Mencuba sesuatu yang baru dan tidak pernah dilakukan sebelum ini demi meneruskan kehidupan bukanlah keputusan yang mudah untuk dibuat. Terutama sekali jika perkara baru itu adalah sesuatu yang berbeza dengan apa yang dilakukan sebelum ini.

Namun begitu, ianya tidak menjadi penghalang buat juruterbang (atau dalam kes ini bekas juruterbang) Mohammed Naeem Md Nassir yang kini beralih arah dari kokpit pesawat di Muscat, Oman ke dapur burger miliknya di Shah Alam, Malaysia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bercerita kepada The Vocket, Mohammed Naeem menjelaskan dia telah berkhidmat bersama Oman Air sejak 2018 dan menetap di ibu negara berkenaan sepanjang tempoh tersebut sebelum pulang ke Malaysia pada tahun ini.

photo_2020-11-28_11-50-55
Muhammed Naeem ketika bertugas sebagai juruterbang sebelum ini.

Sebab kepulangannya? “Kerana pandemik yang berlaku di 2020 ini yang menyebabkan beliau kehilangan kerja sama seperti jutaan orang lain di seluruh dunia”.

Mengakui tidak mempunyai kelayakan lain selain bergelar sebagai seorang juruterbang dan minat yang mendalam terhadap seni kulinari, Muhammad Naeem kemudiannya memutuskan untuk membuka Smashed Burger yang terletak di Nasi Kandar Zubair Bistro, Shah Alam.

“Sejujurnya saya tidak mempunyai apa-apa kelayakan selain lesen juruterbang dan pilihan kedua saya sebelum menjadi juruterbang adalah untuk menjadi chef kulinari.

“Saya juga lagi prefer (gemar) kerja yang melibatkan tenaga fizikal yang banyak, jika dibandingkan dengan ‘office duty’ (kerja-kerja pejabat)”, jelasnya mengenai keputusan yang dibuat untuk membuka perniagaan berkenaan.

Tambah menarik, kemahiran membakar burger ini menurutnya hanya dipelajari melalui video-video di YouTube dan sumber-sumber daripada Internet.

Walaupun pernah bekerja sebagai barista di salah sebuah rangkaian kedai kopi terkenal sebelum bergelar juruterbang, beliau menjelaskan hanya pernah memasak untuk keluarga dan kenalan sahaja sebelum mengusahakan perniagaan ini.

Dari kokpit ke api panas membara

Bercerita lanjut mengenai perubahan daripada kokpit yang penuh selesa ke dapur yang panas membara, Muhammed Naeem memberitahu ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Bagaimanapun, kedua-kedua pekerjaan tersebut menurutnya mempunyai persamaan yang lebih kurang di mana ianya memerlukan ketepatan kualiti dan masa selain mempunyai tekanan kerja yang tinggi.

“Perubahan yang sangat drastik, daripada duduk dengan penuh selesa di kokpit dengan pendingin hawa, menekan switch, avionics dan menerbangkan pesawat kepada pekerjaan yang memerlukan saya berdiri sepanjang masa bersebelahan dengan api dan dapur yang panas membara.

“Satu lagi, kalau dulu krew kabin yang akan hidangkan saya makanan, sekarang saya pula yang sediakan makanan untuk orang lain,” kongsinya.

Sejak dibuka dua bulan lalu, beliau memberitahu ianya telah mendapat sambutan ramai dan ramai yang akan kembali selepas mencuba keenakan yang ditawarkan mereka di Smashed Burgers.

Hanya menawarkan ‘100% Australian beef patty burgers’ dan bukannya burger yang biasa dijual peniaga penjaja lain, Muhammad Naeem menjelaskan ramai pelanggan mereka yang akan mengesyorkan burger mereka kepada kawan dan kenalan yang lain.

photo_2020-11-28_11-50-57
Gerai Smashed Burger milik Muhammed Naeem Di Shah Alam

“Kami dah beroperasi hampir dua bulan, Alhamdulillah ramai ‘repeat customers’.

“Tak sangka dapat sambutan sebab ramai yang recommend dekat kawan-kawan yang lain,” jelasnya.

Walaupun pada awalnya keluarga dan kenalanannya sedikit terkejut dengan keputusannya untuk mengusahakan perniagaan berkenaan, namun mereka jelasnya sangat menyokong apa yang dilakukannya ketika ini.

Malah beliau pada masa sama juga menasihatkan kepada mereka yang mungkin sedang mengalami kesukaran dek kerana pandemik ketika ini untuk terus berusaha dan tidak mengalah.

“Nasihat saya, jangan putus asa, jangan bersedih dan segala benda yang terjadi ada hikmahnya.

“Sentiasa bekerja keras dan kerja dengan ikhlas, jujur serta beristiqomah. Insya-Allah ada ganjarannya,” pesannya sebelum menamatkan perbualan dengan kami.

Baca juga kisah juruterbang ini yang mencuri tumpuan selepas berniaga lengkap dengan memakai pakaian seragam melalui pautan di bawah.

Lengkap Berpakaian Seragam, Juruterbang Ini Buka Gerai Di Subang Demi Mahu Cari Rezeki

Hilang Kerja Di Awan Biru, Bekas Pramugari Ini Cuba Nasib Jual Nasi Kukus Demi Cari Rezeki