Bagi peminat manisan, pasti ramai mengenali Mokti’s, satu jenama ais krim gelato yang mengetengahkan ‘ais krim gula apong’ yang mempunyai rasa manis berlemak dan aroma tersendiri.

Setakat tahun 2022, Mokti’s mempunyai 85 cawangan di seluruh negara untuk memenuhi permintaan pelanggannya melalui 69 jenis produk. Namun angka cawangan yang banyak itu tidak terhenti di Malaysia sahaja.

Baca Juga:

Baru-baru ini perniagaan yang bermula dari Perlis itu telah melebarkan sayap perniagaan dengan membuka cawangan terbaharunya di Istanbul, Türkiye pada hari semalam.

Selepas 4 bulan proses renovasi kedai, akhirnya Mokti’s Türkiye beroperasi secara rasmi di Lüleci Hendek Cad. Hacımimi Mah, Istanbul.

“Yang pertama di luar negara dan bukanlah yang terakhir Insha Allah. Terbang jauh dari Perlis ke bumi ottoman MashAllah, ” petik perkongsian pengasas jenama Mokti’s, Siti Fatimah.

Keunikan ais krim gula apong yang ada pada Mokti’s apabila tiada langsung penggunaan gula putih, sebaliknya diperbuat daripada 95 peratus gula apong yang dibawa dari Sarawak dan lima peratus susu, bagi mengekalkan keaslian juadah dari Bumi Kenyalang itu.

Pada April tahun lalu, Mokti’s Ice Cream telah menerima anugerah ‘The Brand Laureate 2022’ sebagai pengiktirafan terhadap jenama bumiputera terbaik.