Nota Editor: Satu kisah kasih sayang tanpa tandingan. Terima kasih kepada Puan Nur Haslaily kerana sudi menghubungi kami untuk berkongsi cerita ini.

BACA: Kisah Syukur Seorang Pakcik Yang Sudah Berkahwin 40 Tahun Tetapi Tiada Anak

‎7 Kuntum Bunga Ros‬

Petang semalam adik ipar telefon untuk buat sambutan hari jadi mak lebih awal. ‘Surprise’ untuk mak!

Masa suntuk lepas kerja, jadi kami terlintas mahu beli bunga, dari abah untuk mak.

Kami singgah di sebuah kedai bunga di PKNS. Waktu kami tiba, kedai tersebut tertutup rapat dan ada label, 'Keluar Hantar Tempahan'. Bila encik suami soleh toleh ke belakang, rupanya pakcik kedai tersebut baru kembali. Terus dibuka kedai dengan senyumannya dan sapaan mesra seperti selalu.

pakcik-kedai-bunga
Via Nur Haslaily

"Ye bang, bunga dah tak berapa ada. Dah petang. Ini je yang ada," sapanya.

Kami melihat pilihan yang ada, memang stok terhad.

"Nak beli untuk apa?" pakcik bunga terus bertanya.

Belum sempat kami jawab dia dengan gembiranya tunjukkan satu kertas kepada saya.

Hadiah Pakcik Bunga

"Hari ini anniversary pakcik ke 40. Pakcik tak ada apa nak bagi pada makcik. Pakcik bagi ni je".

Saya terpaku melihat slip simpanan wang Tabung Haji berjumlah RM30,000 yang sudah rapi di laminate. Ini benar-benar ‘surprise’ Allah pada kami.

pakcik-kedai-bunga
Via Nur Haslaily

Tanpa lengah, yang ada dalam fikiran hanya pegang smartphone. Terus minta izin untuk ambil gambar slip tersebut sambil pakcik tergelak-gelak melihat gelagat saya.

Pakcik Buka Cerita

"Ada orang datang kedai nak cari hadiah 15 tahun anniversary. Tapi tak tahu dah nak bagi apa pada isteri. Kadang-kadang pilih yang paling biasa-biasa sekali. Pakcik bukan nak paksa-paksa beli tapi sebab dia tak rasa yang ini….."

Sambil menunjukkan buku-buku di sudut depan kedai atas meja kecil. Di situ ada 6 rekod kesihatan yang telah dibukukan. Ditunjuknya satu per satu rekod kesihatan isterinya. Kanser tangan, kanser perut, batu dan besi dalam gall bladder dan macam-macam lagi. Ini kejutan kedua untuk saya yang melihat.

pakcik-kedai-bunga
Via Nur Haslaily

Saya melihat satu demi satu rekodnya. Terdiam. Sepanjang hayat saya ini pertama kali saya lihat seorang lelaki menyimpan rekod kesihatan isteri dengan cukup tersusun, kemas dan sangat lengkap.

pakcik-kedai-bunga
Via Nur Haslaily

Gambar-gambar disusun elok, keputusan pemeriksaan, resit pembayaran, perincian setiap satu beserta tarikh dan masa dengan catatan kemas. Bahkan di-laminate elok setiap laporan itu. Tambah lagi disimpan di tempat kerja pula.

“Macam mana pakcik tak sayang makcik. Kedai ini pun kedai dia. Pakcik tolong jaga saja!” sambil menuding jari telunjuknya kepada sijil perniagaan yang ditampal di dinding kedai dengan nama isteri beliau.

“Dia jaga pakcik, dia uruskan pakcik. Setiap masa pakcik doa, YA ALLAH PANJANGKANLAH UMUR DIA, AKU SAYANG DIA," dada saya sudah sebak.

“Ini gambar pakcik dengan makcik. Celebrate berdua di rumah masa berhenti kerja nak jaga kedai ini”.

Mata saya terus menangkap gambar yang ditampal di dinding kedai. Sederhana tapi bermakna.

Diambilnya pula album gambar, ditunjuk dan dibelek satu persatu gambar rumahnya.

“Makcik suka bunga, tauke bunga, kan. Tapi pakcik tahu dia suka, pakcik selalu beri bunga hiasan di rumah. Beri apa dia suka. Dia suka duduk di dapur, bagi dia hias cantik-cantik dapur, dia nak duduk situ. Tapi kita suami kenalah support, bagi dia duit untuk dia hias elok-elok.”

