Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menamatkan rentetan lima kekalahan kepada Lin Dan, untuk memastikan tiket ke final Siri Super Premier Terbuka China di Fuzhou, esok.

Kemenangan 17-21, 21-19, 21-19 dalam aksi mendebarkan selama 92 minit itu adalah yang pertama untuk Chong Wei ke atas Lin Dan dalam tempoh 46 bulan selepas kali terakhir melakukannya di final Terbuka Korea, Januari 2012, sekaligus menjadikan rekod pertemuan mereka kepada 10-25.

Dalam aksi separuh akhir hari ini, Chong Wei menunjukkan kekentalannya selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menjinakkan lawannya yang kerap menjadi penghalangnya menjuarai kejohanan utama di Sukan Olimpik dan Kejuaraan Dunia.

Namun Chong Wei, 33, yang memburu gelaran keempatnya musim ini dan yang kedua dalam Siri Super selepas Terbuka Perancis bulan lepas, berdepan satu lagi tugas berat apabila juara dunia, Chen Long menantinya di final esok.

Chen Long, juara edisi 2010, 2012 dan 2013, mara ke final selepas menundukkan pemain Korea Selatan, Son Wan Ho 21-11, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group