Selepas 20 tahun memegang tampuk tertinggi di NAZA Corporation Holdings Sdn Bhd (NAZA Group), Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan NAZA Group telah membuat kenyataan rasmi bersama mengumumkan peletakan jawatan Datuk Wira sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bersama, daripada syarikat Kumpulan NAZA.

Memetik kenyataan rasmi yang dikongsikan melalui Linkedin milik SM Faisal, NAZA Group merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Wira atas dedikasi dan sumbangan beliau yang tidak kenal erti penat selama 20 tahun yang lalu.

Baca Juga:

“Semasa berkhidmat di NAZA Group, Datuk Wira berjaya bekerjasama dengan rakan sekerja dan rakan kongsi untuk mengembangkan portfolio syarikat dan memupuk rangkaian luas dan dihormati merentasi pelbagai industri. Kerjasama ini terus kekal tidak ternilai kepada NAZA Group hari ini.

“Datuk Wira mengucapkan ribuan terima kasih kepada arwah bapanya, Allahyarham Tan Sri Dato’ Seri SM Nasimuddin SM Amin, dan ibunya, Puan Sri Datin Seri Zaleha Ismail, atas kasih sayang, komitmen dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Sumber Gambar: Linkedin Faisal Nasimuddin

“Beliau juga ingin mengucapkan terima kasih kepada adik-beradiknya Nur Diana Nasimuddin, SM Nasaruddin SM Nasimuddin, SM Faliq SM Nasimuddin dan Nur Nadia Nasimuddin, yang telah menyokongnya selama ini,” petik kenyataan bersama yang dibuat.

Datuk Wira juga merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengarah NAZA Group, pasukan pengurusan korporat dan semua ketua bahagian perniagaan NAZA Group. Beliau mempunyai keyakinan penuh bahawa mereka akan terus memacu NAZA Group ke tahap yang lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang.

NAZA Group juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Wira dalam usahanya dan mengharapkan sokongan berterusan beliau ke arah pertumbuhan masa depan syarikat berkenaan.