Dua tiga hari ini tular dengan gambar pelakon ternama tanah air Shaheizy Sam yang kini mempunyai susuk tubuh badan yang menawan. Beliau bekerja keras untuk mendapatkan tubuh badan yang sebegitu untuk filem ‘Polis Evo 2’ yang memerlukan beliau dapat badan yang lebih athletic/fit.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Awal tahun ini, Sam tampil dengan tubuh badan kurus demi tuntutan watak beliau untuk filem ‘Pinjamkan Hatiku’. Apa yang Sam lakukan ini dikenali sebagai method acting.

Apakah itu method acting? Secara surface dan daripada pembacaan saya, ianya satu kaedah lakonan yang dipelopori oleh pelakon dan pengarah, Lee Strasberg. Teknik lakonan ini memfokuskan lakonan daripada ‘dalam ke luar’; dengan menggunakan emosi dan perasaan yang pernah terjadi sepanjang hidup seseorang individu ke dalam lakonan.

Teknik lakonan ini membolehkan para pelakon untuk menjiwai watak mereka dengan lebih berkesan. Perasaan sedih, marah dan gembira apabila dapat diingati kembali, akan memberi lebih impak kepada watak yang mereka sedang lakonkan. Ada juga yang sanggup buat apa sahaja sehingga perkara yang ekstrim supaya watak mereka lebih ‘hidup’.

Aktor legenda Hollywood, Marlon Brando antara aktor terawal yang menerapkan method acting dalam lakonan beliau. Untuk pelakon generasi baharu, nama-nama besar Hollywood seperti Christian Bale, Heath Ledger, Jared Leto dan Adrien Brody (sekadar memetik beberapa nama) sangat komited dengan watak yang mereka pegang dalam sesuatu filem.

Ketika pengambaran filem ‘The Machinist’, Christian Bale hanya mempunyai berat sekitar 55KG sahaja untuk melakonkan watak Trevor Reznik. Untuk jadi sekurus ini, beliau sanggup untuk ‘berpuasa’ selama 4 bulan dengan hanya makan satu tin ikan tuna dan sebiji epal setiap hari untuk mengurangkan berat sebanyak 30 kilo. Dan beliau berjaya.

Selepas tamat pengambaran ‘The Machinist’, beliau perlu menambah berat kembali kepada 230lbs(sekitar 104kg) untuk watak Bruce Wayne dalam ‘Batman Begins’. Dan beliau berjaya mendapatkan berat berkenaan dalam masa 6 bulan berkenaan sebelum pengambaran bermula.

Heath Ledger juga contoh seorang lagi yang sangat mementingkan wataknya. Berbulan sebelum pengambaran ‘The Dark Knight’, Heath Ledger sanggup untuk duduk bersendirian dan memencilkan dirinya daripada masyarakat untuk lebih memahami watak Joker. Hasilnya? Beliau ‘dapat’ apa yang beliau mahukan untuk watak Joker; gelak tawa yang ikonik serta psiko.

Ini beberapa contoh pelakon luar negara. Kalau dalam negara, saya perlu puji Shaheizy Sam kerana beliau sangat bersungguh dengan komited dengan watak yang akan beliau lakonkan. Sama seperti Bale, beliau menurunkan berat untuk watak beliau dalam Pinjamkan Hatiku dan bulk up kembali untuk Polis Evo 2. Sesuatu yang saya rasa tak ramai pelakon tempatan yang berani untuk sahut cabaran ini. Mana boleh tahan tarikan teh tarik dan nasi lemak di pagi hari.

Sam sendiri dalam posting-nya menjadikan Bale sebagai inspirasi untuk transformasi badan beliau. Sam turut memberi kata-kata positif supaya semua orang mampu fit sepertinya asalkan menjaga pemakanan dan bersenam. Namun yang jadi masalah apabila ada yang tidak faham dengan kerja Sam ini. Ada sahaja komen-komen negatif; orang rendah badan sado nampak peliklah, menunjuk badanlah dan bermacam lagi.

Begitulah karenah peminat filem tempatan. Apabila pelakon berlakon kayu, diminta masuk kelas lakonan. Apabila ada artis yang komited sebegini, dikatanya pula menunjuk-nunjuk. Tak tahu apa yang peminat mahu sebenarnya. Di luar negara, pelakon sebeginilah yang akan lebih dihargai dan menang anugerah kerana hasil lakonan mantapnya dalam filem. Di Malaysia pula rata-rata lebih pentingkan rupa paras. Muka kacak dipuja walaupun lakonannya biasa-biasa sahaja.

Aktor Zul Ariffin (dalam Tombirou) ,Bront Palarae dan semua pelakon Bunohan juga sangat menyinar dalam filem yang mereka lakonkan. Sekadar memberi contoh pelakon selain Sam. Sudah tiba masanya peminat berubah dan memberi lebih sokongan kepada artis kita supaya industri filem tempatan menjadi lebih berkualiti daripada terus dibanjiri filem-filem picisan. Tahniah dan jalan terus Sam.