuk 500 syarikat terbaik di Amerika Syarikat semuanya menggunakan khidmat syarikat daripada Big 4 ini. China juga sebelum ini tidak terkecuali dalam mendapatkan khidmat terbaik daripada syarikat-syarikat ini.

Dalam pada itu, situasi mungkin tidak lagi sama di mana Menteri Kewangan China menggesa syarikat-syarikat di China untuk tidak lagi menggunakan khidmat audit firma Big 4. Sebaliknya, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat audit daripada firma-firma audit negara mereka sahaja.

Langkah drastik yang dibuat pihak China ini secara tidak langsung bakal memberi kesan besar kepada kewangan firma audit Big 4 di mana firma ini bakal kehilangan sekitar $2.5 bilion (~RM11.22 bilion) menurut data tahun 2021. Angka ini dijangka lebih tinggi bagi tahun kewangan 2022 dan 2023.

Apa yang lebih penting buat China, strategi utama mereka bukan sahaja untuk mengurangkan pengaliran wang ke negara luar, sebaliknya untuk memastikan data kewangan mereka tidak terdedah kepada pihak negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Difahamkan ini merupakan antara langkah awal dalam mengelakkan kebergantungan kepada negara luar sekaligus menjayakan misi mengatasi ekonomi Amerika Syarikat dalam beberapa tahun mendatang.

Tidak mustahil selepas ini bakal muncul lebih banyak firma audit popular khususnya dari China sendiri yang digunakan oleh syarikat-syarikat negara luar.