Wabak COVID-19 datang menjengah di muka pintu Malaysia, lebih 50 orang sudah didapati maut disebabkan penyakit ini. Sejak itu Malaysia sudah merekodkan lebih 3,000 pesakit di seluruh negara.

Situasi serangan COVID-19 telah membuatkan rakyat Malaysia gusar dengan nasib hidup mereka, dengan dugaan wabak yang ada di hadapan dan pekerjaan yang bakal terjejas.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tidak kira yang makan gaji ataupun yang membuka perniagaan. Kerisauan dan rasa takut mereka dengan hari-hari mendatang dapat dilihat apabila ramai yang mengharapkan bantuan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Rasa takut dan risau mula menyelubungi orang-orang yang hidup dengan gaji hari atau golongan yang bekerja sendiri. Kerisauan ini datang dari pelbagai bidang dan salah satunya adalah kelompok anak seni. Mereka ini adalah kumpulan yang mencari rezeki dengan melakukan aktiviti seni.

49192785_10157063872595159_1912688557705658368_n

Kami menemuramah Fazleena Hishamuddin bagi mengetahui lebih lanjut dari sudut pandang beliau sebagai seorang aktivis teater yang banyak melakukan kerja-kerja seni sebagai produser, pengarah, penulis skrip dan kerja-kerja belakang tabir

Bagaimana COVID-19 telah memberi kesan kepada kelompok seni?

Beliau yang banyak terlibat dalam filem pendek untuk tujuan ke festival dalam dan luar negara sebagai pelakon mengakui bahawa wujud kerisauan di hati setiap rakyat Malaysia. Tidak kira peringkat.

“Kerisauan dan kegelisahan sudah tentu dirasa oleh semua orang, dari pelbagai sektor dan lapangan, dari anak kecil hingga dewasa, dari setiap kelompok masyarakat. Semua.

“Situasi ini mengejutkan. Ia datang secara tiba-tiba. Siapa yang sangka? Tiada siapa yang minta. Ia merupakan fenomena pendemik. Seluruh dunia merasakan kesannya. Seluruh dunia terkesima dan sedang berusaha beradaptasi dengan situasi ini,” kata Fazleena yang juga penulis buku Tari Pasar Perempuan keluaran Roman.

unnamed-5

Fazleena yang pernah merangkul Anugerah Skrip Terbaik Kategori Eksperimental di Festival Filem Pendek anjuran RTM/Finas pada 2007 turut keliru dengan situasi yang melanda negara sekarang.

Situasi ini juga telah membuatkan beliau mempersoalkan banyak perkara. Kenapa ia berlaku? Mengapa ia menular dengan sangat cepat? Bagaimana nasib barisan hadapan yang setiap saat berhadapan dengan pesakit dan risiko? Nasib mereka yang tiada tempat perlindungan dan hidup kebuluran? Bagaimana kematian menjadi sesuatu yang sangat dekat? Dan bermacam-macam lagi.

“Namun saya pasti ini adalah ujian. Bencana dan musibah yang datang, adalah ketentuanNya agar kita boleh merenung dan menghayati kembali kehidupan kita di dunia ini.

“Refleks dan reset semula pemikiran serta tindakan kita. Selagi kita bernafas, sentiasa ada ruang untuk memperbaiki diri sendiri, berbakti pada keluarga dan masyarakat. Keresahan dan kegelisahan adalah makna dan petanda bahawa kita hidup,” katanya.

Kesan kepada aktiviti kesenian

Fazleena dan suami adalah karyawan sepenuh masa. Pendapatan mereka diperolehi dari kerja-kerja menulis, menjalankan acara seni dan mengendalikan bengkel teater dan puisi.

Beliau yang bertanggungjawab menguruskan rumah seni, Serambi Karya mengakui sejak COVID-19 datang menjengah, rezeki dari kelompok mereka yang menjalankan kerja-kerja seni-budaya mula terjejas.

“Rumah Seni adalah tempat pengkarya berkumpul. Apatah lagi aktiviti dan program yang kami lakukan melibatkan komunikasi dua hala. Ada khalayak dan peserta. Ada persembahan dan pertunjukkan. Perkongsian yang bersifat bukan virtual.

“Apabila tidak boleh digerakkan secara terus, ia melumpuhkan sistem yang ada. Pengurusan acara sememangnya melibatkan interaksi langsung dengan khalayak,” katanya.

76939513_1186227761568228_3949483403769806848_o

Serambi Karya mula beroperasi pada Ogos 2019. Ruang ini disewakan dengan kadar minimal bagi aktiviti kesenian-kebudayaan dan keilmuan untuk masyarakat. Mereka juga membuka ruang ini untuk berkolaborasi dengan NGO.

