Pembelian barangan di dalam talian sememangnya memudahkan urusan kita. Tetapi jika berlaku perkara di luar jangkaan seperti kehilangan barang sewaktu di gudang, anda sudah pasti mahukan refund lebih-lebih lagi untuk barangan yang mahal namun proses untuk mendapatkannya sering kali melecehkan.

Menerusi perkongsian seorang pengguna Reddit di dalam satu thread, beliau mendakwa ShopeeMY cuba mencuri wang pembayaran dan tidak mahu bertanggungjawab ke atas bungkusan yang dihantar. Oleh itu, beliau mendapatkan bantuan pihak KPDNHEP dalam menyelesaikan isu refund daripada Shopee.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kisahnya bermula pada 29 November lalu, beliau membuat pesanan sebuah laptop yang berharga lebih RM6,000 menerusi Shopee. Semua berjalan lancar pada permulaan ini termasuklah dengan menyemak status penjual dan juga pesanan produk yang telah dibuat oleh pelanggan pada senarai barangan itu.

Difahamkan pesanan laptop tersebut sedia dikendalikan oleh ShopeeXpress untuk penghantaran. Sehari selepas itu, difahamkan penjual sudah menghantar bungkusan di Sunway Pyramid. Dengan anggaran tarikh penghantaran yang ditetapkan pada 4 Disember, beliau pun teruja dan menyemak status pada setiap hari.

Tiba pada tarikh yang ditetapkan, tiada sebarang kemas kini status bungkusan daripada pihak Shopee. Beliau berhubung dengan agen Shopee dan mendapatkan ‘Extend Shopee Guarantee’  kerana mahu jaminan refund jika tidak menerima barang dalam tempoh tambahan yang ditetapkan.

Pada hari berikutnya, Shopee menghantar kemas kini nombor tracking generik yang menyatakan bungkusan sedang diproses oleh rakan kongsi logistik. Perkara ini berlarutan sehingga 8 Disember di mana hari terakhir untuk jaminan refund namun masih diberikan janji palsu yang mengatakan penghantaran sedang dipercepatkan.

Pada 11 Disember, beliau sekali lagi menghubungi agen Shopee kerana tiada kemas kini pergerakan bungkusan yang terkini. Berdasarkan kenyataan agen, beliau sudah menunggu lama dan boleh memohon refund bagi barangan tersebut. Beliau pun membuat permohonan tersebut dan dimaklumkan bakal mengambil masa dua hari untuk menyemak permohonan.

Menjelang 12 Disember, beliau terima mesej status penghantaran yang mengatakan bungkusan sedang dihantar ke destinasi yang ditetapkan. Beliau bagaimanapun bertegas untuk menerima refund kerana sudah terlalu lama diabaikan. Malang sekali, Shopee masih tidak menyemak permohonan yang dibuat pada hari berikutnya.

Beliau dimaklumkan oleh agen Shopee bahawa semakan bayaran balik hanya dibuat di dalam tiga ke lima hari berkerja dan perlu menunggu dalam tempoh yang lebih lama. Sebaik tiba 19 Disember, beliau menghubungi pihak Shopee untuk mendapatkan maklum balas tetapi masih menerima jawapan yang sama.

Tanpa berlengah lagi, beliau pun menghantar e-mel kepada KPDNHEP untuk membuat laporan berkenaan isu refund tersebut. Beliau melaporkan insiden ini secara terperinci bersama screenshoot berhubung polisi refund yang mana masih gagal didapatkan meskipun sudah menghampiri sebulan lamanya.

Pada 23 Disember berikutnya, Shopee berjanji untuk memaklumkan kemas kini status permohonan refund tetapi tetap tiada respon daripada pihak Shopee. Malah, beliau sempat merakam sesi perbualan bersama pusat panggilan yang dikatakan sengaja memutuskan panggilan sebaik tamat waktu beroperasi dan diberikan kepada KPDNHEP.

Empat hari selepas itu, pihak KPDNHEP menghantar e-mel berhubung aduan yang dibuat dan dimaklumkan pihak Shopee perlu menyertakan KPDNHEP dalam sebarang interaksi bersama beliau. Beliau pun memberikan ringkasan perkara yang dihadapi serta menegaskan pihak Shopee telah melanggar kesemua janji dan polisi yang dinyatakan.

Setelah hampir sebulan menanti, beliau akhirnya menerima maklum balas yang mengatakan permohonan refund telah diterima menerusi e-mel. Dalam pada itu, beliau turut menerima mesej daripada tiga individu berbeza dari syarikat Shopee yang memohon maaf ke atas kesulitan yang dihadapi.

Konklusinya, beliau sangat berpuas dengan tindakan pantas serta campur tangan oleh pihak KPDNHEP dalam menyelesaikan masalah refund yang dihadapinya. Di sini, dapat dilihat Shopee seperti sengaja melengah-lengahkan bayaran refund meskipun sudah dihubungi berulang-kali oleh pelanggan terbabit.

Sekiranya anda menghadapi masalah sebegini, anda memang digalakkan untuk membuat laporan dan berhubung dengan badan kerajaan yang berkaitan. Hal ini kerana anda sebagai pengguna mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan sekiranya berlaku pelanggaran polisi dan seumpamanya.

Sumber