Pada hari ini Waze merupakan salah satu aplikasi ‘wajib’ dimuat turun pada telefon pintar masing-masing kerana ia sangat berguna memudahkan urusan navigasi ke sesuatu tempat. Bukan itu sahaja, pengguna juga boleh berkongsi apa-apa maklumat seperti kesesakan lalu lintas, kemalangan, jalan tutup dan pelbagai lagi secara live.

Bagaimanapun perkongsian maklumat sekatan jalan raya (SJR) atau kehadiran polis di aplikasi Waze boleh mengganggu penguatkuasaan terhadap golongan pemandu ingkar, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

Baca Juga:

Terang beliau, meskipun ada pandangan mengatakan perkongsian itu membuatkan pemandu lebih berhati-hati, ia menjadi ‘halangan’ dalam tindakan terhadap pemandu ingkar, petik Harian Metro.

Sumber Gambar: Harian Metro

“Orang ramai berpendapat dengan memaparkan keberadaan pihak polis, pemandu akan lebih cenderung untuk memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Walaupun ia dilihat memberi manfaat kepada pemandu, namun dalam masa yang sama, ia menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu yang ingkar terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program High Porfile Policing Ketua Polis Kuala Lumpur di Wonderland Park, di sini, semalam.

Sebelum ini tular mengenai penggunaan aplikasi Waze yang menunjukkan SJR dan Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya memberi kerjasama dengan tidak berkongsi maklumat SJR yang diadakan atau kehadiran polis di dalam aplikasi itu.

Menurutnya, nasihat itu telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

“Pengguna jalan raya harus sedar bahaya dihadapi disebabkan oleh kecuaian pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk, melanggar lampu isyarat, memandu melawan arus dan lain-lain lagi,” kata Datuk Azmi.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Sumber