Minggu lepas saya berkesempatan ke Kuala Lumpur atas urusan keluarga dan kerja. Saya adalah penulis dan jurugambar sambilan yang mengintai kehidupan masyarakat Malaysia, khususnya cara golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) menyesuaikan diri di dalam dunia yang tercipta untuk manusia sempurna.

Agak ramai juga OKU yang saya perhatikan dengan selesa meredah lautan manusia untuk ke destinasi masing-masing. Namun tumpuan saya dicuri oleh seorang lelaki berbangsa Cina yang buta, berpakaian kemas dan segak, mengetuk lantai di sepanjang langkahnya. Lantas teringat saya pada karakter Chirrut Imwe yang dilakonkan oleh aktor terkenal, Donnie Yen di dalam filem Rogue One: A Star Wars Story.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apa yang membuatkan saya kagum dengan si buta ini ialah, langkahnya tidak teragak-agak ketika menaiki tangga bergerak. Ketuk-ketuk tangga, terus naik. Wah! Saya sendiri yang boleh melihat dengan jelas, sentiasa berdebar-debar bila menggunakan tangga ini. Tetapi ia bukan masalah bagi Chirrut Imwe ‘Malaya’. Dia tak ubah seperti seorang Jedi yang sentiasa peka dengan cabaran dan halangan di hadapannya.

Oleh kerana keupayaan beliau menaiki eskalator di KL Sentral mengujakan saya, tanpa berfikir panjang, saya mula mengekori tanpa tahu ke mana arah tujunya. Bagi saya, ini adalah sesuatu yang cukup menarik untuk diamati dan dikongsi kepada umum kelak.

Setibanya beliau di kaki eskalator Nu Sentral, beberapa pengunjung mula nampak gelisah bila si buta ini berdiri untuk turun ke tingkat bawah. Saya yang berada di belakang, dengan bersenjatakan kamera, mula merakam detik yang cukup saspens ini.

Bukan saya tak nak bantu, tapi saya sendiri pun OKU. Kaki saya ada satu. Sayu. Jadi saya cuma memerhatikan reaksi dan tindakbalas orang sekeliling. Cakna kah mereka?

Gambar: Dakota Dykia

Seperti lagak adiwirawati, seorang gadis cantik bingkas bangun dari tempat duduknya dan menangkap tangan lelaki ini lalu memimpin beliau.

Diperhatikan sehingga kaki si buta ini melangkah sempurna ke atas tangga bergerak, barulah gadis ini melepaskan pegangannya. Alhamdulillah, tiada insiden buruk berlaku. Gadis itu adalah penyelamat Chirrut Imwe ‘Malaya’.

Saya masih belum bosan mengekori beliau. Dengan berbekalkan semangat The Force Is With Me and I’m With The Force, saya memberanikan diri menuruni eskalator yang sudutnya 50 darjah.

Chirrut Imwe ‘Malaya’ secara tidak langsung telah mengajar saya erti ‘percaya kepada kebolehan diri’. Inilah kuliah kehidupan yang sebenar. Melalui pengalaman dan pemerhatian.

Lelaki buta teragung ini meneruskan perjalanan beliau merentasi jejantas MRT, dan sekali lagi menuruni eskalator untuk ke Jalan Brickfield. Tetapi yang berbeza kali ini ialah, tiada sesiapa pun ada untuk memimpin tangan beliau.

Ternganga sungguh mulut saya bila melihat betapa yakinnya lelaki ini melangkah turun tangga bergerak yang cukup curam. Ketuk-ketuk lantai, turun. Allah, saya pula yang nak pitam melihatnya.

Mungkin anda terfikir, lelaki ini tidak buta sepenuhnya jadi dia masih boleh nampak halangan di hadapan. Tanggapan anda salah. Saya sendiri lihat beberapa kali beliau terlanggar penghadang laluan, dinding pemisah yang menghalang laluannya. Memang si buta ini benar-benar buta.

Karakter Chirrut Imwe bukan lagi sekadar imaginasi penulis karya. Ianya wujud di antara kita, bergerak di kalangan kita dalam pemakaian kasual. Inilah contoh insan yang mempunyai perbezaan upaya. Keupayaan yang bukan tercipta untuk orang biasa-biasa.

Saya percaya bahawa saya sudah berjaya melihat the real-life Jedi di depan mata. Kagum!