Co-Founder Nike, Phil Knight yang kini berusia 77 tahun telah mengumumkan akan meletakkan jawatan pengerusi syarikat pada tahun hadapan. Beliau telah menjadi pengerusi lembaga syarikat sejak Nike menjadi syarikat pegangan awam pada Disember 1980. Beliau turut meluahkan niatnya untuk kekal di dalam barisan lembaga pengarah dan akan tetap aktif bagi memastikan masa depan Nike berkembang pesat di dalam arena bisnes sukan.

Knight telah mencadangkan Mark Parker yang merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nike sejak 2006 sebagai penggantinya. Sebenarnya Parker telah menyertai Nike sebagai pereka kasut selepas bergraduat dari Penn State pada 1977 sebelum dilantik ke jawatan sekarang. Pada awal penyertaannya di dalam syarikat Nike, para eksekutif telah nampak potensi besar Parker dan sejak itu dia telah menjadi orang harapan Nike.

“Saya percaya Mark adalah pilihan terbaik bagi menggantikan saya. Beliau telah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif yang cemerlang sejak 9 tahun lalu, dan telah meluangkan masa, dan menunjukkan rasa cinta kepada syarikat dan beliau mempunyai visi yang jelas bagi melonjakkan potensi NIKE yang perlu berinovasi, memberi inspirasi dan memacu pertumbuhan. Bagi diri saya, saya berniat mahu meneruskan kerjasama dengan Nike dan berusaha menyumbang untuk masa depan syarikat selepas tempoh jawatan pengerusi saya berakhir.” kata Phil Knight.

Pengerusi baru Nike akan diumumkan pada tahun hadapan. Sementara itu, Phil Knight akan turut memasukkan anak sulungnya, Travis Knight, 41 di dalam lembaga pengarah Nike bagi memastikan keluarganya dapat meneruskan pentadbiran di dalam syarikat Nike. Travis Knight, seorang animatur Coraline, ParaNormal, dan The Boxtrolls dan pembikin filem tidak pernah mempunyai minat dalam bidang sukan tetapi itu tidak menghalang perancangan Phil Knight buat keturunannya di dalam Nike kerana dia mendapat kerjasama Travis Knight bagi merealisasikannya.

Phil Knight dan Nike

1959

Phil Knight telah bertemu dengan Bill Bowerman, jurulatih larian di Universiti Oregon. Bowerman mempunyai keinginan untuk kasut larian yang berkualiti dan minat merekabentuk kasut yang selesa. Pertemuan mereka berdua ini penting kerana ia bakal mengubah dunia sukan dengan menggabungkan sukan dan fesyen.

Awal 1960-an

Phil Knight membuat Master Pengurusan Perniagaan di Stanford dan perlu melakukan satu projek tentang bisnes kecil dan pelan pemasaran. Bowerman menjadi inspirasi buat Phil Knight dalam menentukan strategi pemasaran kerana Bowerman menekankan kualiti kasut larian. Kemudian dia menggabungkannya dengan kasut berkualiti tinggi tetapi kos rendah yang dihasilkan di Jepun dan dihantar ke Amerika Syarikat untuk pengedaran. Bagi Phil Knight itulah niche pasaran yang dia cari tetapi bagi pensyarahnya, Shallenberger projek itu bukanlah satu business jackpot.

1963

Phil Knight ke Jepun semasa world tour selepas tamat belajar. Di Jepun beliau berkesempatan pergi ke Onitsuka, syarikat utama bagi kasut lari Tiger dengan menyatakan dirinya merupakan wakil syarikat pengedaran di Amerika Syarikat yang berminat mengedarkan kasut Onitsuka Tiger (kini dikenali sebagai Asics).

Sebenarnya dia bukanlah wakil kepada mana-mana syarikat dan apabila ditanya apakah nama syarikat yang diwakilkannya itu, Phil Knight menjawab satu nama rekaan iaitu Blue Ribbon Sports. Akhirnya dia berjaya mendapat contoh kasut kerana Onitsuka berminat untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat melalui Blue Ribbon Sports.

Setelah pulang ke Amerika Syarikat, Phil Knight membawa kasut itu kepada bekas jurulatihnya di Universiti Oregon, Bill Bowerman. Bowerman kagum dengan kasut tersebut dan mencadangkan mereka bekerjasama memasarkan kasut larian Onitsuka Tiger di Amerika Syarikat.