Saya dan encik suami soleh pandang satu sama lain. Tak terkata.

“Rumah kami kecil je, rumah teres biasa je. Tapi makcik baik, tak minta macam-macam. Bukan setiap tahun tukar perabot. Dia cakap, ikut abanglah”.

Jauh di sudut hati saya merasakan betapa pakcik ini sangat menghargai isterinya. Melihat gambar rumah beliau, menyakini perkata yang dituturkan.

Makcik Tak Tahu

Ada macam-macam gambar pakcik dan makcik yang disimpan di dalam kedai. Sesuatu yang sukar dilihat pada lelaki kebiasaan. Bahagia bercerita tentang kebaikan isteri pada orang yang tidak dikenali dan menyimpan pelbagai kenangan bersama isteri dengan sangat baik.

“Ha, nak bunga yang mana bang? Banyak pakcik merepek, macam-macam. Dah umur macam ni, rasanya inilah penamatnya pakcik dapat bagi pada makcik. Setiap kali ada duit pakcik masuk Tabung Haji dia, dia tak tahu pun."

Hati rasa berkaca-kaca.

En suami soleh bersuara, “40 tahun. Kami baru 7 tahun”.

Pakcik terus jawab, “Alhamdulillah, agaknya pakcik tak sempat nak wish abang sampai anniversary ke 40. Umur pakcik dah 60 lebih. Dah masuk kubur kot masa tu”.

Aduhai hati, bertabahlah.

Beli Bunga Untuk Mak

“Bang, nak bagi siapa bunga ni?”, pakcik bertanya.

Kami jelaskan, mencari bunga untuk hari jadi mak.

Pakcik jawab, “Saya kalau dengar orang nak bagi bunga pada mak… Allah…”, mungkin pakcik suka.

Encik suami buat pilihan dan pakcik kemaskan gubahan tersebut.

“1,2, 3, 4, 5, 6, 7. 7 kuntum ros! Maksudnya I miss you so much!” ulas pakcik pada saya sambil tergelak-gelak.

“Maaflah layan pakcik cerita macam-macam. Hari ini hari special. Tak ada orang nak cerita, cerita pada pelanggan sajalah. Abang ni pula baik, layan je pakcik”.

Mata saya sudah berkaca-kaca. Sebelum empangan pecah, saya keluar dari pintu kedai.

Surprise Dari Pakcik

Encik suami dan pakcik bersalaman dan berpelukan. Kedua-duanya mata merah berair. Jelas di raut mukanya sedang gembira untuk berjumpa dengan makcik.

Persiapan dan makanan telah siap ditempah untuk sambutan malamnya. Anak cucu juga akan berkumpul. Semua dirancang tanpa pengetahuan makcik.

Sebelum kami beredar, pakcik panggil saya masuk.

“Sempena anniversary pakcik, pakcik mintak izin pada cik abe ni, pakcik bagi bunga ini sebagai hadiah”.

Pakcik beri saya hadiah bunga. Saya hanya mampu ucap terima kasih dengan air mata yang mencurah-curah.

Iktibar Kedai Bunga

Pakcik bunga ini gayanya seperti seorang rockers. Rambutnya panjang, pakaiannya juga brutal.

pakcik-kedai-bunga
Via Nur Haslaily

Tapi pertemuan kali ini benar-benar menjentik jiwa muda kami. Ceritanya ikhlas, sampai ke hati. Kita sering lupa menghargai orang yang paling kita sayang. Iktibarnya berbeza-beza pada siapa yang berfikir.

Bila ke kedai bunga, mata kita terus tertangkap pada bunga dengan harga paling murah. Tapi pakcik ini mengajar satu pelajaran.

Berilah yang sehabis baik, seikhlas mungkin untuk orang yang paling kita sayang pada setiap masa yang Allah beri peluang!

Ya, betul! Bila 7 kuntum ros itu sampai ke tangan mak, berjuraian air mata mak.

pakcik-kedai-bunga
Via Nur Haslaily

“Terima kasih! Pertama kali dapat bunga sepanjang hidup,” itu kata-kata yang keluar daripada mulut mak.

Dan saya benar-benar rasa sebak dan terpukul!

BACA: Hadiah Kahwin Unik Dan Penuh Makna Daripada Seorang Pakcik

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram