Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pada tanggal 20 April 2010, dekat-dekat nak masuk waktu Maghrib, di pesisir lautan Gulf of Mexico, para pekerja shif pagi yang keletihan sedang bersiap untuk berehat di kabin dan sebahagiannya tengah lepak di Galley Area.

Tetapi mereka meninggalkan satu ‘situasi buruk’ kepada shif seterusnya iaitu bacaan tekanan dalam well (telaga) meningkat secara tiba-tiba.

Namun selepas mereka buat ujian tekanan dan perbincangan, kesimpulan yang diambil ialah tak ada apa-apa masalah pada rig dan well (hakikatnya ia adalah interpretasi yang salah).

deepwater-01

Lalu pekerja shif malam mengambil alih bilik kawalan dan rig minyak seperti biasa untuk memastikan operasi menggerudi berjalan lancar.

Tanpa sesiapa pun perasan, sejumlah gas telah meresap keluar melalui derrick floor dan mengeluwap dengan cepat di sekitar dinding dan lantai pelantar minyak akibat cuaca malam yang sejuk.

Pada malam itu, sistem pengesan gas yang dipasang gagal berfungsi dan kebocoran gas mulai merebak ke kawasan berbahaya.

Tiba-tiba, beribu-ribu meter padu air lumpur (mud) bersama gas dan minyak mentah memancut keluar dari bawah laut ke atas platform Deepwater Horizon tanpa amaran siren kecemasan.

Pancutan lumpur dari perut bumi yang bertekanan sangat tinggi itu menyebabkan beberapa oil rigger yang sedang menjalankan tugas di bawah derrick tower terpelanting ke sana-sini.

Mereka tidak tahu apa yang berlaku di dalam well tube beribu-ribu meter di bawah dasar laut.

Pancutan air lumpur menyebabkan bahan bakar yang sensitif ini merebak ke bahagian bilik enjin dan percikan yang berpunca dari enjin telah mencetuskan letupan dahsyat dan bebola api memenuhi ruang udara Teluk Mexico, sehingga dilaporkan ia boleh dilihat dari jarak 60 km.

deepwater-02

deepwater-04

Letupan pertama, mengakibatkan para pekerja dihunjan dengan serpihan kaca dan besi, dan gelombang letupan (explosion wave) telah menyebabkan ada pekerja yang terpelanting dan tercedera teruk.

Dalam masa yang sama, minyak mentah dan gas terus memancut keluar dari well tube meskipun ada pekerja yang cuba untuk mengaktifkan sistem blowout preventer (BOP).

Api terus marak dan di sela masa antara letupan demi letupan bebola api, pekerja-pekerja yang masih hidup berusaha untuk mencari jalan keluar dari bilik enjin, bilik kawalan dan bilik kediaman (living quarters).

Asap hitam memenuhi ruang, menyesakkan nafas dan menghalang penglihatan.

Bahang panas kesan letupan bahan bakar minyak dan gas, tidak menyediakan pilihan lain selain daripada para penghuni Deepwater Horizon terpaksa terjun dari deck floor setinggi 60 kaki (lebih kurang 6 tingkat bangunan) terus ke dalam laut untuk menyelamatkan diri.

Deepwater Horizon semi-sub (Mobile Offshore Drilling Unit – MODU) kepunyaan Transocean ni, kalau dalam dunia minyak dan gas boleh dikira antara penanda aras kemajuan teknologilah.

Konsep binaannya lebih kurang macam Gumusut-Kakap semi-sub yang dibina untuk lapangan minyak di Sabah, cuma fungsinya sedikit berlainan.

Deewater Horizon adalah unit penggerudian di mana sebelum tiba di Teluk Mexico, ia sudah beroperasi di pelbagai lapangan telaga minyak sejak tahun 2001.

deepwater-05

deepwater-06

Struktur platform semi-sub ni boleh dipindahkan dari satu well (telaga) ke satu well lain dan sesuai untuk operasi di laut dalam melebihi 1.5km.

Harga Deepwater Horizon, pada ketika ianya dibina adalah USD560 juta bersamaan dengan RM2.2 bilion, murah sikit dari duit ‘derma’ 1MDB iaitu RM2.6 bilion.

Kebakaran mega ini telah berterusan selama dua hari dan akhirnya, platform sebesar dua padang bola ini mulai tenggelam ke dasar laut.

Namun, tragedi ini tidak berhenti di situ.

Tiub telaga di dasar laut masih terus-menerus memancutkan berpuluh ribu barrel minyak mentah dari perut bumi dan memenuhi permukaan laut Teluk Mexico walaupun pelbagai percubaan dibuat untuk menghentikannya.

Pada hari ke-10 bencana, Obama dan kerajaan Amerika mengisytiharkan kecemasan bencana dan memaksa beliau turun melawat pantai Louisiana yang terjejas teruk.

Pelbagai cara dan teknik dibuat untuk menutup telaga yang bocor termasuk memasang shut-off valve, dan robot atau kenderaan laut dalam dihantar ke dasar laut untuk menyelesaikan masalah ini. Semuanya gagal.

