Nota Editor: Kisah ini dikongsikan oleh Puan Nor Hayati Mohamad Sulaiman yang mempunyai seorang anak penghidap Autisme. Untuk pengetahuan, Autisme adalah gangguan perkembangan neurologi yang menjejaskan perhubungan sosial, komunikasi lisan dan bukan lisan dan mempunyai tingkah laku terhad atau berulang-ulang.

Saya mahu berkongsi cerita tentang anak saya yang disahkan menghidapi Autisme tahap sederhana ke tahap teruk, gangguan komunikasi lisan, kelakuan berulang-ulang (tics), gangguan deria, gangguan tidur, cenderung mencederakan diri dan hiperaktif.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Anak saya bukan budak autistik yang ‘sweet’. Pernah suatu ketika sepupunya dan budak-budak lain takut dengannya. Sekali tantrum boleh berkekalan hingga 2 jam.

aus1

Saya nak yang terbaik untuk anak saya. Terapi yang dijalankan oleh pihak kerajaan mempunyai senggang waktu yang agak jauh. Saya mahu yang terbaik untuk anak saya. Lalu saya pergi ke pusat terapi swasta tetapi harganya terlalu mahal. Saya tidak mampu. Keadaan ni menyebabkan saya tertekan.

Sebagai alternatif, saya mencari ilmu. Duit yang ada saya habiskan dengan belajar daripada orang-orang yang berpengalaman dan menghadiri kelas ibu bapa. Saya belajar mengenali keperluan anak saya kerana Autisme ni mempunyai banyak spektrum. Mungkin apa yg berkesan untuk anak orang lain tetapi tidak sesuai untuk anak saya. Saya belajar cara-cara menjalankan terapi di rumah. Saya nekad tukar cara hidup kepada yang lebih aktif.

Saya lupa sebenarnya sayalah calon yang paling sesuai untuk menjadi ahli terapi. Sayalah orang yang memahami kehendaknya walaupun dia tanpa suara. Dahulu saya seorang yang obes. Disebabkan mahu anak berubah, saya tekad untuk turunkan berat badan dan menjalani cara hidup aktif.

Bila saya cergas, setiap minggu saya mampu penuhi waktu bersama anak dengan aktiviti fizikal. Kami berlari jarak jauh, berenang, mendaki dan berkuda. Bila saya meluangkan masa beraktiviti bersama anak saya, saya lihat perubahan yang ketara padanya. Sehinggalah dia mampu berkomunikasi dua hala walaupun sekadar sepatah dua kata.

aus2

Nasihat saya, kepada ibubapa terutamanya yang mempunyai anak Autisme, jangan sampai bergolok bergadai berlebihan kerana mahu kejar terapi, mahu beli makanan tambahan atau mahu bawa anak ke rawatan yang tidak tahu keberkesanannya.

Jangan perjudikan wang simpanan untuk usaha yang belum tentu hasilnya. Wang simpanan itu penting untuk masa depan anak syurga ini apabila kita tiada nanti. Kita dalam keadaan terdesak mahu anak sembuh, kita akan buat apa saja tanpa berfikir panjang. Di luar sana ramai orang yang suka menangguk di air yang keruh.

Percayalah Allah kurniakan anak-anak syurga ini kepada kita kerana Dia tahu, kitalah calon ibu bapa yang paling sesuai untuk anak ini. Selain rawatan yang disarankan oleh doktor dan ahli terapi, kitalah terlebih dahulu yang perlu berubah untuk perubahan anak kita. Saya percaya segala usaha kita ada ganjarannya.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram