Tular baru-baru ini di media sosial apabila pemain hoki negara, Kirandeep Kaur memaklumkan peluang beliau untuk melanjutkan pengajian di universiti serta biasiswa telah ‘disekat’. Perkongsian yang dibuat telah meraih perhatian netizen termasuk pihak Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sendiri.

Menurut badan induk berkenaan dalam satu kenyataan pada hari ini memaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN), jurulatih kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim dan pengurus pasukan, Siti Amarina Ruhani secara bersama sudah menguruskan proses pengajian Kirandeep sebaik saja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2021.

Baca Juga:

KHM memaklumkan Kirandeep sudah diterima masuk mengikuti program matrikulasi di Gambang pada bulan Mei 2021 sebagai langkah pertama dalam proses untuk melanjutkan pengajiannya.

Dalam tempoh pengajian di Gambang dari Mei 2021 sehingga Mei 2022, Kirandeep diberi kelonggaran serta sokongan dari segi latihan yang dijalankan secara atas talian serta di pusat matrikulasi Gambang.

“Ini merangkumi Kirandeep sudah membuat keputusan untuk tidak mewakili pasukan kebangsaan untuk kejohanan juara-juara asia di Korea (Disember 2021) dan Piala Asia (Januari 2022) atas sebab ingin memberi tumpuan kepada pengajian matrikulasi yang dirinya sudah memaklumkan kepada jurulatih kebangsaan. Selain itu, Kirandeep sudah menyertai skuad kebangsaan seminggu sebelum berlepas ke Piala Dunia Hoki Wanita Remaja pada bulan April 2022.

“Selepas tamat pengajian matrikulasi, Kirandep memohon kepada Universiti Awam melalui proses UPU. Salinan permohonannya dimajukan kepada ahli Lembaga KHM pada 12 Mac 2022 dan 28 April 2022. Ahli Lembaga memberikan maklum balas bahawa segala bantuan yang dapat dibuat akan dijalankan seperti mana dibuat untuk semua atlet kebangsaan.

“KHM sudah membincangkan perkara berkenaan dengan pegawai di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memberi maklum balas amat baik untuk memberi perhatian kepada perkara berkenaan.

“Perkara itu juga dimaklumkan kepada ayah Kirandeep pada 29 April 2022. Ayahnya juga mengucapkan terima kasih atas segala usaha yang sedang dibuat oleh KHM. Keputusan kemasukan ke Universiti Awam masih belum diumumkan,” kata KHM dalam kenyataan berkenaan.

Justeru, KHM terkilan dengan kenyataan dibuat Kirandeep dalam akaun Twitter pada Khamis lalu dan mengambil kenyataan itu sebagai sebuah perkara yang serius memandangkan pelbagai usaha serta bantuan sudah pun dilakukan.

“Pihak MSN, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) serta KPT Malaysia mempunyai sistem yang amat terperinci serta menyeluruh untuk memastikan kesemua atlet diberi peluang untuk menyerlah dalam sukan dan akademik.

“Pihak KHM amat berterima kasih kepada MSN, KBS dan KPT atas segala sokongan yang diberikan. Pihak KHM juga ingin menyatakan bahawa proses melanjutkan pelajaran adalah sesuatu yang mesti memberi penghormatan kepada pra-syarat akademik untuk setiap bidang pengajian serta pencapaian pelajar berkenaan alam bidang ko-kurikulum.

“Perkara itu akan menjadi faktor untuk pemetaan bidang pengajian yang dapat ditawarkan kepada setiap pemohon. Pihak KHM amat menghormati proses ini serta memberi pengiktirafan bahawa setiap pemohon mempunyai keistimewaan tersendiri dan sudah berkorban dan menyumbang kepada tanah air,” kata kenyataan itu.