Masyarakat masih lagi keliru dengan perbezaan sistem cukai yang digunakan sekarang iaitu Goods and Services Tax (GST) dan bakal digantikan dengan sistem cukai yang pernah digunakan pada satu masa dahulu iaitu Sales and Services Tax (SST). Sistem SST akan diperbaharui dan akan sedikit berbeza dari sistem yang lama yang beroperasi secara manual.

sst vs gst-01-01

Untuk pemahaman anda semua, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berbeza daripada GST di mana cukai jualan hanya dikenakan ke atas pengeluar dan caj perkhidmatan dikenakan ke atas pengguna yang menggunakan perkhidmatan cukai.

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pula meliputi semua orang, peruncit dan perdagangan. Cukai jualan dikenakan ke atas pengilang manakala cukai perkhidmatan merangkumi perkhidmatan tertentu seperti perkhidmatan professional.

Bagi para pembekal, mereka boleh menuntut semula cukai yang mereka bayar dari kerajaan melalui sistem GST berbanding dengan sistem SST dimana pembekal tidak boleh menuntut semula cukai dan cukai tersebut dianggap sebagai kos perniagaan.

Pada 16 Julai 2018, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, di bawah Akta SST yang bakal dilaksanakan pada 1 September depan, cukai jualan dicadangkan adalah 10 peratus, manakala untuk cukai perkhidmatan, 6 peratus setelah Rang Undang-undang mengenai SST diluluskan di Parlimen pada bulan Ogos.

Menurut Guan Eng, kutipan SST dijangka RM23 bilion kurang berbanding kutipan GST. Ini bermakna, RM23 bilion telah dikembalikan kepada rakyat. Kadar GST disifarkan kerajaan mulai 1 Jun 2018.

Contoh barang GST yang tidak dikenakan cukai (GST) adalah sardin, susu, kopi, teh, sos cili, motosikal dan basikal sudah kembali ke cukai lama dengan pelaksanaan SST.

Puan Norsa’adah Ahmad adalah antara pengguna Facebook yang membuat perbandingan ini secara berhemah. Menerusi posting oleh Puan Norsa’adah ini, anda akan nampak lebih jelas tentang perbandingan kedua-dua jenis cukai ini.

Apabila cukai SST dilaksanakan, pasti akan berlaku naik turun harga barang, sebagai pengguna kita harus bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang akan berlaku. Diharap apabila SST dilaksanakan, penurunan harga barang akan dapat membantu golongan B40 terutamanya yang terkesan dengan GST sebelum ini.

Kedua-dua sistem cukai ini akan mengakibatkan harga barang naik sekiranya tidak dikawal oleh pihak kerajaan. Jadi pada pandangan anda, anda mahu GST atau SST?