Kesan daripada pergerakan ombak menyebabkan minyak mentah sudah mulai merebak ke muara sungai Mississippi.

Banyak industri perikanan dan tiram termasuk pantai-pantai dan pusat peranginan terpaksa ditutup kerana tercemar, dan kerajaan US terpaksa mengisytiharkan bencana kepada industri perikanan.

Setelah hampir 3 bulan kebocoran minyak mentah berlalu, akhirnya tiub telaga di dasar laut berjaya ditutup (seal) dan kebocoran berhenti sepenuhnya.

Dianggarkan kebocoran minyak mentah yang memenuhi Teluk Mexico dan merebak ke pesisir pantai Louisiana adalah sekurang-kurangnya 150-170 juta gelen minyak mentah. Kerugian makan billion jugak ni termasuk keseluruhan kemudahan luar pesisir pantai.

Daripada 126 krew yang terdiri daripada rombongan staf BP, operator Transocean dan pekerja-pekerja dari kontraktor lain, 11 krew dilaporkan hilang (presumed dead) dan 17 daripadanya cedera teruk.

Persoalannya, bagaimana boleh tercetusnya bencana sebesar ini? Adakah binaan berteknologi tinggi seperti Deepwater Horizon tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan?

Segala-galanya bermula dengan HUMAN ERROR.

Semasa peringkat reka bentuk kejuruteraan, pelbagai sudut kemungkinan ‘disaster and failure’ wajib diambil kira, sama ada dari konteks sistem pemprosesan, operasi, reka bentuk kemudahan, ergonomik, dan segala jenis potensi bahaya.

Jadi pelbagai jenis sistem e.g. pengesanan, pencegahan, pemulihan, dsb.nya sudah diintegrasi dalam reka bentuk terperinci untuk platform pesisir luar pantai.

If there’s any past incident, it should be part of lesson learned list to be incorporated in future development.

Misalnya, jika berlaku peningkatan tekanan dalam telaga minyak dalam perut bumi yang berisiko tinggi seperti dalam kes Deepwater Horizon, Blowout Preventer (BOP) dipasang di dasar laut sebagai kawalan/langkah keselamat di antara telaga di dalam perut bumi dengan paip yang bersambung ke platform pengeluaran di permukaan laut.

Ada beberapa peringkat sistem pencegahan yang dibina dalam BOP yang boleh diaktifkan untuk mengelakkan berlakunya kejadian blowout. Contohnya, dia akan kacip, potong dan tutup saluran tiub telaga menggunakan ‘blind shear ram’ – tapi dalam kes Deepwater Horizon ini sistem ini gagal menahan tekanan yang terlalu tinggi dan terdapat masalah teknikal pada injap akibat kehilangan kuasa, lalu minyak mentah bersama lumpur terus menerjah keluar sehingga ke permukaan platform.

Begitu juga sistem ‘break free’ yang memisahkan BOP kepada dua bahagian supaya saluran paip yang mengandungi minyak mentah juga terputus, malangnya sistem ini GAGAL berfungsi sepenuhnya kerana independent baterinya dah lama habis.

Sumber elektrik dari platform pula terputus kerana platform sedang terbakar teruk dan penjana kuasa pun dah shutdown.

Akibatnya, minyak mentah terus menerus menerjah keluar ke permukaan platform dan bebola api tidak putus-putus memenuhi ruang udara Teluk Mexico.

Kebakaran tidak dapat dikawal lagi dan platform Deepwater Horizon musnah sepenuhnya. Dalam laporan siasatan penuh, dilaporkan bahawa banyak rantaian faktor yang menjadi punca kepada bencana ini. Antaranya:

1. Wrong assessment and interpretation.

Semasa tekanan meningkat mendadak masa awal-awal sebelum berlaku kebocoran, staf di bilik kawalan silap menafsirkan bahawa kebocoran tidak berlaku.

Tetapi justifikasi yang diberikan adalah ‘bladder effect’ di dalam tiub telaga. Dan ia berlaku semasa proses pertukaran shif.

2. Semasa gas bocor pada awal-awal lagi, sistem pengesan gas tidak berfungsi untuk menghantar signal dan mematikan peralatan kritikal yang boleh mencetuskan letupan.

3. Sistem penggera am tidak berfungsi sepenuhnya.

4. Sistem pencegahan – Blowout Preventer FAILED.

Dan macam-macam lagi tanggapan dan dapatan kajian bagaimana boleh terjadinya bencana terbesar di Amerika yang melibatkan human error ini.

Obama pun agak bengang sebab kesan kepada bencana ini menyebabkan kerugian kepada industri pelancongan, perikanan pesisir pantai dan laut dalam.

Yang paling utama penting adalah kemusnahan ekosistem alam seperti tumbuhan dan hidupan laut, serta burung dan ikan yang mati akibat terpalit dengan minyak mentah yang pekat.

BP sebagai pihak yang bertanggungjawab, terpaksa membayar ganti rugi yang berjumlah berbilion-bilion US dolar.

