Sesetengah rakyat Indonesia di beberapa tempat telah menghalang kerja pihak berkuasa untuk menanam jenazah pesakit COVID-19 kerana takut dijangkiti dengan wabak yang telah membunuh lebih 45,000 di seluruh dunia.

Di Pemakaman Pannara, Makassar, Sulawesi Selatan, terdapat sekumpulan masyarakat setempat yang sudah berjaga-jaga di sekitar tanah perkuburan pada jam 3 petang. Tugas mereka adalah untuk menghalang jenazah positif COVID-19 ditanam di kawasan tersebut kerana takut dijangkiti.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Kejadian berlaku sekitar waktu Asar. [Ambulans akhirnya] berpatah balik kerana [tidak jadi memakamkan jenazah di sana],” kata pegawai polis, Manggala Kompol Hasniati kepada Detik.

Kejadian sama turut terjadi di Tasikmalaya pada Sabtu lalu, dilaporkan bahawa puluhan masyarakat setempat menolak jenazah seorang lelaki berusia 71 tahun ditanam di Tempat Pemakaman Umum (TPU) Tionghoa Bong, Tamansari. Mereka telah bertindak memasang kain rentang yang tertulis ‘Kami Masyarakat Sindangsono-Sindanglengo Menolak Tegas Penguburan Jenazah Untuk Sementara Waktu’.

Sindonews turut melaporkan bahawa ketika kereta jenazah pesakit positif COVID-19 sampai di TPU, ketua masyarakat setempat telah menolak jenazah tersebut ditanam kerana pihak ambulans gagal menunjukkan surat kematian yang memberi maklumat tentang jenazah tersebut.

Suasana kecoh itu hanya dileraikan selepas pihak polis datang dan berunding dengan masyarakat setempat. Keputusannya, jenazah tetap tidak boleh dikebumikan di sana dan terpaksa dibawa kembali ke hospital.

Di Bandung pula, kejadian sama juga turut berlaku. Jenazah telah dihalang untuk ditanam. Ia hanya selesai selepas Pemerintah Provinsi Jawa Barat, menggunakan tanah  milik kerajaan di Bumi Perkemahan Kiarapayung, Sumedang sebagai makam.

“Kami mendapat informasi bahawa jenazah telah dihalang [untuk ditanam], atas dasar kemanusian, pihak kerajaan telah memberi kebenaran kepada pihak berwajib untuk menanam jenazah tersebut di Kiarapayung,” kata Wakil Pemangku Sumedang Erwan Setiawan kepada Kompas.

Situasi sama turut terjadi di Bandar Lampung apabila jenazah pesakit COVID-19 telah ditolak untuk ditanam di dua lokasi berbeza. Mereka akhirnya menggunakan tanah milik kerajaan di TPU Kota Baru, Lampung Selatan sebagai makam.

Tidak pasti mengapa kejadian ini boleh terjadi di Indonesia. Ketakutan penduduk setempat difahamkan adalah kerana kurangnya informasi bagaimana wabak ini bertindak balas.

Perkara ini turut mendapat perhatian Ketua Umum Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), Said Aqil Siroj yang meminta umat Islam Indonesia tidak menolak jenazah positif COVID-19 di tanam.

“Kepada masyarakat, jangan menolak pemakaman jenazah yang meninggal akibat COVID-19, dengan syarat pihak hospital yang mengendalikan jenazah tersebut sudah menjalankan prosedur yang ditetapkan oleh pegawai perubatan,” kata Said kepada CNN Indonesia.

Pejabat Kakitangan Presiden Ali Mochtar Ngabalin turut menyatakan perasaan sedih. Beliau turut meminta masyarakat setempat supaya jangan risau dengan penularan wabak COVID-19 kerana jenazah telah dikendalikan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. 

Bagi Ketua Kesihatan Kota Medan Edwin Effendi, beliau meminta agar masyarakat setempat tidak cemas atau ragu. Dia berkata kepada CNN Indonesia bahawa pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus jenazah terbabit telah mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Tambah beliau lagi, pemakaman jenazah tidak mengambil masa yang lama dan akan dibantu lagi oleh beberapa orang yang lain.

Setakat hari ini, Indonesia telah mencatatkan lebih 1,000 pesakit coronavirus manakala lebih 100 kematian telah dicatatkan disana. Semalam, Presiden Republik Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi telah mengeluarkan perintah darurat dalam usaha beliau untuk memerangi wabak ini.

Untuk bacaan lanjut situasi COVID-19 di Indonesia, klik pautan di bawah.

Jokowi Isytihar Darurat Akibat COVID-19, Beratus Pelancong Asing ‘Lari’ Tinggalkan Indonesia

Kes COVID-19 Di Indonesia Dijangka Cecah Sehingga 700,000 Pada Bulan Hadapan

Tidak Peduli Jangkitan, Keluarga Tetap Bawa Pulang Jenazah Disyaki Positif COVID-19 Di Indonesia