Perubahan iklim yang ketara sejak-sejak akhir ini telah menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air sehingga banyak harta benda mangsa yang terjejas hilang dan rosak.

Terbaharu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik perunding bagi mengkaji dan mereka bentuk semula parit monsun serta longkang untuk meningkatkan keupayaan infrastruktur itu bagi menampung jumlah air hujan dan seterusnya mengatasi masalah banjir kilat yang melanda.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata perunding yang dilantik diarah menyiapkan kajian itu dalam tempoh 12 bulan berdasarkan reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Ini penyelesaian secara menyeluruh bagi mengatasi banjir dengan menggunakan ARI 200 sebagai asas mereka bentuk semula keupayaan sungai dan longkang termasuk longkang tepi jalan raya di Kuala Lumpur,” katanya ketika menggulung perbahasan usul pada persidangan Dewan Rakyat hari ini baru-baru ini.

Beliau menjelaskan banjir kilat di Kuala Lumpur pada 7 Mac baru-baru ini, bukan berpunca daripada kegagalan fungsi enam kolam takungan banjir JPS di wilayah itu, sebaliknya kolam itu berfungsi dengan kapasiti mencukupi bagi menampung air hujan selain beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Enam kolam berkenaan ialah Kolam Batu di Batu; Kolam Nanyang (Jinjang); Kolam Batu 4 1/2 (Jalan Klang Lama); Kolam Delima (Kepong); Kolam Taman Wahyu (Selayang); dan Kolam Taman Desa (Seputeh).

Bagaimanapun, Kolam Takungan Banjir Boyan di Sungai Bunus, Titiwangsa tidak dapat menampung jumlah air hujan yang luar biasa melebihi kapasiti kolam terbabit dan berlaku limpahan air ke kawasan sekitar.

Pada masa sama, Astro Awani melaporkan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman mengakui terdapat kelemahan pada sistem amaran awal bencana khususnya dalam menentukan ketepatan lokasi potensi bencana, bagaimanapun agensi terlibat sedang menambah baik sistem itu.

Katanya JPS juga merancang menaik taraf sistem amaran awal bencana yang baharu di lembangan sungai seluruh negara melibatkan 516 unit siren dan 155 kamera web sedia ada serta pemasangan baharu 361 kamera web dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM160 juta.

Bencana banjir yang bermula pada akhir tahun lalu telah mendapat perhatian media antarabangsa. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Banjir Di Malaysia Dapat Perhatian Media Antarabangsa, Dianggap Sebagai Bencana Alam ‘Terburuk’

Bukan Lagi Banjir Kilat, Ini Ulasan Pakar Meteorologi Mengenai Bencana Yang Menimpa Lembah Klang

Impak Pasca Banjir, Syarikat Insurans Kereta Berdepan Tuntutan Sehingga RM3 Bilion