Kali pertama melihat trailer filem Logan Lucky ini dan melihat nama Steven Soderbergh, saya tahu filem ini bukan filem yang biasa-biasa. Siapa yang minat dengan karya-karya Soderbergh sebelum ini seperti Ocean’s 11 pasti akan suka dengan buah tangan terbaru Soderbergh ini.

Lihat poster sahaja, 3 muka artis terkemuka Hollywood menjadi penarik untuk filem ini. Kita ada Magic Mike(Channing Tatum), James Bond(Daniel Craig) dan Kylo Ren(Adam Driver) berlakon dalam satu filem. Ini sahaja sudah cukup untuk menarik penonton untuk tonton filem ini.

logan lucky1

Secara kasar, filem ini mengisahkan Jimmy (Channing Tatum) dan adiknya Clyde Logan (Adam Driver) yang merancang satu rompakan besar di Charlotte Motor Speedway. Misi ini tidak boleh dijalankan berdua dan mereka merekrut Joe Bang (Daniel Craig), seorang pakar letupan untuk bersama-sama menjayakan rompakan ini. Adik mereka, Riley Keough(Millie Logan) turut bersama bagi menjayakan rompakan epik ini.

Setting filem ini adalah suasana country yang berbeza dengan filem rompakan Soderbergh sebelum ini. Pemilihan muzik latar juga kebanyakkan lagu-lagu country yang kita mungkin jarang dengar. Jadi secara mudah ini adalah cerita rompakan ‘budak kampung’ ke atas satu organisasi besar.

Personaliti Jimmy dan Clyde adalah sangat laid back dan sempoi. Jadi rentak dan mood cerita ini di awal filem pun agak perlahan. Momentum filem ini mula naik apabila Joe Bang mula beraksi. Kalau kita sudah biasa tengok Daniel dengan persalinan kacak sebagai James Bond, anda akan terkesima melihat Daniel berambut blonde dan gila-gila dalam filem ini. Lain macam watak dia dalam filem ini.

Joe Bang

Atas cadangan Joe, Jimmy dan Clyde juga perlu merekrut dua adik Joe Bang. Adik Joe Bang ini dua-duanya jenis blur tetapi penting untuk menjayakan misi ini. Kehadiran watak kedua-dua watak adik beradik ini mewarnai lagi filem Logan Lucky ini.

Jimmy sebagai mastermind rompakan ini merancang dengan segala persiapan. Tetapi nak dijadikan cerita, mereka terpaksa awalkan rompakan mereka lebih awal dan terpaksa merompak ketika perlumbaan Coca-Cola 600. Masalah pastinya akan timbul sebab ianya perlumbaan yang terkenal dan pastinya bilangan penonton dan aspek sekuritinya pun lebih ketat.

Joe Bang sebenarnya berada di dalam penjara dan misi mereka bukan setakat membuat rompakan, tetapi perlu juga ‘menyeludup’ keluar Joe. Jadi ini yang menjadikan cerita Logan Lucky ini sebuah filem rompakan yang bijak. Anda kena tengok dan ambil perhatian dari awal cerita.

Untuk filem Logan Lucky ini, saya beri rating 7.5/10. Ianya filem yang hebat cuma saya expect more daripada Soderbergh sebenarnya. Mungkin sebab jalan ceritanya yang agak slow sebelum bermulanya agenda rompakan. Ini hanya pandangan peribadi saya sahaja.

Jika anda peminat filem-filem rompakan bijak seperti Ocean’s Eleven dan Italian Job, ini filem yang perlu anda tonton. Enjoy!