Pagi semalam dalam The Breakfast Grille depa temuramah CEO MYTV, Michael Chan. (Kalau yang terlepas boleh dengar semula di laman website BFM dan cari podcast).

Oleh kerana aku tengok ramai juga yang ‘berminat’, mari aku kongsi sikit mana yang aku tau pasal isu ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apa itu MYTV?

MYTV adalah special purpose vehicle yang dibuat oleh Puncak Semangat. Dan Puncak Semangat pula adalah kepunyaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Sebenarnya projek ini, sudah lama Puncak Semangat dapat. MCMC (Malaysian Communications and Multimedia Commission) sudah umumkan tahun 2014 lagi.

Dan antara syarikat lain yang turut membida untuk projek ni termasuklah Media Broadcasting Solutions dan Redtone Network. Puncak Semangat dapat melalui tender terbuka. Bukan senang-senang projek ini depa dapat.

Kenapa percuma?

Soalan paling asas, kenapa dekoder ini percuma?

Negara-negara ASEAN sudah bersetuju untuk berpindah daripada transmisi analog kepada digital selewat-lewatnya pada 2020.

Maknanya bukan kita saja yang akan berhijrah. Singapura sudah buat hujung tahun lepas. Thailand pula buat berperingkat, dari 2015 sehingga 2018. Kita di sini, tarikh akhirnya ialah Jun 2018.

Apa jadi kalau tiada dekoder ini?

Kalau kita ada dekoder Astro/ HyppTV, tak ada kesan pun.

Tetapi kalau orang yang tiada dekoder, masuk Julai tahun depan nanti mereka sudah tidak dapat siaran. Sebab masa tu sudah tiada lagi transmisi dalam bentuk analog.

Kita mungkin nampak benda ini macam isu remeh. Tetapi sebenarnya ada dalam 20% rakyat Malaysia yang masih guna transmisi analog semata-mata (tiada dekoder Astro/ HyppTV).

Jadi bayangkan kalau tiba-tiba 20% ni tak dapat siaran TV tahun depan. Sudah pasti hingaq punya.

Jadi, kena cari jalan juga untuk penuhkan permintaan mereka yang ada dalam segmen ini.

Penerima dekoder percuma

Dan sekarang, aku rasa semua pun dah faham kenapa yang dapat dekoder percuma ini adalah orang yang sama yang terima BR1M. Kan?

Untuk mereka yang belum faham, penerima BR1M adalah golongan yang berpendapatan rendah. Jadi, untuk tak membebankan mereka, kita berilah percuma.

Ini bermakna dekoder-dekoder percuma itu nanti akan diagihkan kepada 4.2 juta isi rumah.

4.2 juta unit. Siapa yang akan tanggung kos?

Daripada 4.2 juta unit dekoder, 2 juta unit akan ditanggung oleh syarikat MYTV. Manakala selebihnya oleh MCMC. Maknanya lebih kurang separuh MYTV (syarikat persendirian) bayar, separuh lagi kerajaan tanggung.

Saluran di MYTV

Setakat ini semua yang biasa jelah. RTM, Media Prima, Al-Hijrah dan Bernama. Semuanya 9 saluran.

Tapi MYTV sasarkan 20 sebab RTM dan Media Prima cakap nak tambah saluran baru.

Bagaimana mendapatkan dekoder MYTV?

Kalau kita layak, dekoder tu akan dikurier. Tunggu Pos Laju sampai rumah.

Nak kurier pun makan kos juga. Satu dekoder Semenanjung RM9, Sabah Sarawak RM15. Duit lagi. Di situ saja dah berapa kena keluar modal.

Itulah CEO MYTV cakap, ini sebenarnya kira khidmat negara. Nak tak nak, kena bagi jadi juga. Depa keluar modal dalam RM2.0 bilion dan semuanya dibiayai sendiri.

Model bisnes

Habis bagaimana depa punya model bisnes (oleh kerana MYTV tu percuma ja)?

Pendapatan MYTV akan datang melalui beberapa cara. Antaranya penyiar itulah (RTM, Media Prima, dll).

Nak senang, bayangkan kalau kita dah buat satu kompleks membeli belah. Selepas tu, dapat dua penyewa utama contohnya Parkson dan Tesco. Lepas tu ada pula lagi penyewa berjenama yang serius nak menyewa di kompleks kita.

Kesudahannya, sedaplah sikit kita nak buat pemasaran ajak orang masuk mall kita (sebab penyewa terkenal sudah ada).

Macam itu jugalah MYTV. Dia ada dua anchor tenants (RTM dan Media Prima). Lepas tu ada juga tenant yang tak kurang hebat macam Bernama dan Al-Hijrah.

Kalau penyiar lain nak sertai pun boleh. Sebab itu MYTV sasarkan pada Jun 2018, mereka akan ada dalam 30 saluran.

Pendapatan MYTV juga datang daripada pemasaran. Nanti dia pergilah pada syarikat-syarikat yang nak buat pemasaran.

“Bro, aku ada 20-30 channel. Kalau hang letak iklan dengan aku, bayangkan berapa ramai penonton yang hang boleh capai?”

Macam itulah depa buat bisnes. Setakat sekarang, belum ada caj apa pun. Bagi percuma/ rebat dululah sebab masih nak promosikan. Mereka tangguhkan yuran sehingga Jun 2018.

Kalau tak dapat, tapi nak juga dekoder?

Bolehlah beli sendiri. Harga dalam RM199.

Selain gambar yang lagi cantik (resolusi tinggi), bunyi yang lagi sedap, boleh tengok rancangan apa lepas ini, boleh pilih sari kata apa kita nak, apa lagi kebaikan berpindah dari analog ke digital?

Apabila kita bertukar analog ke digital, beberapa spektrum transmisi akan menjadi bebas. Spektrum ini terhad.

Bila kita baca surat khabar tentang syarikat telekomunikasi contohnya, mereka ini akan memperuntukkan sejumlah amaun yang sangat besar untuk membida pembelian spektrum.

Digi, Celcom, Maxis, semua akan berebut bida untuk beli spektrum. Adalah Hertz apa semua tu. Tapi tu teknical. Aku pun tak pandai sangat.

Tapi nak senang faham, macam memori telefon kitalah. Terhad.

Kalau dah penuh, nak ambil gambar pun tak lepas. Tapi selepas kita buang apps yang kita tak pakai, adalah ruang kosong, kan?

Ha, lebih kurang macam itulah juga cerita dia.

Apabila kita bertukar daripada analog ke digital, bukan saja jadi lebih cekap, tapi turut bebaskan ‘ruang’ untuk kegunaan-kegunaan lain pada masa hadapan.

Manalah tau, kot syarikat telekomunikasi dapat spektrum lebih, depa boleh turunkan harga bil telefon kita lagi?

Harap-harap perkongsian ini membantulah. Jangan cepat sangat melatah.

Tahan sikit mulut dan tangan sebelum nak komen apa-apa. Tabayyun dulu. Puasa itu kan ‘menahan’?

Kita tengah puasa, kan?