Kenapa rajin sangat aku tulis panjang-panjang ni? Bukan ada orang bayar pun.

Ok, sekadar ulang kaji case study saja. Dan aku juga nak sampaikan mesej bahawa apabila berlakunya bencana atau kejadian atau kesilapan atau kerugian atau kekalahan, para pakar dan penyiasat mengambil masa bertahun-tahun untuk mengkaji, menganalisis, dan kenalpasti di manakah punca (root cause) sesuatu insiden.

Ya, memang semuanya adalah takdir Tuhan, sudah ditentukan. Walau bagaimanapun, nikmat akal yang Tuhan kurniakan memberi peluang kepada manusia untuk mencari lesson learned, justeru memperbaiki teknologi, menyusun pelan mitigasi, dan menutup ruang potensi human error di masa hadapan.

Begitu juga dengan bencana lain seperti kemalangan udara atau bencana alam.

Apabila berlaku kemalangan, mesti kaji, kaji, dan kaji. Bukan sekadar berbual tentang ibrah di mulut semata-mata – kosong dan syok sendiri – tapi tiada ibrah yang realistik untuk proses pembaikan.

Filem Deepwater Horizon yang bakal ditayangkan bermula minggu depan, adalah ‘INSPIRED BY TRUE STORY’ daripada kisah ini.

Apabila disebut ‘diinspirasikan oleh’, barangkali jalan cerita dan rentetan kejadian mungkin tidak 100% tepat seperti kronologi asal.

Sebenarnya ada lagi satu filem yang menggunakan kes Deepwater Horizon sebagai latar filem iaitu The Runner (2015), tapi plot cerita ni lebih kepada bagaimana mengurus kesan bencana dan berkait dengan orang politik.

Tapi bagi aku, penting untuk orang awam menghayati filem ini untuk mengetahui:

1. Bagaimana tingginya risiko kehidupan riggers, pekerja offshore atau ‘orang minyak’ yang bekerja di tengah laut dan pengorbanan meninggalkan keluarga masing-masing.

2. Bagaimana proses penghasilan minyak dari perut bumi (drilling), hinggalah ke atas platform (production dan processing).

Kerana inilah sumber yang telah berjaya memajukan banyak negara pengeluar minyak termasuk Malaysia dan terus memberi nafas kepada industri tenaga.

3. Menjawab persoalan kenapa depa ni gaji sampai 5-6 angka sebulan.

4. Kesedaran terhadap betapa pentingnya keselamatan dan kesihatan di kawasan industri dan tempat awam.

Kesilapan kecil seorang manusia sahaja mampu membunuh beratus atau beribu-ribu orang lain.

Seperti yang dapat kita tengok dalam poster Deepwater Horizon (2016), tragedi ini dirakam melalui perspektif Mikes Williams, iaitu salah seorang juruelektrik yang membantu mangsa-mangsa lain untuk lari dari platform dan menjadi orang terakhir terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri.

Aku agak, babak-babak kritikal semasa merangkak dalam gelap untuk ke kawasan lifeboat, atau aksi terjunan ‘do or die’ setinggi 60 kaki dari platform ke dalam laut, pastilah akan menjadi babak thriller filem ini.

Mungkin boleh tengok sendiri bagaimana praktikaliti SOP yang dah dipelajari masa dalam kursus BOSET; safety protocols, escaping dark and smoke room, jump into the sea, sea survival, help-position (donut), etc.

Tapi buat masa ini aku tak nak letak jangkaan tinggi sangat untuk filem ni, takut ku sangka panas hingga ke petang rupa-rupanya hujan di tengahari.

Yang menariknya, set penggambaran filem ini memakan kos berpuluh juta US dolar kerana mereka menggunakan dummy set Deepwater Horizon dengan saiz hampir 85 peratus sama dengan saiz platform sebenar.

Set filem ini dibina di Six Flags New Orleans, taman tema terbiar yang pernah dilanda taufan Katrina (dah banyak filem buat penggambaran di sana).

Helideck yang dibina pun boleh menampung helikopter sebenar semasa penggambaran filem. Jadi aku jangka babak-babak CGI/kartun mungkin tidak terlalu ketara, dan menjadikan babak-babak thriller atas platform kelihatan lebih real.

Lihat gambar movie set: klik Cubajaya.com.

Apapun, sudah pasti filem ini sangat dinanti-nantikan oleh ‘orang minyak’.

Kebetulan pula filem ini keluar ketika dunia minyak dan gas tengah tenat, dan ramai ‘orang minyak’ terpaksa diberhentikan kerana banyak rig sudah ditutup dan pelaburan untuk projek-projek baru pun terpaksa ditangguhkan.

Kalau diberi kesempatan, insyaAllah aku akan ulas filem ini minggu depan. Kena tengok dululah baru boleh komen sama ada best atau ke laut.

Mohd Hafizul Hilmi juga menulis di blog beliau Cubajaya.com.

Artikel di atas disumbangkan oleh Mohd Hafizul Hilmi. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka