Beberapa hari yang lalu, kami telah kongsikan perkongsian pelanggan yang didakwa dihalau daripada resort penginapannya di Pulau Perhentian. Oleh itu, pihak penginapan tersebut Cocohut Long Beach Resot telah tampil menjawab tuduhan tersebut.

Baca jawapan penuh di bawah ini:

Assalamualaikum, salam hormat dan salam sejahtera.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kami selaku warga kerja Cocohut Long Beach Resort, Pulau Perhentian, Besut merasa terpanggil bagi menjawab satu artikel yang telah diviralkan melalui laman sesawang sensasi ‘The Vocket’ serta melalui Laman Facebook bernama “Ridzuan Hsn” dan “Khairul Asri” berhubung beberapa tuduhan negatif terhadap pihak kami.

Pertama sekali, Kami warga kerja serta kakitangan pengurusan Cocohut Long Beach dengan rendah diri ingin memohon maaf kerana tuduhan berkenaan telah memberi satu imej yang buruk terhadap sektor pelancongan di Pulau Perhentian secara umumnya.

Artikel tersebut turut diselangi dengan video memaparkan gambar wajah seorang individu yang jelas TANPA KEBENARAN BELIAU dan disebarkan secara meluas dalam media sosial. Tindakan ini adalah sangat tidak wajar dan biadap. Walau bagaimanapun, kami turut mengucapkan terima kasih kepada sebilangan Netizen yang masih mampu melihat perkara ini dengan lebih matang dan menanti maklumbalas daripada pihak kami.

Seperti yang kita sedia maklum, apabila sesuatu isu disebarkan dalam media sosial, sebilangan netizen terus membuat kesimpulan melulu tanpa menunggu maklumbalas dari pihak yang dituduh. Tuduhan-tuduhan berkenaan bukan sahaja memberi satu gambaran yang buruk terhadap resort kami malah turut memberi kesan terhadap lain-lain premis penginapan di Pulau Perhentian.

“DAMAGE HAS BEEN DONE” tanpa ruang dan peluang untuk kami membela diri. Ini telah memberi implikasi yang sangat serius terhadap reputasi pihak kami dan turut akan mempunyai implikasi perundangan kepada pihak Ridzuan Hassan sendiri.

Untuk makluman semua, kami telah membaca sepenuhnya isi kandungan posting berkenaan dan In Sya Allah dengan ini kami akan menjawab semua tuduhan tersebut secara lengkap dan berdasarkan fakta sebenar kejadian. Isi kandungan posting melalui Facebook “Ridzuan Hsn” dan “Khairul Asri” hanya memetik sebahagian plot yang dilihat memihak kepada diri mereka sendiri sahaja.

FAKTA KEJADIAN

Kami menerima tempahan bilik penginapan di bawah nama RIDZUAN HASSAN daripada seorang agen kami di Kuala Besut bernama Fatihah. Tempahan adalah untuk 1 bilik DELUXE (TWIN SHARING) bagi tarikh 4-6 Julai 2020 (Sabtu – Isnin).

Tetamu di atas telah datang ke kaunter Cocohut Long Beach untuk daftar masuk lebih kurang jam 11.00 pagi pada 4 Julai 2020 (Sabtu). Semasa kehadiran mereka, kakitangan kami juga turut sibuk menguruskan pendaftaran tetamu yang lain dan ini mungkin menyebabkan pihak kami terlepas pandang untuk meraikan kehadiran mereka. Kami dengan ini berterus terang dan memohon kemaafan atas kelalaian yang tidak disengajakan..

Semasa urusan pendaftaran saudara RIDZUAN HASSAN dan KHAIRUL ASRI, kami mendapati penama di atas telah datang bertiga dengan seorang lagi KAWAN (PEREMPUAN) yang turut membawa beg pakaian beliau sedangkan kapasiti bagi bilik Deluxe (mengikut tempahan dan bayaran sebenar) adalah untuk dua tetamu sahaja. Oleh kerana ketiga-tiga mereka membawa beg pakaian masing-masing semasa tiba di lobi resort kami, kami ada bertanya sama ada tempahan bilik yang dibuat adalah bagi dua orang atau tiga orang.

Kemudiannya saudara RIDZUAN HASSAN telah mengemukakan pertanyaan lebih kurang seperti berikut;

“berapa yang kena bayar kalau kawan saya ingin menginap sekali di sini”

Susulan daripada pertanyaan tersebut, kami telah memaklumkan bahawa Caj Tambahan berjumlah RM50.00 sehari akan dikenakan terhadap kawan perempuan mereka sekiranya beliau turut menumpang dan menggunakan segala kemudahan di resort kami.

Saudara RIDZUAN HASSAN kemudiannya merungut;

“Takkanlah kawan saya nak menumpang sekejap nak berehat dan nak mandi pun tak boleh?”*

*Untuk makluman semua, cas berkenaan dikenakan bagi menampung sebahagian kos penyelenggaraan bagi penggunaan kemudahan-kemudahan tetamu di Cocohut Long Beach. Dimaklumkan juga bahawa pihak kami perlu mengambil kira kos operasi dan kos penyelenggaraan tambahan yang dibelanjakan bagi tetamu yang tidak membuat bayaran penginapan di resort kami, tetapi berada di resort dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang kami sediakan seperti tuala mandi, penghawa dingin, lobi, tandas, bilik persalinan serta lain-lain kemudahan rekreasi di kawasan premis. Kami yakin dan percaya percaya bahawa ini merupakan caj biasa yang diamalkan oleh lain-lain premis penginapan di seluruh dunia.

107887554_984520235351446_8497443258918986778_n
Gambar CCTV yang dikongsi oleh Cocohut Long Beach

Selain itu, pihak kami juga terikat dengan SOP Penjarakan Sosial di mana penawaran bilik penginapan adalah mengikut kapasiti katil sahaja. Kami seterusnya mengaku bahawa kawan perempuan mereka telah menunjukkan satu ‘tempahan’ melalui telefon bimbit beliau. Walau bagaimanapun, kami berasa sangat ragu kerana:

i. Kedudukan Resort kami berada di kaki bukit, lebih kurang 200m daripada pesisir pantai Long Beach. Premis penginapan (CAMPSITE) sepertimana tempahan yang ditunjukkan untuk kawan perempuan mereka adalah DI KAWASAN PANTAI LONG BEACH. (ini bermakna, mereka terlebih dahulu telah melalui campsite yang kononnya telah ditempah bagi kawan perempuan mereka).

Oleh yang demikian, semestinya kami merasa curiga dan bertanyakan soalan berhubung bilangan individu yang ingin masuk ke resort kami. Sekiranya benar kawan perempuan berkenaan akan menginap di sana, mengapa kawan berkenaan tidak mendaftar terlebih dahulu di campsite tersebut dan meninggalkan beg pakaian beliau di situ sebelum datang ke premis kami untuk “TEMANKAN” dua orang kawan lelaki beliau?

ii. Kami juga ingin merujuk kepada satu kenyataan berikut;

“Dia datang situ untuk teman saya check-in sahaja lepas tu dia akan pergi check in dekat hotel dia pulak”

”Lepas dapat kunci resort, saya suruh kawan saya sorang ni duduk dekat receptionist je, sbb saya dan kawan lagi satu nak pergi hantar beg dalam bilik dan lepas tu nak pergi teman dia check in kat hotel dia pulak”

– Kenyataan ini juga tambah meragukan pihak kami. “kawan saya seorang ni” merujuk kepada kawan perempuan tersebut dan “saya” dalam artikel ini merujuk kepada saudara RIDZUAN HASSAN. Ini membawa maksud bahawa kawan PEREMPUAN ini ikut naik ke Cocohut Long Beach kononnya untuk “temankan” saudara RIDZUAN HASSAN dan KHAIRUL ASRI untuk daftar penginapan di premis kami. Ini merupakan satu kenyataan yang agak lucu dan langsung tidak munasabah. Apabila SEORANG perempuan menemankan DUA orang lelaki untuk daftar masuk di premis kami.

Tambahan pula kawan perempuan berkenaan turut membawa beg pakaiannya. Kalau kedua-dua mereka yang temankan kawan perempuan ni, itu munasabah pada pemikiran kami dan mungkin juga pada netizen yang membaca maklumbalas ini. Jadi kami membayangkan bahawa terdapat kemungkinan bahawa kawan perempuan ini akan turut menginap di resort kami dan menggunakan semua kemudahan yang kami ada.

iii. Adalah agak janggal dan meragukan bila mana perempuan itu seorang diri sahaja menginap di khemah.

iv. Pada masa berkenaan, pihak kami masih boleh menerima tetamu baru kerana masih ada kekosongan bilik pada tarikh berkenaan. Yang menjadi persoalan, kalau betul di saat-saat akhir kawan perempuan mereka ingin turut serta, kenapa saudara RIDZUAN HASSAN tidak membuat tempahan di premis kami saja agar mereka bertiga tidak terpisah? Kenapa memilih untuk buat tempahan di tempat yang lain?