1964

Mereka berjaya mendapat kata sepakat dengan pihak Onitsuka. Phil Knight dan Bill Bowerman bersalaman sebagai tanda setuju dengan butiran perkongsian pada 25 Januari 1964 di Portland, Oregon bagi membina syarikat yang dinamakan Blue Ribbon Sports sebagai pengedar kasut Jepun dengan pelaburan $500 setiap seorang. Wang pelaburan itu digunakan untuk membeli 300 pasang kasut Onitsuka Tiger yang pertama bagi diedarkan dan dijual semula di Amerika Syarikat. Mereka berjaya meraih $8,000 pada tahun pertama dan kebanyakan 1,300 pasang kasut telah dijual dari bonet kereta Phil Knight yang diletakkan di trek-trek larian.

1965

Syarikat menggajikan pekerja sepenuh masa dan jualan mencapai $20,000. Pekerja pertama bernama Jeff Johnson, seorang jurujual.

1966

Selepas 2 tahun menjual dari bonet kereta, kedai pertama Blue Ribbon Sports dibuka di 3107 Pico Boulevard, Santa Monica, California bersebelahan salon kecantikan.

1967

Nilai jualan semakin meningkat membuatkan Blue Ribbon Sports membuka lebih banyak kedai dan mengembangkan operasi pengedaran ke kawasan Wellesley, Massachusetts.

Sepanjang perkembangan syarikat Blue Ribbon Sports, Bowerman sentiasa mencuba menambahbaik dan mengkaji kasut Onitsuka Tiger supaya ia menjadi kasut larian terbaik.

1970

Blue Ribbon Sports menamatkan kerjasama dengan Onitsuka Tiger kerana Phil Knight merasakan ia menyekatkan perkembangan kewangan Blue Ribbon Sports.

1971

Kasut pertama Nike dihasilkan dengan menggunakan waffle iron. Idea inovasi untuk membuat tapak kasut bercorak groove bagi menghasilkan cengkaman yang baik ketika berlari di trek larian diperolehi ketika isteri Bowerman membuat wafel untuk sarapan pagi.

Jeff Johnson mencadangkan nama Nike dengan sebutan “ny-kee” yang diambil dari nama dewi Greek yang sinonim dengan kejayaan. Cadangan itu diterima oleh Phil Knight yang asalnya mahu menamakan ia sebagai “Dimension 6”.

Carolyn Davidson, pelajar seni grafik telah merekabentuk “swoosh” yang diilhamkan daripada sayap dewi Greek dan menerima bayaran $35 dari Phil Knight untuk hasil kerja tersebut. Kemudian Carolyn Davidson menerima stok bernilai lebih $640,000. Logo “swoosh” pertama kali digunakan di kasut pada 18 Jun 1971.

nike-swoosh

Blue Ribbon Sports melancarkan kasut jenama sendiri, Nike dan kemudian nama syarikat ditukarkan kepada Nike Inc.

1972 – kini

Kasut-kasut pertama Nike diperkenalkan termasuk “Moon Shoe” dengan tapak seperti waffle. Ia mendapat perhatian apabila digunakan oleh atlit-atlit yang bertanding di US Olympic Track & Field Trials di Eugene, Oregon pada tahun 1972.

Nike ambil masa lapan tahun untuk memintas penguasaan jenama Adidas buatan Jerman di Amerika Syarikat dan selepas berjaya mengalahkan Reebok, Nike terus mara ke hadapan.

Selepas itu kejayaan demi kejayaan dicipta oleh Nike bersama strategi pemasaran Phil Knight dan minat mendalam Bill Bowerman dalam rekabentuk kasut dengan menghasilkan idea-idea yang mendorong inovasi dan mahu menyediakan keselesaan sehingga mempengaruhi kebolehan ahli sukan beraksi dengan potensi terbaik mereka. Ia menjadi salah satu objektif Nike dalam menghasilkan dan memasarkan produk-produk jenama Nike.

Nike juga menjadikan senaman dan bersukan itu sebagai satu budaya yang sihat. Ia bukan mudah untuk menukarkan idea senaman dan bermain sukan itu hanya menyeronokkan sahaja kepada elemen kesihatan. Nike juga menjadikan sukan itu satu budaya yang “cool” melalui fesyen-fesyen sukan yang menarik. Itu semua dipanggil sebagai satu revolusi kecergasan. Budaya-budaya yang diterapkan oleh Nike di dalam minda orang ramai itu jugalah yang membantu perkembangan Nike sehingga kini dan mengukuhkan kedudukannya setapak ke hadapan berbanding pesaing-pesaing lain.

Bill Bowerman meninggal dunia pada 14 Disember 1999 dan Phil Knight meneruskan usaha membangunkan jenama dan syarikat Nike sehingga berjaya menguasai sebahagian pasaran di peringkat global.

Sumber: Hype Beast, Forbes, Oregon Live, Business Insider, Today I Found Out, Virginia Edu

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram