Sempena bulan kemerdekaan ini, pasti soalan adakah kita benar-benar telah merdeka akan diulang tanya. Ya mungkin ada yang menjawab erti merdeka itu dari sisi pandang patriotisma namun ada juga yang menjawab kemerdekaan itu hanya pada istilah sedangkan minda kita masih dijajah.

Saya tidak mahu mempersoalkan jawapan mengenai hal merdeka, tetapi mungkinkah merdeka itu seperti terperangkap di dalam sebuah bilik dan apabila bebas kita dianggap (atau mengisytiharkan) yang kita telah merdeka?

Room (2016)

Sinopsis, Ma (lakonan hebat Brie Larson) menjadi mangsa penculikan sekitar tujuh tahun yang lalu. Dikurung di dalam sebuah bilik kedap (dipanggil Room) hingga memperolehi seorang anak bernama Jack (lakonan mantap Jacob Tremblay), Ma membesarkan Jack di dalam bilik itu selama tujuh tahun tanpa melihat dunia luar. Ma mahu bebas dari bilik itu dan mahu membawa Jack keluar untuk membesar di dunia yang sebenar.

Saya tidak bermaksud mahu mengaitkan hal kemerdekaan negara (dari sudut patriotisma) dengan filem arahan Lenny Abrahamson berdasarkan novel tulisannya yang juga berjodol Room ini. Tetapi saya gemar mengaitkan ia dari sudut pandang tafsiran seorang manusia perihal istilah merdeka itu sendiri (ya, mungkin ada yang bertafsiran merdeka itu kebebasan).

Secara peribadi saya merasakan, perkara yang setiap manusia perlu fahami dahulu ialah dirinya sendiri kerana hanya dia yang tahu dia menipu dan dan hanya dia yang tahu apa yang dia mahu. Dan apabila dia mengatakan dia merdeka, hanya dia yang tahu dia merdeka ataupun tidak (walaupun berada dipersekitaran yang merdeka).

Saya katakan hal ini kerana inilah yang filem ini lakukan. Ia menarik penontonnya ke dunia seolah telah ‘merdeka’ walau sebenarnya itu ialah dunia escapism. Ini kerana dunia escapism ialah dunia impian setiap manusia kerana manusia akan sering mahu berlepas diri dari apa yang dilakukan.

Dari beberapa sudut, cuma satu perkara yang saya minat untuk ulas hal filem ini. Filem ini bergerak melalui mata pandang dari seorang ibu muda bernama Joy (yang di dalam filem ini dipanggil Ma) dan anaknya Jack.

Kedua-dua watak ini memberikan eksplorasi pada apa yang mereka rasakan dengan mengakrabkan perasaan mereka (Joy dengan kecamuk rasa antara murung, isolasi, takut dan terkadang klaustrofobia manakala Jack pula dengan sifat tipikal kanak-kanak yang mahu tahu semua perkara) pada audien.

Di sini satu percanggahan rasa terpapar walau dalam rangka kasih sayang seorang ibu dan anaknya. Joy yang tahu ada dunia selain dunia ‘the room’ berhadapan dengan konflik anaknya yang menyangka hanya ‘the room’ sahajalah dunianya. Dan ini merupakan percanggahan antara sebuah harapan dan tidak berharap.

Atas faktor percanggahan inilah yang membuatkan filem ini terus bergerak kerana dari percanggahan ini, ia akan membawa penonton ke dunia faham antara bebas atau escapism.

Jelas di dalam filem ini (terutama melalui watak Joy), kekeliruan Joy antara bebas dan escapism mencipta depresi walau (spoiler!) telah keluar dari ‘bilik’ yang selama ini dianggap menyeksa dan memenjara hingga hilang harapan pada masa depan.

Sesuatu yang mungkin kita boleh kaitkan ialah, apa agaknya rasa menjadi mangsa? Adakah dengan pesalah itu dihukum, segalanya akan pulih dengan sekelip mata? Dan ianya diterjemah dengan cukup baik oleh Brie Larson.

Sememangnya untuk watak Joy dan Jack ini, jika ianya di tangan pelakon yang salah, ia pasti akan kelihatan tidak serius dalam berfikir hal ‘membebaskan’ diri sendiri kerana kemuncak pada filem ini ialah pada dua karekter ini.

Jika karekter ini tidak dibangun dengan baik, maka filem ini akan kelihatan buntu tanpa perasaan kerana intense untuk filem ini bukan pada thrill yang di bawa. Dan sememangnya Brie Larson dan Jacob Tremblay berjaya menyamatarakan rasa filem ini sepanjang durasi.

Dan kedua-dua watak ini mampu memberi faham (atau mungkin motivasi) tanpa berpesan. Mungkin persis watak Amy dan Nick Dunne di dalam filem Gone Girl.

Secara ringkas, ini merupakan antara filem yang baik untuk sebuah filem kerana apa yang perlu pada sebuah filem ialah menceritakan dan bukan menyatakan. Dan filem ini menceritakan hal yang kita sendiri mungkin kurang faham iaitu diri kita sendiri.

Jadi secara individunya, adakah kita benar merdeka? Atau ini sekadar escapisme kita dari apa yang kita anggap merdeka? Atau sememangnya kita telah benar merdeka?

Hanya kita yang tahu siapa kita.

Salam Merdeka!

Skor: 8.5/10