MENCETUS KETEGANGAN

Apabila selesai urusan pemeriksaan sebagaimana SOP PKPP, pendaftaran masuk, menerima kunci bilik serta tuala mandi di kaunter, mereka bertiga telah duduk di kawasan restoran kami dan kemudiannya kami mendengar mereka menghempas beg pakaian dengan kuat seolah-olah ingin meraih perhatian kami. Seterusnya, mereka ada mengeluarkan kata-kata kesat bermotifkan provokasi lebih kurang seperti berikut:

“Ingat kita tak pernah check-in ke di hotel? BODOH”

“Ingat kita nak duduk free ke? kita bayar pakai duit! duit! duit!!!”

Empat orang kakitangan kami pada masa itu, dapat mendengar kata kata mereka dengan jelas. Tindak tanduk mereka yang kurang ajar dan biadap turut menarik perhatian para tetamu lain dan berlaku kekecohan akibat perbuatan mereka mengeluarkan kata-kata kesat yang dilihat sengaja dibuat bagi mencetuskan provokasi.

Disebabkan tindakan mereka yang biadap, kakitangan kami telah datang kepada mereka dan memaklumkan bahawa kami mengambil keputusan untuk membatalkan tempahan bilik berkenaan. Kami juga telah menunjukkan saudara RIDZUAN HASSAN satu Notis Kenyataan yang kami paparkan di kawasan kaunter berhubung peraturan-peraturan Cocohut Long Beach; yang mana antaranya menyatakan bahawa pihak kami mempunyai hak untuk membatalkan sebarang tempahan bilik sekiranya didapati tetamu berkenaan bersikap ganas dan biadap serta mengganggu ketenteraman tetamu yang lain.

107637471_312616470119451_2991850762046364782_n
Rakaman CCTV yang dikongsikan oleh pihak Cocohut Long Beach

Kenyataan “HALAU” dari pihak mereka adalah sangat keras kerana pihak kami hanya mengambil keputusan untuk membatalkan tempahan berkenaan dengan baik dan pihak kami juga turut memohon maaf pada masa berkenaan (kami boleh buktikan situasi ini melalui rakaman CCTV). Kami mengambil tindakan ini selaras dengan Notis Kenyataan peraturan resort kami demi menjaga kepentingan dan keharmonian lain-lain tetamu resort.

Video yang disebarkan oleh saudara Ridzuan Hassan itu diambil semasa proses pembatalan dan pemulangan wang tempahan bilik oleh pihak kami kepada agen yang menguruskan mereka (Fatihah). Tindakan memuat naik video dengan memaparkan gambar muka pengurus resort yang jelas dan tanpa kebenaran, telah melanggar hak peribadi beliau dan secara jelas mempunyai implikasi dari sudut perundangan.

Walau bagaimanapun, saudara Ridzuan Hassan telah menolak pembatalan oleh pihak kami dan tetap berkeras mahu menginap di sini selagi agen tidak mendapatkan tempahan di premis yang lain. Semasa menunggu tempahan penginapan mereka di tempat lain (yang mana diuruskan oleh Fatihah), berlaku ketegangan dan provokasi berterusan oleh ketiga-tiga mereka mengakibatkan beberapa kakitangan kami hilang sabar seterusnya mengakibatkan pertikaman lidah. Semasa kakitangan kami ingin memulangkan kembali bayaran bilik tersebut, saudara Ridzuan Hassan telah mengeluarkan kata-kata kesat, jelik dan bersifat perkauman seperti berikut:

“Cina memang macam tu, makan babi”

Kenyataan ini adalah sangat biadap, tidak wajar, bersifat perkauman dan secara jelas merupakan provokasi untuk menaikkan kemarahan pihak kami. Walau bagaimanapun, kakitangan kami bersabar dan tidak membalas makian berkenaan.Selepas selesai urusan pemulangan semula bayaran, mereka telah beredar daripada premis kami tanpa menyerahkan kunci bilik. Kami difahamkan mereka telah membuat tempahan baru di chalet lain yang berhampiran dengan bantuan fatihah dan kami terpaksa berhubung dengan chalet di mana mereka menginap untuk mendapatkan semula kunci bilik berkenaan.