Pendapatan dari penyewaan Serambi Karya digunakan untuk kerja pengurusan, pembaik-pulih kemudahan dan pembayaran kepada tenaga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan setiap program yang telah dirancang.

Kata Fazleena, kesan ini sama turut dirasai oleh semua penggiat teater atau pejuang seni tidak kira apa jua bidang. Mereka turut sama-sama merasai situasi di mana acara terpaksa dibatalkan atau ditunda ke tarikh yang lain. Situasi ini sedikit sebanyak telah mengganggu periuk nasi mereka.

“Tiada tarikh khusus yang boleh diandaikan buat masa ini. Kita hanya menunggu keadaan stabil dan pulih.”

Harapan Untuk Teman-Teman

Beliau percaya apa yang dilalui oleh setiap orang adalah berbeza. Semua orang mengalami struggle dan perjuangan yang berbeza. Beliau faham bahawa apa yang dia rasakan belum tentu sama dengan apa yang kita bayangkan.

“Situasi ini pastinya membebankan, menyakitkan dan melelahkan. Namun ia adalah peluang kita untuk duduk bertenang, menyusun-kembali dan membuat persediaan untuk menyambut hari mendatang.

“Mungkin sebelum ini banyak perkara yang tertunda atas faktor kesibukan, hargailah masa kuarantin ini untuk menyelesaikan satu-persatu kerja-kerja kita. Membikin karya di saat pandemik ini mungkin juga berat dan sakit – kita terganggu mahu menyemak media sosial, keep update dengan berita terkini serta otak kita sentiasa berfikir tentang nasib dan kesannya. Namun sebagai pengkarya, itulah tugas kita. Berkaryalah untuk mengimbangi kewarasan kita,” katanya.

47438231_10156988806940159_6349086455293280256_o

Terdahulu, kerajaan telah membentangkan pelan bagi menghapuskan COVID-19 serta pelan bagi membantu rakyat Malaysia meneruskan kelangsungan hidup.

Dengan inisiatif yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi membantu mereka yang terkesan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat Malaysia. Bantuan ini bagi Fazleena layak dinikmati oleh semua orang termasuk penggiat seni.

“Pihak kerajaan juga telah menyediakan inisiatif bantuan kepada seluruh rakyat Malaysia. Tidak kira apa pekerjaan dan status sosialnya. Semua layak menikmati. Termasuk penggiat seni.

“Di sini kita semua sama saja. Tak perlu bantuan khusus. Dari masa ke semasa, badan-badan kesenian (awam mahupun swasta) turut berusaha mengatasi masalah dan sedang sedaya upaya meringankan beban karyawan dengan pelbagai inisiatif sokongan.”

Beliau turut berpendapat, walaupun pelbagai inisiatif telah diketengahkan oleh kerajaan, sudah menjadi tanggungjawab buat karyawan dan penggiat seni dalam apa saja bidang yang ia kuasai dan jalani, harus mempunyai pengurusan kewangan yang baik. Harus mengambil kira simpanan di waktu-waktu kritikal seperti ini.

Beliau juga mengingatkan kepada rakan-rakan yang turut sama berada di dalam bidang seni kebudayaan untuk sentiasa peka dan mengambil tahu dengan maklumat terkini supaya tidak ketinggalan.

unnamed-2

“Kita semua penggiat seni harus bersatu-hati dan tidak menunding jari dan salah menyalah antara satu sama lain. Lihatlah ujian ini sebagai sesuatu yang dapat merendahkan hati kita untuk merenung kesusahan dan penderitaan orang lain.

“Bantulah mereka yang memerlukan dengan segala ilmu, kudrat kesungguhan yang kita ada. Loronglah kepakaran kita untuk memberi manfaat kepada orang lain.

“Agar kita tidak dilihat sebagai orang yang hanya menghiburkan masyarakat, tetapi membangunkan komuniti dan lingkungan. Sekaligus meletakkan seni pada tempat yang selayaknya.”

Sebelum menutup temuramah bersama Fazleena, beliau sempat selitkan lagu Perjuangan dari kumpulan Kembara untuk teman-teman dan sahabat karyawan semua.

“Semoga kita terus bertahan,” ujar Fazleena di akhir temubual.

crumpled-white-paper-texture-melemel-jpeg_260159

Untuk bacaan lanjut mengenai situasi COVID-19 di Malaysia, klik pautan di bawah.

Netizen ‘Salah Faham’ Kenyataan Artis Rayu Bantuan Khas COVID-19?

Bagaimana Rakyat Malaysia Boleh Bantu Bangunkan Semula Ekonomi Negara Selepas COVID-19

Penjelasan Mudah Mengapa Rakyat Marhaen Berhak Dapat Bantuan Berbanding Golongan Atasan