Bunyinya mungkin agak mengejutkan tetapi itulah yang berlaku kepada pemilik dan pekerja sebuah restoran nasi kandar terkenal di Pulau Pinang yang mendakwa mereka diugut agar memberikan wang perlindungan.

Kejadian itu menurut pemilik Hameediyah Restaurant, Syed Ibrahim NMA Abdul Sukkoor berlaku di salah sebuah cawangan mereka yang terletak di Jalan Ismail Hashim di Sungai Ara pada 6 Oktober lalu seperti dilaporkan The Star.

Menceritakan lanjut mengenai kejadian itu, Syed Ibrahim berkata sekumpulan individu diketuai lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Datuk’ itu telah datang ke restoran mereka dan meminta wang perlindungan sebanyak RM2,000 sebulan daripadanya.

Bukan sahaja meminta wang perlindungan daripadanya, malah anak lelakinya dan pekerja beliau juga diugut akan dicederakan jika gagal membayar wang perlindungan yang diminta.

“Datuk itu juga mengugut untuk meletakkan racun dalam makanan kami dan memaklumkan perkara tersebut kepada orang ramai agar tiada pelanggan yang datang ke restoran kami.

“Dia juga memberitahu saya tidak akan boleh berniaga di kawasan itu jika tidak membayar wang perlindungan yang telah diminta,” katanya seperti dipetik The Star.

Susulan daripada kejadian berkenaan, beliau difahamkan telah membuat laporan polis di balai polis Bayan Lepas pada 14 Oktober lalu. OCPD Balik Pulau seperti dilaporkan portal itu juga telah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan menjelaskan siasatan lanjut kini sedang dijalankan.

Restoran Hameediyah sememangnya terkenal dalam kalangan peminat nasi kandar dan kami juga pernah mengunjunginya sebelum ini. Tonton kembali trip kami ke Pulau Pinang sebelum ini melalui pautan di bawah.  

Vocket Makan: Bella ‘Makan Besar’ Di Hameediyah, Restoran Nasi Kandar Tertua Di Pulau Pinang

Vocket Makan: Nasi Kandar Melayu Yang Enak Di Faeq Bistro

Kedai Nasi Kerabu Ini Tersenarai Sebagai Top 50 ‘Street Food’ Di Dunia

Sumber