Oleh yang demikian, memandangkan kenyataan oleh saudara Ridzuan Hassan memberi kesan yang cukup besar serta menjejaskan imej, nama baik dan reputasi perniagaan kami, maka pihak kami telah berjaya mengumpul semua posting beserta kenyataan-kenyataan beliau di media sosial bagi mengadakan perbincangan bersama peguam kami dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya di mahkamah. Kami akan menjawab sebahagian tuduhan-tuduhan dan fitnah saudara Ridzuan Hassan melalui saluran yang betul demi membersihkan nama Cocohut Long Beach.

PERMOHONAN MAAF

Kami dengan ini turut mengakui bahawa sepertimana Hotel dan Resort yang lain, kami turut menerima komen-komen negatif serta teguran melalui OTA seperti Agoda dan Booking.com. Walau bagaimanapun, kami sentiasa terbuka untuk menerima semua teguran, komen dan cadangan penambahbaikan daripada para pelanggan kami dan kami turut mengakui segala kekurangan dan kelemahan yang berlaku. Oleh itu, pihak kami dengan ini seikhlas hati memohon kemaafan daripada semua pihak. Kami merayu agar Netizen semua tidak menyalahkan pihak kami semata-mata berhubung perkara ini.

Seterusnya, kami tetap menegaskan bahawa ketegangan mula berlaku akibat daripada tindakan saudara RIDZUAN HASSAN, KHAIRUL ASRI DAN KAWAN PEREMPUAN MEREKA yang terlebih dahulu memulakan provokasi dan hinaan yang mana pada kami sangatlah keterlaluan dan biadap. Betul, ada ungkapan “CUSTOMER IS ALWAYS RIGHT” dan kami cuba memberi perkhidmatan yang terbaik mengikut kehendak tetamu Cocohut Long Beach. Sungguhpun begitu, tindakan provokasi yang bersifat perkauman dan keterlaluan oleh mereka sangatlah tidak wajar dan sebenarnya secara tidak langsung turut memalukan diri sendiri.

Selain itu untuk makluman semua, di sebalik maklumbalas negatif, kami juga turut gembira menerima komen-komen positif daripada para tetamu yang berpuas hati dengan perkhidmatan kami dan ada juga di kalangan mereka yang berkongsi pengalaman manis serta layanan mesra pihak kami selama ini. Saudara Ridzuan Hassan hanya memberi tumpuan dalam memaparkan beberapa komen negatif berbanding ratusan komen-komen positif yang kami terima dengan tujuan untuk menyokong tuduhan-tuduhan melampau beliau terhadap Cocohut Long Beach.

Pemilik Cocohut Long Beach telah memulakan operasi semenjak dari tahun 2000 lagi. Sekiranya benar perkhidmatan dan kemudahan di premis kami seburuk yang didakwa, adalah sangat mustahil kami mampu bertapak dalam sektor pelancongan di Pulau Perhentian sehingga ke hari ini. Kami sentiasa berusaha menawarkan perkhidmatan terbaik di samping menitik beratkan aspek keselesaan dan kepuasan hati para tetamu sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan para pelanggan kami sejak sekian lama.

Walau bagaimanapun, sepertimana lain-lain premis penginapan yang beroperasi di Malaysia, kami akui bahawa kami tidak akan mampu untuk memuaskan hati semua pihak. Susulan daripada siri Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik Covid-19, kami turut berhadapan dengan masalah pengurusan dan kekangan kewangan sepertimana para pengusaha yang lain. Walau bagaimanapun, kami berusaha menjalankan penambahbaikan secara berperingkat. Kami juga sedar bahawa terdapat banyak ruang dan peluang bagi penambahbaikan demi kepentingan para pelancong.

Oleh yang demikian, sekali lagi pihak kami dengan rendah hati memohon maaf atas kejadian yang berlaku dan semoga para Netizen dapat menilai situasi berkenaan dengan sebaik-baiknya berdasarkan maklumbalas kedua-dua pihak sebelum membuat kesimpulan.

Sekian daripada kami, warga kakitangan Cocohut Long Beach.

Semoga kedua-dua pihak dapat menyelesaikan isu ini dengan baik. Sementara itu, anda boleh baca artikel tentang isu tersebut pada pautan di bawah ini. 

Staff Biadab, Resort Terkenal Di Pulau Perhentian Halau Pelanggan